Hanya kerana ingin menjadi polis, matanya ditusuk hingga buta
SEPERTI rata-rata kaum wanita yang lain, Kathera yang berusia 33 tahun juga pernah mendambakan sebuah kehidupan yang normal seperti orang lain yang mempunyai kerjaya dan mampu berdikari.
Setelah berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan tidak pernah kenal erti putus asa akhirnya menghadirkan sebuah kegembiraan buatnya.
Menurut sumber, cita-citanya untuk berkhidmat kepada negara iaitu sebagai pegawai polis wanita di wilayah Ghazni, Afghanistan, akhirnya diperoleh Kathera.
Namun, disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, kegembiraan itu hanya sekelip mata apabila berlaku satu insiden yang amat kejam yang telah membinasakan masa depan yang sudah lama diatur Kathera.
“Perkara terakhir yang saya nampak ialah tiga orang lelaki di atas sebuah motosikal menyerang saya apabila saya meninggalkan tempat kerja di stesen polis.“Mereka menembak dan menusuk mata saya dengan pisau. Apabila saya bangun di (katil) hospital, dunia saya menjadi gelap,” Kathera mengimbau permulaan kekejaman terhadap dirinya.
“Saya bertanya kepada doktor, mengapa saya tidak boleh melihat apa-apa? Mereka memberitahu saya bahawa mata saya masih dibalut kerana luka. Namun, pada ketika itu, saya lebih tahu,” luah Kathera menyambung perbualan.
Kata Kathera, dia hanya sempat menikmati kehidupan sebagai seorang pegawai polis di bahagian jenayah untuk beberapa bulan sahaja, sebelum penglihatannya itu ‘dirampas’.
“Saya berharap dapat berkhidmat sebagai pegawai polis untuk sekurang-kurangnya setahun. Sekiranya ia benar-benar berlaku pada saya selepas itu, Ia akan menjadi kurang menyakitkan.“Ia berlaku dengan terlalu pantas… saya hanya dapat bekerja dan menunaikan impian saya selama tiga bulan sahaja,” ujarnya kepada Reuters.
Kathera dan pihak berkuasa tempatan tegas mendakwa, serangan ke atasnya itu dilakukan oleh militan Taliban.
Bagaimanapun, puak Taliban menafikan ada kaitan dengan kekejaman itu, sebaliknya, mendakwa, serangan ke atas wanita itu bertitik tolak pada rasa tidak senang ayah Kathera dengan kerjaya yang disandang anaknya itu.
Ayah Kathera didakwa menentang keras keputusan anaknya menyertai pasukan beruniform dan perkara itu diakui sendiri olehnya.
“Berkali-kali ketika saya ke tempat kerja, saya melihat ayah mengikuti saya. Dia mula mengubungi Taliban di kawasan berdekatan dan meminta mereka menghalang saya daripada bekerja,” dedah Kathera.
Katanya, ayahnya juga ada memberikan salinan kad pengenalannya kepada militan Taliban sebagai bukti bahawa dia bekerja dengan pihak polis.
Kathera masih ingat pada hari kejadian serangan dia menerima panggilan daripada bapanya sepanjang masa hanya semata-mata mahu mengetahui lokasi di mana dia berada.
Ini memberi petunjuk kepada polis Ghazni yang percaya serangan itu dilakukan militan Taliban dan ayah mangsa pula dalam masa telah ditahan untuk siasatan.
Sementara itu, jurucakap Taliban mengakui menyedari berkenaan kes itu, namun sekeras-kerasnya menafikan penglibaran mereka dan berpendapat, tragedi kekejaman itu ada kaitan dengan masalah peribadi keluarga itu.
Berdasarkan kes kekejaman ke atas Kathera itu, realitinya, wanita berkerjaya masih diancam bahaya di Afghanistan kerana menjadi antara sasaran serangan militan Taliban yang kononnya bertindak mengikut landasan Islam.
Sumber : astroawani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang