TERJATUH ke dalam lubang sedalam 35 meter, kanak-kanak Vietnam bernama Thai Ly Hao Nam meruntun hati.

Tidak hanya sedalam 35 meter, lubang di mana kanak-kanak itu terperangkap juga hanya selebar 25 sentimeter (cm) menyukarkan aktiviti menyelamat

Nam dipercayai terjatuh ke dalam lubang batang tiang konkrit di sebuah tapak pembinaan pada 31 Disember 2022.

Lebih memilukan, tangisan dan raungan pilu si kecil itu meminta tolong masih boleh didengari selama dua hari selepas insiden terjatuh.

Baca juga: Kanak-kanak terperangkap perigi 32 meter meninggal dunia, berikut tragedi #SaveRayan menarik perhatian global

Namun maklum penyelamat, ketika menurunkan kamera ke dalam lubang berkenaan untuk cuba mengesan kedudukan Nam pada Isnin, pihaknya tidak lagi dapat mengesan suara kanak-kanak biarpun bantuan oksigen telah dipam melalui tiang sokongan untuk membantu Nam bernafas.

Kanak-kanak lelaki itu  terjatuh ke dalam lubang batang tiang konkrit untuk jambatan baharu ketika sedang mencari besi buruk di selatan Vietnam.

Selepas tiga hari terperangkap, pelbagai usaha dilakukan pihak penyelamat termasuk membenamkan paip logam yang lebih lebar sepanjang 19 meter di sekeliling tiub konkrit di mana Nam terperangkap untuk membolehkan mereka mengeluarkan lumpur dari sekeliling tiang dan mengangkatnya keluar.

Pasukan penyelamat juga berusaha mengeluarkan lumpur dan air bagi mengurangkan tekanan di sekeliling tiang sebelum mengangkat mangsa keluar.

Baca juga: Kecederaan otak, paru-paru, tulang patah punca kematian Rayan, berikut kronologi operasi menyelamat

Kira-kira 100 orang tentera dengan peralatan profesional dikerahkan ke lokasi kejadian yang telah ditutup kepada orang ramai.

“Budak lelaki itu terperangkap di dalam tiang kecil itu selama empat hari dengan andaian beberapa kecederaan. Harapan untuk dia hidup adalah tipis,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Wilayah Dong Thap, Doan Tan Buu.

Menurutnya, usaha menyelamat setakat ini tidak berjaya.

“Kami telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan budak lelaki itu menggunakan pelbagai cara dan peralatan di tempat kejadian.

Iklan

“Kami kemudiannya terpaksa melaporkan dan meminta bantuan daripada peringkat kebangsaan dan orang yang mempunyai kepakaran,” Buu dipetik oleh akhbar Tuoi Tre.

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh meminta penyelamat peringkat persekutuan pada hari Isnin untuk menyertai usaha pihak berkuasa tempatan untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.

Sama-sama kita doakan semoga Nam dikeluarkan dengan selamat.

Kemalangan kanak-kanak terperangkap lubang yang dalam tidak asing lagi. Pada awal tahun 2022, dunia dikejutkan dengan kematian dua kanak-kanak di Maghribi dan Afghanistan selepas terjatuh di dalam telaga.

Haidar, 9, dan Rayan Awram, 5, masing-masing menghembuskan nafas terakhir selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 25 meter dan 32 meter.

Iklan

Baca juga: Kesudahan serupa Rayan, kanak-kanak Afghanistan terperangkap perigi 70 jam meninggal dunia

Sumber: BBC

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.