WABAK Covid-19 di Indonesia dilihat semakin meruncing sejak kebelakangan ini, sehingga pemerhati menyamakan situasi tersebut sama teruk di India.

Suasana itu begitu dibimbangi oleh Presidennya, Joko Widodo.

Pada 1 Julai lalu, beliau tiada pilihan lain selain mengumumkan pelaksanaan perintah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat atau darurat dari 3 hingga 20 Julai 2021 khususnya di Jawa dan Bali.

Pengumuman tersebut dibuat susulan penularan varian Delta yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 di negara itu sejak seminggu lalu.

Berdasarkan rekod semalam, republik itu mencatatkan 31,189 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam yangtertinggi pernah dicatatkan setakat ini!

Sebelum ini, jumlah tertinggi dicatatkan adalah pada Isnin lalu sebanyak 29,745 kes. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di Indonesia mencecah 2.35 juta dengan Jakarta menjadi pusat wabak.

Apabila keadaan tersebut tercetus, orang ramai dilihat semakin panik dan beberapa hospital juga dilaporkan mengalami limpahan pesakit sehingga kamar hospital turut dilabelkan sebagai ‘darurat’.

Meskipun kes terus melonjak, nampaknya masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab apabila dilihat seperti menangguk di air yang keruh.

Hasil penelitian pihak berkuasa, penipuan penjualan tangki oksigen secara dalam talian semakin berleluasa!

Direktur Reserse Kriminal Khusus Polda Metro Jaya Komisaris Besar, Auliansyah Lubis berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan menyeluruh terhadap jenayah berbahaya itu.

“Penipuan pembelian tabung oksigen secara online menggunakan modus lama iaitu pelaku meminta mangsa memindahkan sejumlah wang dan dijanjikan bahawa peralatan itu akan dikirimkan.

“Namun sehingga waktu yang dijanjikan, mangsa sama sekali tidak menerima tabung tersebut dan penjual online tersebut langsung tidak dapat dihubungi kembali,” katanya kepada tempo.com.

Pada saat ini, tabung oksigen menjadi barang yang paling dicari masyarakat seiring peningkatan angka penularan Covid-19.

Di toko online, harga sebuah tabung oksigen mencecah IDR5 juta atau RM1.43.

Namun, peralatan itu sudah kehabisan stok dan mustahil ia boleh didapati secara online lagi.

IMPORT

Dalam pada itu, menurut laporan CNN, pemerintah Indonesia bakal mengimport tabung oksigen bagi memenuhi keperluan seiring dengan peningkatan kes virus yang tinggi.

Menteri Kesihatannya, Budi Gunadi Sadikit berkata, mereka bakal membeli tabung oksigen 6 meter kubik dan 1 meter kubik.

Iklan

Ujar Budi, pada ketika ini, produksi oksigen nasional berjumlah 866,000 tan per tahun.

Namun, disebabkan pandemik ini, 90 persen atau 575,000 tan oksigen yang menjadi keperluan industri diberikan ke sektor perubatan demi memenuhi keperluan pihak hospital yang merawat lambakan pesakit.

Lapor CNN, sejumlah rumah sakit di Pulau Jawa khususnya di Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jawa Timur sangat mengkehendakinya.

RAMAI TERPERDAYA

SinarPlus kemudiaan menghubungi salah seorang penduduk di Indonesia untuk mengetahui sendiri bagaimana keadaan di negaranya.

Iklan

Putri Wulanduri yang tinggal di Tangerang yang terletak di barat daya Jakarta, mengakui jumlah kes semakin banyak berlaku dan jirannya sendiri sudah ramai yang positif.

“Namun, alhamdulillah keluarga saya masih sihat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau juga sudah menerima suntikan vaksin sejak bulan Mac lalu.

Cerita Putri Wulanduri lagi, situasi Covid-19 di Tangerang sendiri masih lagi parah.

Ia semakin memburuk apabila penduduk termakan dengan berita palsu yang tersebar secara meluas menerusi media sosial.

“Ramai yang terperdaya dengan banyak berita, contohnya mengenai susu viral. Keadaan itu berlaku di kawasan saya sehingga ramai yang cemas dan berpusu-pusu mendapatkannya. Sedangkan itu hanyalah susu biasa sahaja,” katanya.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Pengunjung panik berebut susu viral kononnya boleh cegah virus Covid-19

Foto: CNN Indonesia dan sumber internet.