Kekejaman Ali Kalora, sanggup penggal kepala mangsa termasuk polis dan bakar hidup-hidup
KISAH sadis kumpulan Mujahidin Indonesia Timur (MIT) yang diketuai Ali Kalora tidak pernah berakhir apabila kekejaman terbaharu yang dilakukan mereka cukup menakutkan penduduk terutamanya di Sigi, Sulawesi Tengah, Indonesia.
Lelaki yang masih dalam buruan polis itu sanggup memenggal kepala mangsa dan membakar hidup-hidup sebelum lari ke dalam hutan bersama hasil barangan curi termasuk lebih 40 kilogram beras.
Dalam kejadian mengerikan yang berlaku di Kabupaten Sigi, Sulawesi Tengah pada 27 November lalu, empat penduduk dibunuh kejam dan dipenggal kepala tanpa perikemanusian.
Selain itu, sekurang-kurangnya tujuh rumah penduduk dibakar. Sungguh kejam!
Apa yang lebih mengejutkan, mangsa yang dibunuh juga terdiri daripada pasangan suami isteri warga emas, anak dan menantu.
Mereka bukan sahaja dipenggal kepala, seorang lagi mangsa dikelar pada leher sehingga hampir putus dan seorang lagi dibakar hidup-hidup.
Seolah-olah seperti ada dendam kesumat, kesemua mangsa dibunuh dengan sadis.
Turut bunuh polis
Tribunnews.com melaporkan, insiden berdarah itu dilakukan oleh 10 individu yang dipercayai ahli kumpulan pengganas tersebut yang diketuai Ali Kalora selepas pengecaman wajah dilakukan pihak berkuasa.
Menurut saksi yang dikenali dengan nama Ulin, ahli kumpulan itu membawa senjata senapang laras panjang merempuh masuk rumahnya kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.
Mangsa yang terselamat berjaya melarikan diri ketika kumpulan itu leka membunuh ahli keluarganya. Meskipun terselamat, namun mangsa berdepan trauma yang teruk apabila suaminya turut terbunuh dalam kejadian ngeri itu.
Kekejaman Ali Kalora dan kumpulannya terus menghantui penduduk wilayah itu kerana selain melakukan siri pembunuhan kejam, mereka juga melakukan pengeboman ke atas balai polis dan menembak mati anggota keselamatan.
Lebih tragis apabila mangsa dibunuh kejam kebanyakannya melibatkan anggota polis yang tidak berdosa.
Insiden ngeri itu ternyata memberi kesan kepada pihak berkuasa republik itu apabila satu pasukan ditubuhkan untuk memburu Ali Kalora dan konco-konconya yang bersembunyi di kawasan pergunungan yang dikenali dengan nama, Parigi Moutong.
Barangkali disebabkan kawasan geografi yang bergunung-ganang dan hutan tebal menyukarkan pasukan mengesan kubu rahsia kumpulan pengganas itu.
Bukan sahaja polis, malah pastinya penduduk di kawasan tersebut tidak lena tidur memikirkan kumpulan pengganas seperti itu masih bebas berkeliaran dan membuat kekejaman kepada mereka yang tidak berdosa.
Mudah-mudahan jauhkanlah Malaysia daripada musibah seumpama itu. Bersyukurlah kita sebagai rakyat Malaysia masih dapat hidup tenang dan aman berbanding negara-negara jiran.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang