SELURUH dunia bersama-samanya sepanjang empat hari, mendoakan keselamatan dan usaha menyelamat dengan ‘hashtag’ #SaveRayan.

Namun ternyata ALLAH lebih menyayangi. Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan yang berusia lima tahun yang terperangkap dalam perigi dalam selama empat hari telah meninggal dunia.

Menurut Arab News, Raja Maghribi, Raja Mohammed VI membuat panggilan telefon kepada ibu bapa Rayan, Khalid Awram dan Wassima Kharchich untuk menzahirkan ucapan takziah atas kematian tragis kanak-kanak itu.

Baca juga: Kecederaan Otak, Paru-Paru, Tulang Patah Punca Kematian Rayan, Berikut Kronologi Operasi Menyelamat

Baca juga: [VIDEO] 4 Hari Terperangkap Dalam Perigi 32 Meter, Misi Menyelamat Kanak-Kanak Maghribi Raih Perhatian Dunia

Baginda yang turut mengikuti perkembangan itu dengan teliti dan telah mengeluarkan arahan kepada semua pihak berkuasa yang berkenaan untuk mengambil langkah yang perlu dan melakukan semua usaha untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak berkenaan.

Raja Mohammed turut menzahirkan penghargaan atas usaha gigih yang dilakukan oleh pasukan penyelamat dan aktiviti kolektif serta sokongan padu sepanjang tragedi yang menyedihkan itu.

Rayan berjaya dibawa keluar pada malam Sabtu dalam operasi menyelamat yang panjang dan rumit. Operasi menyelamat Rayan menarik perhatian seantero dunia susulan berhadapan risiko tanah runtuh.

Berikut ialah garis masa proses menyelamat dan beberapa insiden penting:

Selasa, 1 Februari

Rayan terjatuh ke dalam perigi sempit milik ayahnya ketika bermain di luar. Kanak-kanak lelaki itu terperangkap di dalam lubang sempit sedalam 32 meter.

Dia ditemui selepas Wassima dan Khalid yang mendengar suara  dan meilhat Rayan di bawah dasar menggunakan lampu suluh.

Percubaan awal untuk menyelamatkannya menggunakan tali gagal. Susulan itu, perkhidmatan kecemasan seterusnya dipanggil.

Percubaan awal dilakukan pasukan penyelamat dengan memasuki perigi dan mengamankannya gagal. Apabila mereka bergerak ke dalam, perigi itu semakin sempit.

Rabu, 2 Februari

Memandangkan percubaan untuk memasuki ke dalam telaga gagal, pihak berkuasa mengerahkan jentolak menggali sekitar telaga.

Pasukan penyelamat mula menggali lubang selari dengan telaga dan kemudian menggali secara mendatar sebaik sahaja mereka mencapai kedalaman di mana Rayan tersepit.

Bentuk muka bumi dan tanah di kawasan itu ternyata sukar untuk kerja-kerja menyelamat. Bagaimanapun, operasi menggali diteruskan dengan perlahan dan berhati-hati kerana bimbang batu atau tanah runtuh membahayakan Rayan dan pasukan penyelamat yang bertugas.

Sebuah jawatankuasa dibentuk untuk mengawasi operasi yang terdiri daripada kakitangan perlindungan awam tertinggi, pihak berkuasa tempatan, profesional perubatan dan topografi.

“Saya tidak tidur sekelip mata,” kata bapa Rayan kepada media tempatan, sambil meluahkan keyakinan bahawa anaknya masih hidup.

Insiden itu mula tular di media sosial, dengan gambar dan video menyelamat menjadi trend dalam talian dan hashtag Arab #SaveRayan mendominasi Twitter.

Pihak berkuasa meluncurkan bekalan oksigen ke bawah untuk Rayan berserta makanan dan air.

Khamis, 3 Februari

Operasi menyelamat diteruskan dengan kerja-kerja penggalian terus menghampiri kanak-kanak itu. Kerja menggali dilakukan secara menegak menggunakan jentolak untuk mencapai kedalaman 32 meter.

Jurucakap kerajaan Maghribi, Mustapha Baytas memberi jaminan kerajaam mengerahkan semua jentera yang ada untuk menyelamatkan Rayan.

Dalam pada itu, dia turut memperincikan beberapa kesukaran yang dihadapi kru penggalian.

Kakitangan perubatan, ambulans dan helikopter dikerahkan ke tempat kejadian untuk terus bersiap sedia memberikan rawatan perubatan yang diperlukan. Sebuah hospital tempatan turut dimaklum agar bersedia menerima kanak-kanak itu sebaik sahaja dikeluarkan dari perigi.

Menjelang petang, pasukan penyelamat mencapai kedalaman 22 meter. Usaha penggalian diteruskan sepanjang malam.

Operasi menggali terpaksa dihentikan beberapa kali pada malam itu susulan mendapati terdapat risiko tanah runtuh yang berpotensi mengancam keselamatan pasukan penyelamat dan Rayan.

Keadaan Rayan terus menarik perhatian dan simpati dalam talian. Warganet negara jiran, Algeria dan negara Afrika Utara yang lain turut menyatakan simpati.

Jumaat, 4 Februari

Usaha penggalian akhirnya mencapai kedalaman yang diperlukan 32 meter, dan mula menggali secara mendatar untuk mencapai kedudukan Rayan.

Pada masa yang sama, paip konkrit besar digunakan tempat kejadian untuk digunakan dalam menyelamat.

Pasukan penyelamat berhasrat untuk memasukkannya ke dalam permukaan sebelum menggali secara manual untuk melindungi kakitangan dan Rayan daripada runtuhan batu dan kotoran.

Iklan

Insiden #SaveRayan itu mula mendapat lebih banyak perhatian di peringkat antarabangsa.

Jutaan warga maya dari seluruh dunia menonton proses menyelamat secara penstriman langsung dalam talian melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook dan Youtube.

Saluran berita seperti Al Jazeera dan BBC turut menyiarkan siaran langsung usaha menyelamat.

Sementara itu, ‘hashtag’ media sosial menyokong trend budak lelaki itu di nombor satu di platform termasuk Twitter.

Disebalik kedukaan ditanggung Wassima dan Khalid, ahli perniagaan Saudi, Houssain Mohammed Hijaz cuba meredakan kesedihan. Dia dilaporkan menghadiahkan umrah percuma, tiket penerbangan percuma dan bilik hotel untuk keluarga mereka ke kota suci Mekah.

Menjelang petang, penggunaan jentolak dihentikan dan penggalian manual dilakukan kerana bimbang struktur tanah menyebabkan perigi runtuh.

Majlis Kebangsaan Kewartawanan (The National Council for Journalism) mengeluarkan kenyataan, mengecam amalan  kewartawanan sesetengah pihak  dengan menerbitkan gambar kanak-kanak itu yang tidak dikaburkan.

Operasi menyelamat dihentikan buat sementara waktu kerana paip konkrit yang lebih besar dikerahkan ke tapak. Batuan dan kotoran turut menghalang penggalian.

Syarikat Sweden, Precision Tools yang terlibat dalam operasi menyelamat serupa di Sepanyol beberapa tahun lalu menyatakan kesediaan untuk memberikan semua sokongan yang diperlukan

Firma itu berkata mereka sedang berbincang dengan Pasukan Bomba Diraja untuk membantu dalam usaha menyelamat.

Kakitangan dan pihak berkuasa dilaporkan meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian itu untuk memberikan kru ruang yang cukup untuk melakukan operas.

Iklan

Ia susulan dapatan daripada  pakar bahawa kehadiran orang ramai di lokasi boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa dan kru.

Sabtu, 5 Februari

Operasi menyelamat yang berterusan sepanjang malam menghampiri kanak-kanak itu. Pihak berkuasa melaporkan mereka hanya beberapa meter dari Rayan.

Operasi berada di peringkat akhir itu paling berbahaya kerana risiko tanah runtuh.

Pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan bahawa hanya ada beberapa jam sahaja waktu diperlukan untuk mendapatkan Rayan.

Jawatankuasa yang menyelia operasi memberikan maklumat terkini tentang keadaan kesihatan budak lelaki itu, mengesahkan bahawa dia masih hidup dan dia masih diberi bantuan oksigen.

Pasukan penyelamat menaruh harapan tinggi untuk menyelamatkan Rayan. Jutaan warga maya mengikuti perkembangan terkini operasi turut menitipkan doa berharap kanak-kanak itu terus bertahan.

Bagaimanapun, Rayan pergi jua selepas diselamatkan susulan kecederaan yang dialami.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Jom follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Arab News, Youtube 2MTV