BERCAKAP mengenai bekas pemain bola sepak profesional Inggeris, David Beckham pasti ramai akan teringat ketampanannya.

Hasil perkahwinan Beckham dengan Victoria Adams atau Posh Spice, ahli kumpulan Spice Girls pada tahun 1999, mereka dikurniakan empat cahaya mata yang rupawan.

Ternyata bukan sahaja populariti David dan Victoria yang melonjak, malah anak-anak mereka turut menjadi perhatian media dari seluruh dunia.

Baca juga: Majlis kahwin 'trending' di sosial media, berikut 10 fakta ringkas pernikahan Hyun Bin, Son Ye Jin

Brooklyn, 23, Romeo James, 19, Cruz, 17, dan satu-satunya anak perempuan mereka Harper Seven, 11 meraih kemahsyuran.

Brooklyn merupakan seorang cef profesional manakala Cruz pula sedang melebarkan sayap dalam bidang muzik dan peragaan.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak kedua Beckham, Romeo kini mengikuti jejak langkah bapa dengan menjadi pemain bola sepak profesional Inter Miami. Difahamkan Romeo membuat penampilan sulungnya pada 26 Januari 2022 lalu.

TERIMA MENANTU

Dalam perkembangan terkini, bekas pemain Manchester United dan Real Madrid berusia 46 tahun itu sudah menerima menantu.

9 April lalu, anak sulung Beckham, Brooklyn mendirikan rumah tangga dengan aktres Nicola Peltz, 27, yang juga anak perempuan bilionair Yahudi, Nelson Peltz.

Majlis perkahwinan yang dua tahun tertunda akibat pandemik Covid-19 itu meraih perhatian dunia apabila kosnya mencecah AS$5.2 juta (RM22.03 juta)!

Baca juga: [25 FOTO] Berlangsung 10 Hari, Perkahwinan Diraja Puteri Sultan Brunei Jadi Tumpuan Dunia

Berikut lima fakta menarik mengenai perkahwinan Brooklyn Beckham dan Nicola Peltz;

Iklan

1. Sebelum berkahwin, mereka dilaporkan telah menandatangani perjanjian pranikah bernilai £3 juta (RM16 juta) bagi melindungi kekayaan Beckham yang dikatakan bernilai £380 juta (RM2.9 bilion).

2. Majlis perkahwinan diadakan di estet keluarga Peltz di Palm Beach, Florida.

3. Difahamkan para jemputan tiba di tempat perkahwinan sejak Jumaat, 8 April 2022 untuk menikmati koktel sebagai sambutan sebelum majlis perkahwinan. Majlis resepsi perkahwinan kemudian diadakan pada petang keesokannya.

4. Pesta meraikan mempelai diteruskan pada hari Ahad, 10 April 2022 menjadikan ia berlangsung selama tiga hari

5. Selepas berkahwin Brooklyn menambah nama tengahnya kepada nama keluarga isteri menjadi Brooklyn Joseph Peltz Beckham. Tindakan itu menimbulkan persoalan kerana lazimnya wanita  menggunakan nama keluarga selepas bergelar isteri. Menurut sumber, ia dilakukan Brooklyn sebagai bukti cintanya kepada Nicola.

GAUN JADI PERHATIAN

Baca juga: Terkini dan kontemporari, busana indah mempelai diraja Brunei rupanya direka Bernard Chandran

Iklan

Terdahulu semasa pertunangan ,Nicola menggayakan gaun yang direka ibu mertua, Posh.

Namun pada hari bahagianya, Nicola memilih untuk menggayakan gaun label mewah Itali, Valentino.

Daily Mail melaporkan sebelum perkahwinan Nicola terbang ke Rom dengan penata gayanya untuk proses ‘fitting’ dan telah menempah beberapa gaun untuk majlis itu.

Salah satu yang menjadi pujian ramai ialah gaun panjang dan bertali yang dipakainya. Ia diinspirasikan dari gaun perkahwinan Grace Kelly dan Putera Rainier di Monaco pada tahun 1956.

BROOKLYN PILIH DIOR

Pengantin lelaki, Brooklyn juga tampil hebat dilihat memakai suit dan tali leher dari Dior. Malah aksesori lain dari hujung rambut ke hujung kaki adalah dari jenama mewah itu.

Brooklyn juga tidak bersendirian dalam persalinan Dior. David, Romeo dan Cruz turut menggayakan tuksedo hitam padanan jenama yang sama.

Si ibu, Posh tampil anggun dengan gaun malam satin perak  berkilauan dengan sulaman renda pada leher dan sisi.

Manakala anak bongsu keluarga itu, Harper sebagai 'bridesmaid' memakai sehelai gaun putih gaya minimal dengan perincian tali pinggang biru.

Menurut Mirror UK, Brooklyn ingin menumpukan kepada kerjayanya terlebih dahulu dan belum merancang untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI