BARU-BARU ini, pihak berkuasa kesihatan China mengatakan bahawa terdapat wabak baharu yang dikenali Norovirus.

Sedangkan vaksin dan ubat untuk virus Covid-19 belum pun dijumpai.

Norovirus sebenarnya bukan virus terbaharu. Norovirus adalah penyebab utama jangkitan usus akut (gastroenteritis) di seluruh dunia.

Tribunnews melaporkan, perkara itu disahkan oleh pakar dalam perundingan penyakit Gastroenterologi Hepatologi di Jabatan Perubatan Dalaman FKUI-RSCM, Profesor Dr Ari Fahrial Syam dalam kenyataannya, semalam.

Dr Ari mengatakan, virus ini juga ada di Indonesia seperti yang dilaporkan oleh penyelidik Indonesia dalam sebuah jurnal antarabangsa.

Salah satunya, baru saja diterbitkan dalam Journal of Medical Virology pada Mei lalu yang dilengkapkan oleh Dr Juniastuti, dkk dari Tropikal Disease University Airlangga.

Dalam jurnal tersebut, dilaporkan bahawa daripada 91 sampel yang diperiksa ternyata 14 sampel atau 15.4 peratus mengandungi Norovirus.

Sampel kajian yang dilakukan pada awal 2019 diambil daripada beberapa hospital di bandar Jambi.

Artikel berkaitan: Belum habis Covid-19, mahasiswa di China diserang Norovirus pula

Kes yang sama juga telah dilaporkan dari beberapa bandar di Indonesia.

Kata Dr Ari, tidak seperti virus SARS-Cov-2, Norovirus ini tersebar melalui makanan yang dimakan.

Iklan

Katanya, gejala-gejala seseorang dijangkit adalah mengalami keracunan makanan termasuk demam, sakit perut, cirit-birit, mual dan muntah.

“Gejala klinikal yang timbul akibat virus ini dapat terjadi dalam 24 jam setelah memakan makanan yang tercemar,” jelasnya.

Hingga kini, menerusi maklumat dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China, lebih dari 30 wabak telah terjadi sejak September 2020 yang melibatkan 1,500 kes, terutamanya
dilaporkan dijangkiti melalui kantin dan kafe kerana makanan yang tercemar.

Norovirus boleh dijumpai di banyak negara, biasanya bermula dari restoran atau kafe yang makanannya dicemari oleh Norovirus dan akhirnya wabak berlaku disebabkan oleh banyak pelanggan restoran yang dijangkiti.

Iklan

Dr ari turut menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan makanan.

“Usaha yang boleh dilakukan untuk mencegah Norovirus adalah wajib menjaga kualiti kebersihan makanan tidak kiralah restoran, kafe, kantin atau di rumah.

“Selain itu, orang ramai juga mestilah kerap mencuci tangan dengan sabun,” katanya.

Katanya lagi, hingga kini, prinsip rawatan jika dijangkiti Norovirus adalah memberikan ubat untuk melegakan gejala penyakit dan mencegah dehidrasi akibat muntah dan cirit-birit.

“Gantikan makanan dengan makanan yang lebih lembut seperti bubur dan elakkan makan makanan pedas dan berlemak,” pesannya.