SEORANG wanita terkejut apabila mendapati kucing peliharaannya tiba-tiba mengiau dan berubah sikap seperti sedang dibelai seseorang sedangkan ketika itu hanya dia bersama haiwan berkenaan.

Kejadian itu dirakam menerusi sebuah video yang dimuat naik ke aplikasi TikTok menerusi akaun @2211ttl.

Dalam video tersebut, kucing berkenaan duduk bersama wanita terbabit sebelum secara tiba-tiba mengiau dan memandang ke arah atas.

Kucing itu kemudian seakan menghidu dan meminta untuk dibelai selain mengikut arah ‘makhluk misteri’ itu ke kiri dan kanan.

“Serius saya berasa terkejut apabila melihat dia (kucing) seperti sedang menghidu sesuatu sedangkan tiada sesiapa di situ,” kata wanita itu.

Video itu juga telah mengundang pelbagai reaksi yang meminta agar dirinya berpindah kerana kucing berkenaan sedang cuba memberitahu sesuatu.

Iklan

“Melihat kepada cara kucing itu mengangkat ekornya, jelas dia kelihatan seperti sedang dibelai seseorang dan bukannya berperangai pelik,” tulis seorang pengguna media sosial.

Pada masa sama, terdapat juga individu yang mencadangkan agar dia membawa kucingnya mendapat rawatan pakar kerana bimbang mengalami masalah saraf.

Iklan

Wanita itu bagaimanapun menafikan kucing peliharaannya mengalami sebarang masalah kesihatan melainkan berperangai pelik apabila berada di dalam sebuah bilik di kediamannya.

Video misteri itu kini telah mendapat lebih satu juta tontonan.