IRONINYA, media sosial seperti Facebook ataupun Instagram bukan sekadar ‘album moden’ yang menyimpan kepingan foto dan video peribadi.

Bahkan, platform tersebut juga menjadi saluran dalam menyampaikan informasi dan situasi yang berlaku di seantero dunia. Ini termasuklah berkongsi pergolakan Israel-Palestin susulan tindakan Israel menyerang penduduk Palestin di kawasan Masjid al-Aqsa.

Serangan yang dilakukan oleh Israel kepada umat Islam di Palestin bermula pada 27 Ramadan kini telah ‘merebak’ ke seluruh Palestin. Serangan ganas yang tidak berperikemanusian ini mendapat kecaman kebanyakan masyarakat seantero dunia.

Ketegangan yang berlaku bukan sahaja melibatkan pihak tentera, bahkan juga pendatang Yahudi yang bertindak ganas dengan menceroboh dan merampas rumah kediaman rakyat Palestin, termasuklah kedai-kedai dan kebun hingga meragut nyawa insan yang tidak berdosa.

Insiden melanda di wilayah Palestin turut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri.

Beliau merupakan rakyat Malaysia tunggal di Gaza yang sentiasa berkongsi perkembangan semasa di sana.

Dalam satu hantaran di Facebook, pemuda itu telah berkongsi sebuah klip video yang memaparkan situasi pilu seorang anak Gaza Palestin berlari mengejar jenazah ayahnya.

Namun begitu, dek posting terbabit Nadir menyatakan akaun Facebook miliknya telah disekat. Enggan mengaku kalah beliau kini meneruskan perjuangan dengan akaun Facebook baharu, Nadir Al-Nuri.

Iklan

Pun demikian, difahamkan akaun terkini itu juga seolah-olah sedang ‘dipantau’.

“FB saya macam sedang dipantau. Kejap boleh post, kejap tak boleh. Komen pun sama.

“Ikut di telegramlah ya,” kongsi Nadir.

Selain media sosial, Nadir turut berkongsi perkembangan semasa di Gaza menerusi saluran Telegram.

Iklan

Sama-samalah kita mendoakan semua rakyat Palestin selamat dan serangan keganasan daripada Israel dapat dipatahkan.

Sumber: Nadir Al-Nuri