DALAM dunia ini, ada macam-macam jenis orang. Ada yang dikurniakan fizikal yang sempurna, namun sering merungut dengan kerja yang dilakukan dan berkira setiap apa yang dipertanggungjawabkan.
Orang seperti ini tidak pernah memikirkan perasaan orang lain, yang penting dirinya berasa selesa, walaupun orang berasa sangat terseksa dengan sikap negatifnya itu.
Begitu juga dengan individu yang dikurniakan kecerdikan akal, namun memanipulasinya untuk melakukan perkara haram seperti melakukan jenayah.
Bagi individu dalam golongan itu, tindakan demikian difikirkan mereka sebagai satu jenis kepuasan. Pendek kata, walaupun mencuri itu salah, janji memberi kebahagiaan segera kepada mereka. Buat apa nak susah-susah, bukan? Itu ayat yang biasanya terpacul dalam kalangan penjenayah.
Kenyataan itu bukan sahaja dibuat-buat. Itulah yang berlaku dan dilakukan oleh seorang wanita di England baru-baru ini.
Wanita seperti yang dilaporkan oleh portal berwibawa di United Kingdom, The Sun, Sarah Aikenhead telah melakukan sesuatu yang di luar jangkauan.
Demi melangsungkan perkahwinan dengan lelaki idaman dan melunaskan beberapa impian yang barangkali sudah terpendam lama, dia tergamak mencuri wang bernilai RM752,064 atau £136,000!

Ibu kepada anak satu itu juga seperti fakta yang diperdengarkan di kamar Mahkamah Manchester’s Minshull Street, England, juga telah menggunakan wang terbabit untuk bercuti di lokasi impian bersama suami baharunya itu.

Di samping itu, dia dilaporkan menggunakan sebahagian amaun yang dicuri itu untuk membeli pakaian-pakaian berjenama!

Berdasarkan rekod, untuk majlis perkahwinan sahaja, pesalah berusia 37 tahun membelanjakan sebanyak RM66,351.
Paling membuatkan ramai terkesima dan geram dengan Sarah, dia telah mencopet wang itu daripada para pelanggan di firma guaman, lokasi yang mana dia sedang berkhidmat ketika itu.
Semua pelanggan itu seperti diberitahu adalah pesakit demensia (yang mengalami masalah daya ingatan)!
Pendakwa kes berkenaan, Wayne Jackson berkata: “Dia (Sarah) menggunakan £12,000 (RM66,351) untuk lokasi perkahwinan dan menghabiskan sejumlah besar wang untuk pakaian dan barang-barang mewah.
Dalam reaksi Hakim Tina Landale, beliau meluahkan kekesalan terhadap perlakuan Sarah.
Anda merupakan kakitangan yang sangat dihargai dan dipercayai. Anda memiliki akses ke kata laluan dan akaun bank untuk pelanggan, namun anda telah merampas akaun para pelanggan. Impaknya, sangat dahsyat!,” kata Hakim Landale.
Berdasarkan penghakiman, Sarah mengakui penipuan yang dia telah lakukannya itu.
Mahkamah kemudian mengarahkannya di penjara selama tiga tahun empat bulan.

Kisah Sarah sebenarnya ada berlaku dalam kalangan kita sebenarnya yang mungkin kita tak tahu.
Sebagai umat Islam, kita bukan sahaja dilarang daripada berbohong, kita sama sekali ditegah mengambil dan mencuri hak orang lain demi kesenangan diri. Hindarilah perbuatan hina itu!
Sumber dan foto: The Sun, MEN Media & Unsplash