RANGKA katil ‘antiseks’ berasaskan material kadbod yang disediakan di Perkampungan Atlet Sukan Olimpik Tokyo 2020 dikatakan untuk mencegah hubungan intim dalam kalangan atlet.

Tindakan penganjur mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.

Difahamkan, tempat tidur itu mampu menampung beban hingga 200 kilogram (kg) biarpun ia diperbuat daripada kadbod.

Pun begitu, inisiatif berkenaan dilaksanakan lebih memfokuskan pada proses kitar semula produk kertas selepas temasya sukan berprestij dunia itu melabuhkan tirai.

Sementara itu, tilamnya yang hadir dalam bentuk politilena pula akan diguna semula untuk produk plastik.

Pada masa sama, ia salah satu usaha bagi menjaga penjarakan fizikal dan mengelakkan penularan wabak Covid-19 di sana.

Dalam satu ciapan di laman sosial Twitter, pemenang pingat perak acara lari 5,000 meter Olimpik Rio, Paul Chelimo bergurau mengenai rangka katil yang disifatkan pelik untuk mengelakkan hubungan intim dalam kalangan atlet.

“Katil ini dikatakan dapat menampung berat badan seorang sahaja bagi mengelakkan situasi ‘luar’ acara sukan.

“Namun begitu, rasanya ia tidak menjadi masalah untuk pelari jarak jauh kerana empat atlet kategori itu boleh berada di atas satu katil, ” tulisnya yang turut berkongsi gambar katil tersebut.

Dalam pada itu, penularan Covid-19 di perkampungan atlet terus mencetuskan kebimbangan.

Iklan

Ia berikutan enam atlet trek dan lapangan dari Britain dan dua kakitangan terpaksa diasingkan. Mereka dikenalpasti sebagai kontak rapat individu positif Covid-19 ketika dalam penerbangan ke Jepun.

Perkara itu disahkan Persatuan Olimpik (BOA) pada Ahad lalu.

Justeru, difahamkan para atlet sentiasa diingatkan supaya tidak saling bersentuhan.

Iklan

Baca juga Olimpik Tokyo Tanpa Penyokong, Jepun Isytihar Darurat Kerana Covid-19

Secara ringkas, Perkampungan Sukan Olimpik Tokyo 2020 seluas 44 hektar terletak di Harumi.

Kawasan yang merangkumi pangsapuri dan tempat makan itu mampu menghimpunkan kapasiti seramai 6,700 atlet dan pegawai serta delegasi Paralimpik Tokyo.

Sumber: Indianexpress