SESUNGGUHNYA empat hari bukan waktu yang singkat. Pasukan penyelamat telah berusaha menyalurkan oksigen, makanan dan air kepadanya tetapi tidak jelas sama ada bantuan berkenaan digunakan.

Tambahan pula, Rayan, 5, terjatuh pada kedalaman yang melebihi 100 kaki. Ternyata kecederaan dialami anak kecil itu menjadi punca kematiannya.

Menerusi ‘hashtag’ #SaveRayan, warganet seluruh dunia yang mengikuti perkembangan usaha menyelamat Rayan mendoakan anak kecil itu. Tidak kurang pula yang meluahkan hiba dan pilu.

Menurut laporan Gulfnews, berikut kronologi usaha menyelamat anak syurga itu sehingga disahkan meninggal dunia.

Baca juga: Kanak-Kanak Terperangkap Perigi 32 Meter Meninggal Dunia, Berikut Tragedi #SaveRayan Menarik Perhatian Global

Baca juga: [VIDEO] 4 Hari Terperangkap Dalam Perigi 32 Meter, Misi Menyelamat Kanak-Kanak Maghribi Raih Perhatian Dunia

05:58 petang

Pasukan penyelamat Maghribi menghampiri lokasi Rayan dan hanya tinggal beberapa minit lagi untuk membawanya keluar, selepas lebih 90 jam kanak-kanak itu terperangkap.

06:03 petang

Video penstriman langsung dari tapak menunjukkan dron berlegar di atas tapak penggalian.

Ambulans serta kakitangan perubatan berada di hadapan terowong yang digali untuk memberikan rawatan terbaik buat Rayan.

06:19 petang

Kelihatan sebuah ambulans menghampiri tapak tersebut. Sebuah helikopter akan membawa Rayan ke hospital. Ayah Rayan, Khalid Awram diminta menaiki ambulans.

06:23 petang

Pekerja penyelamat dan pemandu jentolak meninggalkan tempat kejadian selepas pasukan perubatan memasuki terowong.

06:39 petang

Laporan media yang tidak disahkan dari laman sesawang mengatakan Rayan ditemui tidak sedarkan diri tetapi masih bernyawa. Dia sedang dipantau pasukan perubatan di tapak penggalian. Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan ketika itu.

07:10 petang

Pasukan perubatan sedang bersiap sedia untuk membawa Rayan keluar menerusi terowong.

07:33 petang

Lapor media Maghribi, pemeriksaan awal oleh doktor di tapak kejadian Rayan disahkan mengalami pelbagai kepatahan tulang.

08:10 petang

Rayan didapati mengalami kecederaan otak dan paru-paru selain beberapa tulang patah.

08:19 malam

Ibu bapa Rayan telah memasuki terowong untuk melihat anak mereka.

08:48 malam

Media Maghrib melaporkan pasukan perubatan sedang menyediakan Rayan supaya mereka boleh mengeluarkannya dari perigi menggunakan pengusung.

12:13 tengah malam

Ibu bapa Rayan berdiri di hadapan pintu masuk terowong, menunggu anak mereka dibawa keluar.

12:34 tengah malam

Pasukan penyelamat berjaya memindahkan Ryan selepas kira-kira 100 jam terperangkap di dalam perigi.

Ambulans mengangkut Ryan ke helikopter yang diletakkan berhampiran tapak penggalian untuk membawanya ke hospital.

12:49 tengah malam

Rayan sedang dibawa ke hospital tetapi belum ada maklumat rasmi mengenai keadaannya.

12:55 pagi

Rayan diisytiharkan meninggal dunia. Mahkamah Diraja Maghribi mengesahkan Rayan berusia lima tahun yang dipindahkan dari perigi itu sudah meninggal dunia.

Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Dubai menulis di Twitter mengucapkan takziah.

01:24 pagi

Susulan kemalangan tragis yang meragut nyawa kanak-kanak itu, Raja Maghribi, Raja Mohammed VI membuat panggilan telefon kepada ibu bapa Rayan Khalid Awram dan Wassima Kharchich.

Raja Mohammed merakamkan ucapan takziah dan simpati yang tulus kepada keluarga Allahyarham. Baginda menitipkan doa agar dilimpahkan rahmat, kesabaran dan ketenangan buat keluarga itu.

Kisah menimpa Rayan ini seolah-olah mengimbas kembali tragedi seakan serupa yang berlaku di Sepanyol pada awal 2019.

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas terjatuh ke dalam perigi terbiar selebar 25 sentimeter dan kedalaman lebih 70 meter ( kira-kira sedalam 230 kaki).

Jasad Julen Rosello ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama 13 hari.

Jom follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Gulf News, BBC