Hutan Aokigahara jadi lokasi masyarakat Jepun bunuh diri
JEPUN memang terkenal dengan Gunung Fuji dengan ketinggian 3,776.12 meter dari paras laut iaitu 31 9meter lebih rendah daripada Gunung Kinabalu, Sabah.
Pun begitu, kisah hutan yang terletak di kaki gunung tersebut iaitu Hutan Aokigahara melangkaui populariti gunung yang menjadi simbol kebanggaan negara Matahari Terbit itu.
Menerusi artikel yang dikongsi Zunita Ramli mengenai Hutan Aokigahara agak mengerikan. Masakan tidak, hutan yang ditumbuhi dengan pelbagai pokok unik menjadi tempat orang yang murung atau bermasalah membunuh diri.
Ya! Negara maju seperti Jepun memang terkenal dengan rakyat yang berdisiplin dan rajin bekerja, namun bab membunuh diri seolah-olah kekal menjadi trend di sana.
Pasti, ramai yang tertanya-tanya mengapa orang Jepun memilih untuk bunuh diri di dalam hutan ini berbanding terjun jambatan, landasan kereta api, minum racun waima memotong nadi sendiri?
Dalam #CatatanZunitaDiJepun, Zunita turut mempersoalkannya. Kata wanita yang tinggal di Jepun itu, beliau juga hairan bagaimana statistik bunuh diri di negara itu begitu tinggi. Di mana silapnya?
Berikut penjelasan lanjut Zunita:
"Bunuh diri itu sendiri bukan benda yang mudah untuk dilakukan sebenarnya. Nak gantung diri, nak terjun ke landasan keretapi masa keretapi tengah memecut laju, potong nadi sendiri, ingat senang ke? Benda ni memang memerlukan nekad dan keberanian yang tinggi, tapi kenapa ramai orang Jepun berani buat begini?
Jepun sejak beratus tahun dulu telah mengamalkan sesuatu yang dipanggil seppuku atau juga dikenali sebagai harakiri. Benda ni adalah hukuman untuk samurai yang buat kesalahan berat, di mana harakiri perlu dilakukan dengan cara merobek perut sendiri (bunuh diri) untuk mengembalikan maruah keluarga.
Walaupun seppuku ni dah diharamkan, tapi benda ni dah sebati dalam jiwa orang Jepun. Sebab tu kalau kita tengok masa Perang Dunia Kedua, ramai orang Jepun sanggup buat Kamikaze demi memperjuangkan negara Jepun. Jadi tak hairanlah kalau masa sekarang, ramai orang Jepun pilih untuk mengambil nyawa sendiri untuk 'keluar' daripada masalah mereka.
Selain itu, ujar Zunita, terdapat rakyat Jepun yang mempercayai konsep 6 dunia yang mana ia turut mempengaruhi sedikit sebanyak keputusan bunuh diri yang berlaku di Jepun.
"Dalam kepercayaan konsep 6 dunia ini, individu (roh) berlegar-legar dalam 6 dunia ini di mana mereka percaya pada proses kelahiran semula (reincarnation). Jadi, apabila seseorang individu itu sudah berpuluh asa dengan kehidupan sekarang, bunuh diri adalah solusi paling mudah untuk mendapat kelahiran semula, bagi mulakan hidup yang baharu," katanya.
Zunita menambah, terlalu mahukan kesempurnaan juga mungkin salah satu sebab mereka kecewa dan membunuh diri.
Kongsinya, kebanyakan orang Jepun bukan bunuh diri sebab gagal, tetapi sebab kecewa tak capai tahap kesempurnaan yang diinginkan.
Mereka juga meletakkan target terlalu tinggi sehingga sukar untuk dicapai menjuruskan diri ke alam depresi dan akhirnya, mengambil nyawa sendiri.
"Budaya Jepun itu sendiri mungkin penyumbang kepada masalah ini. Mereka tidak ada banyak cara untuk meluahkan rasa kecewa dan marah. Dalam kebanyakan situasi, apa saja yang berlaku, perlu dipendam saja. Jadi tak hairanlah jika ramai juga yang berakhir dengan hikikomori (pengasingan diri dari dunia luar) dan akhirnya ada yang membunuh diri," katanya.
Memang Jepun sebuah negara yang hebat dan terkenal dengan sisi yang baik, namun pada masa sama juga mempunyai sisi gelapnya.
Moga kita sama-sama ambil teladan dari ketidaksempurnaan ini.
Amalan orang Jepun yang baik boleh dicontohi tapi janganlah kita ambil jalan mudah jika berdepan masalah. Dekati ALLAH untuk bantuan daripada-NYA.
Kepada yang mahu melihat kisah Hutan Aokigahara jadi medan orang bunuh diri di Jepun, boleh menonton dokumentari penuh menerusi rancangan Vice.
Negara diduga lagi dengan jumlah peningkatan jangkitan Covid-19, jadi janganlah kita diserang panik attack dan pendamkan masalah sehingga menjurus kepada hikikomori ini ya? #janganputusasamalaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang