TULAR di media sosial baru-baru ini tentang perkongsian seorang pengguna TikTok mengedarkan makanan percuma kepada peniaga kecil dan pengumpul barang hampir setiap hari.

Malah, ada dalam kalangan penerimanya juga merupakan golongan yang susah.

Ternyata usaha gigih wanita itu menerima pujian ramai dan menyentuh hati netizen.

Kebanyakan video pengedaran makanan yang dilakukan oleh insan berhati mulia itu meraih lebih 9,000 tontonan di TikTok miliknya.

Memetik laporan yang disiarkan portal food.detik.com, individu yang dikenali sebagai Anna Ardie dari Indonesia sering kali mengumpulkan derma daripada orang ramai sebanyak Rp10,000 (RM2.90).

Melalui dana itulah, wanita itu menggunakannya untuk membeli makanan sebelum ia diagihkan kepada golongan berkenaan.

Menerusi video yang dikongsikan dalam TikTok miliknya @annaardie, portal berkenaan melaporkan, Anna Ardie mengagihkan bungkusan makanan kepada tiga penjual keropok yang sedang berehat di tepi jalan.

Edar makanan percuma
ANNA ARDIE dan adiknya mengedarkan makanan kepada peniaga keropok.

Peniaga keropok itu mengalami cacat penglihatan, namun semangat mereka berniaga untuk mencari rezeki tidak pernah luntur.

Sebaliknya, dengan kudrat yang ada, peniaga keropok tadi membawa barangan dengan mengikat makanan itu pada kayu. Kemudian, mereka berjalan dengan menggunakan tongkat.

“Tadi saya sudah ke sini untuk memberi kepada seorang wanita dan peniaga keropok yang cacat penglihatan makan tengah hari.

“Namun, disebabkan stok minuman hampir habis, saya ke kedai dulu membeli minuman dan kembali semula ke sini,” tulis Anna Ardie.

Baca juga [VIDEO] Pelanggan batalkan pesanan 60 kotak nasi, viral video peniaga menangis sambil memasak tempahan itu)

Dalam satu lagi video yang dimuat naik, wanita berkenaan dilihat sempat menemu bual tiga orang kanak-kanak yang menjual tisu dan ada juga yang menjadi ahli busker.

Malah, jelas Anna Ardie menerusi keterangan pada video berkenaan, kanak-kanak yang diberikan makanan bento itu turut meminta tambahan satu bungkusan untuk ibunya.

Iklan
Edar makanan percuma
KANAK-KANAK tersebut teringat ibunya ketika mereka diberikan makanan percuma.

“Masya-ALLAH, mereka dapat rezeki makanan, masih ingat mamanya. ‘Kak, minta satu lagi buat mama saya. Kak, satu lagi kak’. Begitulah dialog mereka.

“Bayangkan ketika anak-anak seusia mereka boleh menikmati masa mereka dengan bermain, tetapi tidak kepada anak-anak ini.

“Mereka perlu bekerja di jalanan seperti ini untuk membantu orang tua. Kasihan mereka masih di bawah umur, tetapi perlu bekerja di jalanan,” tulisnya pada video berkenaan.

Anna Ardie sempat menemubual salah seorang kanak-kanak itu tentang kehidupan yang dilalui mereka.

Kata seorang kanak-kanak perempuan, pendapatan yang diperoleh kadangkala mencecah Rp20,000 (RM5.80) hingga Rp30,000 (RM8.69) sehari.

“Wangnya semua habis untuk makanan dan membayar sewa,” jelasnya.

Edar makanan percuma
ANTARA golongan yang menerima makanan yang diagihkan oleh Anna Ardie dan adiknya baru-baru ini di sekitar Indonesia.

Sebelum meninggalkan kanak-kanak tersebut, Anna Ardie dan adiknya yang membantu mengagihkan makanan itu sempat berpesan dalam video berkenaan agar jangan lupa bersyukur.

Iklan

“Bersyukur dengan hidup yang kita miliki saat ini dan bersyukur dengan apa yang kita miliki,” nasihatnya.

Mulia sungguh hati insan ini. Semoga segala kebaikannya akan diberikan ganjaran yang setimpal oleh-NYA.

Sumber: food.detik.com & TikTok @anna.ardie

Foto: Freepik, TikTok anna.ardie dan @funtheelic