Berang anak kencing atas tilam, ibu ini siram air panas hingga melecur seluruh badan. 'Sempat beli ubat sebelum ditahan...'

SEORANG kanak-kanak perempuan terpaksa melalui detik ngeri yang menyakitkan dalam hidupnya setelah mengalami kecederaan melecur hampir di seluruh badan.
Kejadian yang berlaku di Kabupaten Sidoarjo, Indonesia itu bukanlah perbuatan orang lain, tetapi ibu kandungnya sendiri.
Difahamkan, insiden berlaku ketika kanak-kanak berusia tiga tahun itu tidak sengaja terkencing di atas tilam.
Sebaik menyedari kejadian itu, ibunya yang dikenali sebagai RA, bertindak membuka cadar tilam dan meletakkannya di tempat cucian untuk direndam dengan air sabun.
Anak perempuannya yang berada di sisi ketika itu mula menangis ketakutan kerana bimbang dimarahi ibunya.
Namun, tangisan kanak-kanak itu tidak dileraikan dengan pujuk rayu, malah mencetuskan kemarahan RA, yang kemudian bertindak di luar batas kemanusiaan.
Dalam keadaan berang, wanita itu dikatakan menyiram kepala dan belakang badan anaknya dengan air panas yang diambil dari penapis air di dapur.
Akibat terkena air panas, tangisan mangsa semakin kuat diselangi jeritan kesakitan.
Tangisan itu juga tidak menghentikan tindakan si ibu apabila dia dikatakan memanaskan beberapa liter air hingga mendidih sebelum menyiram anaknya kali kedua di bahagian yang sama.
Air mendidih itu malah mengenai wajah mangsa hingga menyebabkan kecederaan yang lebih parah.
Bukan setakat itu, mangsa turut dipukul di bahagian punggung dan tangan dengan menggunakan batang penyapu besi sehingga bengkok.
Selepas kejadian, RA meminta pembantu rumah memandikan anaknya dengan air sejuk serta mencuci cadar yang telah direndam.
Melihat keadaan anaknya yang melecur teruk di wajah, RA sempat ke farmasi untuk membeli ubat lecur dan menyapukannya pada kulit mangsa.
Namun kaedah tersebut tidak berkesan apabila keadaan lecur di badan anaknya semakin parah dan memerlukan rawatan segera di hospital.
Penderitaan kanak-kanak malang itu akhirnya terbongkar setelah laporan penganiayaan dibuat ketika mangsa dirawat di hospital.
RA kemudian ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan penganiayaan terhadap anak kandungnya sendiri.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang