Ini kisah Lina Medina, ibu termuda di dunia lahirkan anak pada usia 5 tahun
KISAH menyayat hati Lina Medina sering menjadi perhatian. Melahirkan cahaya mata pada usia lima tahun sekali gus sebagai ibu termuda di dunia, ini sebenarnya yang terjadi.
Lina atau nama sebenanya Lina Marcela Medina de Jurado dilahirkan pada 23 September 1933 adalah anak kepada pasangan tukang perak, Tiburelo Medina dan suri rumah, Victoria Losea di Peru.
Baca juga: 13 tahun ambil jurusan perubatan, ibu dedah keistimewaan anak- “3 tahun boleh baca 1 bab buku”
Pada usia lima tahun, ibu bapanya menyedari perut Lina membengkak secara ekstrem dan tidak normal.
Mereka menyangka ia mungkin sejenis ketumbuhan dan tidak menjangka hasil didiagnosis Dr Gerardo Lozada, Lina sebenarnya hamil tujuh bulan.
Pada mulanya, ibu bapa Lina tidak menerima kenyataan anak mereka hamil pada usia semuda itu sehingga membawa Lina kepada pakar yang turut mengesahkan diagnosis anak mereka hamil.
Baca juga: Paling subur, wanita miliki 44 anak pada usia 36 tahun berhenti hamil
Baca juga: Ibu cerita pengalaman bersalin bayi 5.6 kilogram, terlalu besar, perlu disambut 2 orang
LINA MANGSA JENAYAH
Apabila mendengar berita tersebut, doktor menghubungi polis yang segera menahan bapa Lina sebagai suspek pertama. Selepas seminggu disoal siasat, polis terpaksa melepaskan Tiburelo kerana mereka tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk membuktikan bahawa bapa itu telah menodai Lina.
Suspek kedua ialah sepupu Lina yang mengalami masalah mental tetapi sekali lagi tanpa bukti, polis tidak dapat mendakwanya sebagai bapa kepada anak Lina.
Pihak berkuasa cuba mendapatkan jawapan daripada Lina sekiranya dia mengingati sesiapa yang mencederakan atau menodainya.
Namun Lina sangat keliru tentang semua yang berlaku sehingga polis tidak mempunyai petunjuk mendapatkan suspek. Tanpa bukti lanjut dan petunjuk, pihak berkuasa akhirnya menggugurkan kes itu.
Hal ini menyayatkan hati. Hakikatnya kanak-kanak itu terlalu muda untuk mengetahui diri adalah mangsa perbuatan jenayah.
Susulan usia masih muda dan perkembangan tubuh yang tidak dapat menyokong kehamilan dan proses kelahiran sebagaimana wanita dewasa, Lina melahirkan bayinya menerusi pembedahan caesarean. Kelahiran secara normal boleh membahayakan nyawa Lina.
Baca juga: Tarikh jangka sudah lepas belum bersalin lagi, ibu hamil 'overdue' lebih 42 minggu ini puncanya
HAID PADA USIA 3 TAHUN
Apabila kandungannya menginjak ke usia lapan bulan dan ibu mengaku bahawa Lina mula mengalami haid pada usia semuda tiga tahun. Namun Dr Lozada mendedahkan maklumat yang lebih mengejutkan. Kata Lozada pesakitnya itu mula didatangi haid pada usia lapan bulan!
Ia kemudiannya disahkan oleh pakar sebagai akil baligh pramatang (precocious puberty) yang bermakna bahawa organ seksualnya berkembang pada usia yang sangat muda.
Keadaan genetik yang jarang berlaku itu yang menyebabkan badan kanak-kanak berubah menjadi dewasa terlalu cepat (sebelum umur lapan tahun bagi kanak-kanak perempuan dan sebelum umur sembilan tahun bagi kanak-kanak lelaki).
Kelenjar yang merembeskan pertumbuhan dan hormon seks mula berfungsi secara tidak normal pada awal usia Lina menyebabkan keadaan jarang berlaku itu.
Doktor juga mendedahkan bayi dikandung berisiko tinggi terjejas susulan usia Lina yang terlalu muda. Kebimbangan utama ialah nutrien yang diperlukan bayi sepanjang kehamilan.
Namun ajaibnya, bayi lelaki Lina dilahirkan sihat dengan berat 2.7 kilogram pada Hari Ibu, 14 Mei 1939.
Bayinya dinamakan Gerardo Medina, diilhamkan oleh doktor yang membantu Lina bersalin.
PRIVASI
Identiti bapa Gerardo masih kekal misteri sehingga ke hari ini. Apa yang pasti Lina adalah seorang lagi mangsa jenayah seksual yang tidak bersalah.
Ibu bapa Lina, Victoria dan Tiburelo sedaya upaya melindungi privasi anak serta cucu mereka. Mereka tidak menerima sesi temuramah media yang ingin mengetahui lanjut keunikan Lina dan Gerardo walaupun tawaran diberikan cukup lumayan.
Ramai penyelidik dan doktor berminat terhadap kes Lina dan mahu mengkajinya. Ibu bapa Lina sekali lagi menolak kerana mereka mahu Lina menjalani zaman kanak-kanaknya seperti biasa.
Selepas kehamilannya yang mengejutkan, dia meneruskan kehidupan yang tenang di Peru. Lina dikatakan pernah bekerja sebagai setiausaha.
Lina dikatakan berkahwin dengan suami, Raul pada 1970-an. Menerusi perkahwinan itu, wanita unik berkenaan dikurniakan anak lelaki kedua pada usia 39 tahun.
Bagaimanapun tidak banyak yang diketahui tentang Gerardo. Beliau dipercayai meninggal dunia pada usia 40 tahun kerana penyakit sum sum tulang.
1 DALAM 10,000
Pelik tetapi benar. Menurut National Library of Medicine, kes akil baligh pramatang yang dialami Lina dianggarkan terjadi satu dalam 5,000 hingga 10,000 orang kanak-kanak perempuan.
Tanda-tanda akil baligh termasuk perkembangan pubis dan bulu ketiak, peningkatan ketinggian yang cepat dan tumbuh jerawat.
Kanak-kanak perempuan memiliki payudara dan mula didatangi haid. Kanak-kanak lelaki pula mengalami pertumbuhan zakar dan testis serta suara yang dalam.
Susulan lonjakan pertumbuhan awal, kanak-kanak akil baligh pramatang mungkin lebih tinggi daripada rakan sebaya mereka. Bagaimanapun tumbesaran mereka mungkin terhenti lebih awal.
Tanpa rawatan yang sewajarnya, sesetengah penghidapnya mungkin rendah ketika dewasa berbanding dengan ahli keluarga mereka yang lain.
Sumber: The Sun UK, Mirror UK, historyofyesterday.com, All That's Interesting
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang