DIRINYA sendiri merupakan seorang anak angkat. Namun begitu, itu tidak menghalang gadis berusia 14 tahun ini untuk menghulurkan bantuan dan tempat perlindungan kepada makhluk lain yang memerlukan.

(CNN) Seorang gadis berusia 14 tahun telah mengumpulkan $14,000 (RM59,039.92) untuk anjing tua yang telah ditinggalkan dengan tujuan untuk menolong haiwan itu mencari tempat perlindungan buatnya selamanya.

Seperti situasinya ketika dia sendiri diambil sebagai anak angkat.

Meena Kumar hanya berusia sembilan bulan ketika ditemui di dalam bakul di kampus kolej di Pune, India. Setelah menghabiskan setahun hidupnya di rumah anak yatim, dia diambil sebagai anak angkat oleh pasangan dari Mumbai dan dibawa ke San Jose, California.

Ketika tiba Amerika Syarikat, hampir setiap hujung minggu hari-harinya dipenuhi dengan dibawa ke Humane Society atau ke Muttville Senior Dog Rescue.

Muttville adalah pusat menyelamatkan anjing tanpa sangkar yang memberi haiwan-haiwan terbiar dan hanya ‘menunggu masa’ itu peluang kedua dalam hidup, menurut laman web mereka.

Organisasi ini ditubuhkan pada 2016 menyelamatkan kira-kira 1,000 anjing setiap tahun. Kebanyakannya dijalankan dengan bantuan sukarelawan.

Pertama kali sejak memahami tentang usaha menyelamatkan anjing oleh Muttville itu, Meena sering mendengar kisah tentang bagaimana anjing tua sering ditinggalkan di tempat perlindungan tersebut. Dengan kasih sayang dan perawatan, anjing-anjing itu dapat menjadi teman baik.

“Lebih banyak orang harus mengadopsi (haiwan angkat) anjing tua. Mereka memberikan cinta tanpa syarat yang sama seperti anjing lain,” kata Meena.

Memahami rasa ditinggalkan

Meena memahami bagaimana rasanya ditinggalkan. Justeru dia ingin menolong anjing-anjing tua itu dengan menemukan rumah-rumah penyayang haiwan yang layak, diibaratkannya sama situasinya seperti dirinya.

Masalahnya ialah Meena harus berusia 17 tahun untuk menjadi sukarelawan di Muttville. Sedangkan dia baru berumur 14 tahun.

Dia ingin mencari jalan untuk menyokong usaha Muttville dan mengemukakan idea. Dia menawarkan tempat tinggal untuk haiwan peliharaan dan yang baharu dilahirkan.

Meena memulakan usaha itu dengan menjaga haiwan peliharaan di rumahnya sendiri untuk jiran dan rakan sekolahnya dengan tujuan untuk menyokong Muttville.

Iklan

“Anda tidak pernah terlalu muda untuk memulakan perniagaan,” kata Meena.

Dengan harga $35 (RM147.60) sehari dan kerja keras selama beberapa tahun, Meena berjaya mengumpulkan $7,000 (RM29,520.21) untuk Muttville.

Jumlah itu meningkat dua kali ganda menjadi $14,000, hasil program sumbangan Intel, di tempat ayahnya bekerja.

Iklan

Program Intel Volunteer Matching Grant mendorong pekerja untuk menyumbangkan masa, wang atau tenaga kerja kepada organisasi yang memberi kembali kepada komuniti mereka, menurut laman web Intel.

Meena merancang untuk terus bekerjasama dengan Muttville dan berharap lebih banyak orang mengadopsi anjing tua bagi memberikan tempat perlindungan semasa wabak ini.

Besar semangat anak gadis ini kan?

Moga anak muda di negara kita ini juga lebih ramai yang terinspirasi untuk membantu terutama golongan insan termasuklah haiwan yang memerlukan. -CNN -AG #janganputusasamalaysia