ZAMAN milenial ini, memang ramai manusia yang bersikap pelik. Adakalanya perilaku yang ditonjolkan itu tidak pernah dan jarang sekali berlaku ketika zaman ibu bapa atau nenek moyang kita.

Barangkali jika pernah terjadi sebelum ini, ia tidaklah tersebar meluas sepertimana pada masa kini.

Masakan tidak, teknologi canggih sekarang membuatkan suatu info itu mudah tersebar luas.

Namun begitu, seharusnya kemudahan itu tidak sepatutnya mengikis nilai-nilai adab yang diajarkan kepada manusia.

Hinggakan ada yang sanggup berbuat onar kepada ibu atau bapa yang mengandungkan dan membesarkan mereka selama ini.

Dalam kejadian di Kota Salatiga, Indonesia, seorang anak tergamak menyaman ibu kandungnya sendiri gara-gara mahukan kereta Toyota Fortuner.

Anak tersebut membuat tuntutan di mahkamah berhubung perkara itu dan ibunya disaman oleh Mahkamah Daerah Salatiga kerana dianggap telah menyewa kenderaan tersebut.

Wanita malang itu, Dewi Firdauz, 52, tidak pernah menyangka anak kandungnya, Alfian Prabowo, 25, yang ditatang penuh kasih sayang sanggup memperlakukannya sedemikian rupa.

Dewi yang juga seorang pegawai dan bekas isteri kepada mantan Pengarah Hospital Daerah Salatiga, Dr Agus Sunaryo mendedahkan, dirinya membeli kereta Toyota Fortuner pada tahun 2013 di Toyota Kaligawe Semarang.

Saman ibu kandung“Namun, ketika itu, saya baru sahaja menjual kereta Yaris dan belum menukar nama, maka saya terpaksa menamakan kenderaan atas nama anak saya. Saya begitu percayakannya.

“Saya beli kereta Toyota Fortuner itu dengan hasil keringat bekerja sebagai pegawai sebuah agensi kerajaan. Malangnya, selepas berpisah dengan bekas suami pada bulan September 2019, saya menerima tuntutan daripada anak berkaitan kereta itu.

“Pada bulan Oktober tahun lalu, saya menerima surat tuntutan berkenaan secara rasmi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Kompas.com.

Dalam tuntutan tersebut, Dewi menjelaskan, jika beliau tidak memenuhi permintaan berkenaan, ia akan dihitung sebagai sewa.

“Menurut kiraan saya, ketika ini sewanya sudah mencapai Rp200 juta (RM57,600).

“Kalau saya tidak berikan wang sewa itu, Alfian akan meminta rumah yang saya diami saat ini untuk disita.

“Jika rumah ini disita, saya nak tinggal di mana lagi? Gaji sebagai pegawai berapalah sangat. Malah, saya disia-siakan oleh anak sendiri,” katanya sambil menangis.

Dewi yang tidak diwakili peguam mengakui beliau kurang arif berkaitan undang-undang.

“Saya tiada peguam kerana ALLAH adalah pembela saya. ALLAH pasti akan menemani ibu-ibu yang membesarkan anak dengan ikhlas,” kata dewi.

Iklan

Sementara itu, peguam kepada Alfian, Caesar Fortunus Wauran memberitahu, tuntutan tersebut sebenarnya adalah teguran seorang anak kepada orang tuanya.

Saman ibu kandung
CEASAR menunjukkan surat tuntutan anak kepada ibunya.

Katanya, defendan dalam kes itu sebenarnya melibatkan Dr Agus dan Dewi.

“Dalam keadaan itu, anak adalah mangsa. Dia kecewa kerana ibu bapanya tetap bertelagah ketika tempoh perceraian.

“Jadi istilahnya, kalau ibu bapa terus ada pertikaian, anak juga akan mengikut jejak langkah mereka. Tujuannya adalah untuk mendamaikan kedua orang tuanya. Jika mahu berpisah, biarlah dengan cara yang baik,” katanya ketika ditemui Kompas.com di pejabatnya baru-baru ini.

Caesar menambah, tuntutan yang dibuat Alfian itu sebenarnya adalah atas inisiatif jejaka itu sendiri.

“Tiada paksaan kerana mereka bosan melihat keadaan keluarga.

Iklan

“Mahkamah juga akan memutuskan tuntutan ini sama ada menang atau kalah. Apa yang penting, anak itu hanya mahu melihat kedua-dua orang tua mereka berdamai,” ungkapnya.

Begitu rupanya kisah sebenarnya. Apa-apapun kita doakanlah yang terbaik agar keluarga mereka dapat kembali berdamai.

Sumber: Kompas.com

Foto: Kompas.com & Freepik