SEPERTI ramai sedia maklum, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) telah mengotakan janjinya apabila dilaporkan telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di republik itu pada 13 Januari lepas.

Jokowi disuntik dalam Majlis “Suntikan Perdana” yang berlangsung di Istana Presiden di Bogor malahan juga telah disiarkan secara langsung menerusi YouTube Sekretariat Presiden.

Jokowi memilih untuk disuntik vaksin Sinovac, sebelum diikuti beberapa menteri kabinetnya serta Ketua Polis Indonesia, Idham Azis dan Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto.

Terbaharu, hari ini Jokowi sekali lagi dilaporkan selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Sinovac Covid-19 pada jam 9.30 pagi tadi (waktu tempatan) di Kompleks Istana Presiden, Jakarta.

Memetik laporan portal Kompas.com, Jokowi menyatakan beliau tidak berasa sakit apabila disuntik vaksin kali kedua di lengan kiri dan beliau dilaporkan lebih tenang berbanding kali pertama menerima suntikan serupa dua minggu lalu.

“Sama sahaja prosedurnya dengan suntikan kali pertama. Tidak berasa apa-apa kesakitan,” ujarnya.

Sementara itu Jokowi juga memaklumkan yang beliau hanya mendapat sedikit kesan sampingan ringan pada suntikan pertama dua minggu lalu iaitu rasa lenguh di bahagian lengan yang disuntik.

Jokowi kotakan janji, individu pertama disuntik vaksin Covid-19 di Indonesia

Namun begitu, beliau mendakwa kesan sampingan itu tidak mengganggu aktiviti hariannya dan Jokowi mendakwa aktiviti hariannya berjalan seperti biasa.

Jokowi menambah, meskipun sudah menerima vaksin, kita semua perlu kekal patuh pada peraturan kesihatan dengan penuh disiplin supaya ita tidak mudah untuk dijangkiti wabak tersebut.

ANEKDOT

Perincian perancangan yang dibuat oleh kerajaan Indonesia mengenai vaksin Covid-19 adalah seperti berikut :

6 Disember 2020

Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China dan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Disember lepas, manakala 15 juta lagi vaksin baru sahaja diterima semalam.

Kerajaan Indonesia juga telah memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer dan Novovax.

16 Disember 2020

Iklan

Jokowi mengumumkan vaksin Covid-19 itu akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan dengan menyasarkan suntikan kepada 182 juta penduduk daripada jumlah penduduk Indonesia yang hampir 290 juta.

Suntikan tidak termasuk kanak-kanak dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko seperti ibu mengandung dan sebagainya.

11 Januari 2021

Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia (BPOM) meluluskan penggunaan vaksin Sinovac dari China bagi membolehkan proses suntikan vaksin di republik itu, bermula hari ini.

Iklan

13 Januari 2021

Presiden Indonesia Joko Widodo menjadi individu pertama disuntik Vaksin Sinovac diikuti menteri kabinetnya serta Ketua Polis Indonesia, Idham Azis dan Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto.

27 Januari 2021

Jokowi sekali lagi dilaporkan selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Sinovac Covid-19 di Kompleks Istana Presiden, Jakarta.