'Jangan terlalu berharap pada manusia' – Afgan kembali dengan ‘Kacamata’, simbol perjalanan diri dan cinta

No Image Caption
A
A
A

JANGAN terlalu berharap pada manusia, kerana satu-satunya tempat kita boleh bersandar hanyalah Tuhan.” Itulah pesan mendalam yang disampaikan oleh penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, menerusi single terbaharunya berjudul ‘Kacamata’. 

Lagu itu bukan sekadar karya cinta biasa, tetapi simbol kepada perjalanan baharu dalam karier seninya yang kini memasuki fasa lebih matang dan reflektif.

Menariknya, ‘Kacamata’ menjadi taruhan pertama daripada album ketujuh Afgan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berjudul Retrospektif. 

Selepas tujuh tahun tidak mengeluarkan album berbahasa Indonesia, naskhah ini menjadi tanda kepulangan Afgan ke akar musikalitinya. 

Jika dua album terdahulu banyak menampilkan lagu-lagu berbahasa Inggeris, kali ini Afgan kembali dengan sentuhan pop Indonesia yang segar, berjiwa dan dekat di hati pendengar.

Jejaka berusia 36 tahun itu berkata, album Retrospektif dihasilkan sebagai perjalanan pulang ke asal muzik yang membentuk dirinya sebagai artis. 

“Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat tepat untuk membuka tirai album baharu saya,” katanya.

Walaupun berakar dalam genre pop, ‘Kacamata’ tampil dengan wajah lebih segar apabila disuntik elemen R&B moden dan produksi muzik yang kontemporari. 

Afgan kekal dengan identiti pop yang sinonim dengannya, namun kali ini hadir dengan kematangan emosi dan bunyi yang lebih berani.

Dalam proses kreatifnya, pemilik nama sebenar Afgansyah Syahreza bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing dan Kamga Mohammed. 

“Iqbal membawa idea awal berupa melodi menarik untuk bahagian korus, yang kemudian dikembangkan bersama hingga siap dalam tempoh hanya dua jam. 

Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga turut menjadi pengarah vokal serta komposer bersama,” jelasnya.

No Image Caption

KONSEP NOSTALGIA ERA 90-AN

Bercerita tentang mesej yang ingin disampaikan, Afgan menjelaskan bahawa ‘Kacamata’ bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga mengandungi pesan kehidupan yang mendalam.

 “Lagu ini ibarat peringatan untuk kita agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berhadapan dengan kekecewaan,” ujarnya.

Dengan melodi ringan, lirik mudah diingati dan nuansa positif, ‘Kacamata’ memberi ruang kepada pendengar untuk merenung makna hidup bahawa hidup tidak selamanya berat dan kadangkala, kita hanya perlu tersenyum di tengah kekecewaan.

Selain itu, video muzik ‘Kacamata’ turut menarik perhatian peminat. Dihasilkan oleh Shadtoto Prasetio, video tersebut menampilkan konsep nostalgia era 90-an dengan sentuhan moden yang segar. 

Afgan turut digandingkan dengan pelakon popular Yuki Kato, dan mereka muncul dalam adegan permainan catur yang menjadi simbol perjalanan cinta penuh strategi, langkah maju, undur, pertahanan dan pengorbanan.

Menariknya, kali ini penyanyi kelahiran Indonesia itu menonjolkan permainan gitar sebagai elemen utama, berbeza daripada kebanyakan karya terdahulu yang lebih berteraskan piano dan orkestra.

Hasilnya, lagu ini terasa lebih hangat, jujur dan peribadi, selari dengan konsep Retrospektif yang menggambarkan perjalanan serta evolusi muzik Afgan sepanjang 15 tahun berkarya.

Single ‘Kacamata’ kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober 2025, manakala album penuh Retrospektif dijadualkan dilancarkan pada November 2025.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang