Kekayaan yang dimiliki tak membuatkan mereka alpa, berikut 5 hartawan Muslim yang sangat dermawan
PADA saat diri dilimpahi kemewahan, nikmat yang dikecapi itu langsung digunakan untuk mereka yang memerlukan.
Kekayaan itu tidak membuatkan seseorang itu tidak alpa dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik bagi mereka yang mempunyai sifat dermawan dalam diri.
Demikianlah insan bergelar hartawan dan jutawan yang murah hati untuk mendermakan sebahagian daripada harta mereka bagi tujuan kebajikan.
Meskipun sibuk dengan urusan perniagaan mahupun aktiviti masing-masing, aset yang diperoleh hasil usaha keras mereka tetap dikongsikan bersama bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
Terdapat lima hartawan dan jutawan Muslim yang begitu dermawan di dunia ini. Jom kita tengok satu persatu.
1. Iskander Makhmudov (AS$ 9.2 bilion)
Hartawan ini pernah disenaraikan sebagai individu terkaya ke-22 di Rusia oleh majalah Forbes pada 30 April 2019 dengan nilai bersih AS$6.9 bilion.
Namun begitu, setakat semalam, Iskander, 57, dilaporkan mempunyai nilai aset sebanyak AS$9.2 bilion.
Beliau merupakan pemilik utama pengedar tembaga UGMK-Holdings yang menguasai kepentingan lebih daripada 300 syarikat di sembilan wilayah di Rusia.
Beliau yang berasal dari keluarga etnik Muslim Uzbekistan itu kini merupakan pemegang saham di Transmashholding, pembuat lokomotif dan peralatan rel terbesar di negara itu.
Memetik artikel yang disiarkan di makhmudoviskander.wordpress.com, sekitar tahun 2013, Iskander pernah menyumbang lebih AS$1 bilion untuk tujuan sosial, sivik dan dermawan sejak tahun 2001.
Bahkan, ketika tempoh pembangunan semula Rusia dan liberalisasi ekonomi, laporan berkenaan turut menyebut, Iskander membantu transisi peralihan negara ke pasaran bebas, kapitalis dan menghasilkan kemakmuran ekonomi.
2. Azim Premji (AS$8.2 bilion)
Namanya gah sebagai taikun teknologi di India. Pengerusi Wipro Limited itu merupakan penyumber luar keempat terbesar di India dengan nilai aset sebanyak AS$8.2 bilion sehingga semalam, sebagaimana dipetik menerusi laporan Forbes.com.
Menelusuri salasilahnya, Azim, 75 dilahirkan di Bombay, India dalam keluarga Muslim Gujarati.
Mula menceburi bidang perniagaan sejak tahun 1966 setelah bapanya meninggal dunia. Azim yang digelar sebagai Maharaja Industri Teknologi Maklumat India itu kemudian menguruskan perniagaan minyak masak yang diusahakan oleh keluarganya dan mengembangkannya menjadi syarikat perisian terkemuka.
Malah, Wipro kini mempunyai pusat inovasi di Silicon Valley yang memfokuskan kepada pengembangan teknologi baharu dan bekerjasama dengan syarikat pemula.
Pada April lalu, Azim Premji Foundation telah memberi bantuan sejumlah AS$134 juta kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
3. Sulaiman Al Rajhi (AS$2.1 bilion)
Pada tahun 2015, nilai aset kepunyaan pengasas bersama Bank Al Rajhi itu dianggarkan berjumlah AS$2.1 bilion.
Sekitar tahun 2013, Forbes.com melaporkan bahawa Sulaiman telah memindahkan 20 peratus daripada sahamnya di Bank Al Rajhi ke sebuah dana amal yang menanggung namanya.
Langkah itu dilakukannya selepas beliau membuat pengumuman pada tahun 2011 untuk menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya untuk tujuan amal, membiayai usaha anti-kelaparan dan pendidikan di Arab Saudi.
Pada tahun yang sama juga, Sulaiman pernah membuat kejutan apabila beliau memilih untuk menjadi miskin semula buat kali ketiga. Masakan tidak, bapa kepada 23 anak itu memindahkan kekayaannya kepada semua anak-anaknya.
Menurut laporan Islamtics.com, beliau telah memberi dua pertiga daripada semua kekayaannya dan hanya satu pertiga untuk keluarganya.
(Artikel berkaitan: Mulia sungguh hati h)artawan ini. Hidup dilimpahi kekayaan, tapi Sulaiman Al Rajhi rela infak semua wang dalam bank hingga 'jatuh miskin')
4. Imran Khan (AS$50 juta)
Dunia mengenalinya sebagai Perdana Menteri Pakistan sejak tahun 2018. Apabila diselak semula sisi peribadinya, beliau sebelum ini merupakan pemain kriket selama 20 tahun sebelum bersara pada tahun 1992.
Imran Khan yang pernah menjadi kapten pasukan kriket nasional Pakistan itu juga dikenali sebagai seorang yang dermawan.
Pada tahun 2015, beliau mengumpulkan AS$25 juta untuk membina dan mendirikan hospital baharu di Peshawar.
Memetik laporan networthpost.org, anak kelahiran Lahore, Punjab itu dianggarkan mempunyai nilai aset sejumlah AS$50 juta pada pertengahan tahun 2016.
5. Malala Yousafzai AS$3 juta)
Terkenal sebagai seorang wanita muda yang berhati waja dan berani. Malala, 23, yang juga seorang aktivis pernah menerima hadiah Nobel Keamanan termuda atas usahanya dalam pendidikan dan hak-hak perempuan pada usianya 17 tahun.
Menyelak sisi peribadinya, memang menginsafkan. Bayangkan pada usianya 15 tahun, anak muda itu pernah ditembak di kepala oleh seorang lelaki bersenjata.
Namun, alhamdulillah Malala yang berasal dari keluarga Muslim (Ahli Sunah Waljamaah) etnik Pashtun mampu bertahan sehingga kini walaupun lukanya agak parah dan mengambil masa untuk sembuh.
Sungguhpun begitu, figura berkenaan juga merupakan antara seorang yang kaya. Namun, dirinya tidak pernah melupakan golongan yang memerlukannya untuk menerima bantuan.
Menurut laporan reuters.com sekitar tahun 2016, Malala dan keluarganya menjadi jutawan dalam masa kurang empat tahun kerana berjaya menjual buku mengenai kehidupannya dan penampilannya sebagai penceramah di peringkat global.
Laporan berkenaan turut menyebut, memoir nukilannya, I Am Mala yang diterbitkan pada tahun 2013 telah ratusan ribu terjual dengan nilai keseluruhan AS$3 juta di seluruh dunia.
Dikhabarkan, beliau telah menyumbangkan sejumlah besar pendapatan yang diperoleh kepada organisasi amal yang memfokuskan kepada pendidikan.
Sumber & Foto: Republika.co.id, Forbes.com, en.wikipedia.org, makhmudoviskander.wordpress.com, reuters.com, biography.com, reuters.com, networthpost.org, Islamtics.com, Facebook Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi, geo.tv, deccanchronicle.com
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang