LAZIMNYA, mana-mana kawasan tasik sama ada buatan ataupun semula jadi, sentiasa menjadi tumpuan sebagai tempat mencari makanan atau habitat bagi haiwan liar.

Tidak kurang juga, ada sebahagiannya menjadi port rekreasi dan aktiviti beriadah seperti berkayak dan berenang kerana disifatkan tidak membahayakan.

Barangkali di Malaysia, belum ada kawasan tasik yang misteri dan membahayakan sehingga mampu menjadikan haiwan sekitarnya menjadi ‘batu’.

Natron Lake

Namun, di Tanzania terdapat sebuah tasik yang dinamakan Tasik Natron yang menimbulkan banyak tanda tanya.

Difahamkan, sebelum ini kisah misteri tasik tersebut sudah tersebar, namun kembali tular baru-baru ini.

Ini ekoran penemuan bangkai haiwan yang mati di kawasan sekitar seolah-olah nampak seperti tugu batu.

Menurut Huffpost, seorang jurufoto terkenal, Nick Brandt telah merakamkan foto yang agak menyeramkan iaitu bangkai burung yang mengeras diselaputi debu berwarna kelabu.

Natron Lake

Natron Lake

Jika dirujuk fakta dikongsikan para pengkaji, punca air tasik berkenaan datang daripada kawasan berbukit yang juga gunung berapi.

Disebabkan sifat airnya sangat tinggi dengan kandungan bahan kimia semula jadi seperti sodium karbonat atau garam natrium, haiwan yang terjatuh atau mendarat di tasik tersebut boleh menjadi keras seolah-olah disimbah simen.

Memiliki kedalaman dianggarkan 9.8 kaki, tasik yang juga menjadi habitat utama spesies flaminggo itu bersifat menghakis.

Natron Lake

Iklan

Ini kerana sifat airnya sangat beralkhali sehingga boleh menghakis kulit dan mata haiwan-haiwan yang tidak dapat menyesuaikan diri.

Beberapa foto yang dikongsikan Joseph Stromberg dalam media sosial juga menunjukkan kawasan tasik yang kemerah-merahan menjadikan ramai teruja dengan keunikan tasik tersebut.

Menurut laporan birdlife.org, Tasik Natron juga menjadi tapak Ramsar untuk konservasi spesies burung flaminggo Lesser di dunia.

SinarPlus difahamkan, selain menjadi habitat flaminggo, hanya ada satu haiwan lagi yang masih bertahan di sana iaitu ikan talapia.

Natron Lake

Iklan

Di samping itu, Tasik Natron turut dikenali dengan nama tasik berdarah kerana warnanya merah.

Bukan disebabkan darah ya, tetapi warna air kemerah-merahan itu berpunca daripada sejenis alga unik yang menjadi sumber makanan flaminggo.

Beberapa foto yang diambil dari ruang angkasa juga jelas memperlihatkan kawasan tasik seluas 1,040 kilometer persegi itu dengan warna merah.

Tasik itu sehingga kini masih dipelihara dan dipulihara dengan rapi bagi mengelakkan spesies flaminggo daripada terancam.