KURANG sebulan ia kembali beroperasi, Disneyland Hong Kong terpaksa menutup pintunya semula. Semuanya susulan laporan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Taman tema itu yang dibuka semula pada 18 Jun lalu, terpaksa ditutup selepas Hong Kong memperketatkan langkah penjarakan sosial berikutan peningkatan kes baharu Covid-19.

“Sebagai mematuhi arahan kerajaan bagi pencegahan Covid-19, taman Disneyland Hong Kong akan ditutup sementara bermula 15 Julai,” kata seorang jurucakap Disney.

Hotel-hotel di resort Disneyland Hong Kong bagaimanapun akan tetap dibuka dengan menyesuaikan tahap perkhidmatan seperti yang diperlukan, menurut jurucakap itu.

“Langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang lebih baik akan diterapkan sebagai mematuhi garis panduan daripada kerajaan, seperti penjarakan sosial dan peningkatan tahap kebersihan,” tambahnya lagi.

Disney World memulakan pembukaan secara berperingkat bagi taman Magic Kingdom dan Animal Kingdom pada hujung minggu lalu.

Dua tamannya yang lain, EPCOT dan Hollywood Studios, akan dibuka semula pada 15 Julai.

Perkara yang sama mungkin akan terjadi di Malaysia sekiranya SOP dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan diambil mudah oleh orang ramai.

Iklan

Pengusaha taman tema juga memainkan peranan penting dengan meletakkan keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta tetamu sebagai keutamaan.

Beberapa langkah berjaga-jaga dan pencegahan awal perlu diambil dan dilaksanakan. Tingkatkan kekerapan pembersihan dan pembasmian kuman di seluruh kawasan yang bakal dikunjung oleh para tetamu.

Iklan

Jika negara jiran bukan satu contoh yang baik untuk dijadikan panduan, mungkin negara kita pula akan dijadikan contoh untuk negara-negara luar.

Itu pun kalau kita kekal berdisplin dalam memerangi wabak pendemik ini. Betul tak?