KELAHIRAN anak dalam keluarga bagaikan anugerah sememangnya dinanti-nantikan oleh pasangan suami isteri. Namun begitu, bagi mereka yang dikurniakan anak kembar pastinya menikmati kegembiraan berganda.

Bagaimanapun, mengandung bayi kembar dikategorikan berisiko tinggi dan perlu dipantau doktor sepanjang tempoh kehamilan dan proses melahirkan.

Bagi kandungan kembar tiga dan ke atas ibu hanya dibenarkan bersalin secara pembedahan caesarean. Biasanya pembedahan dijadualkan pada minggu ke-37 atau lebih awal bergantung pada keadaan ibu dan bayi.

Seorang wanita kelahiran Ekurhuleni, Gauteng, Afrika Selatan, Gosiame Thamara Sithole pada awalnya dimaklumkan hamil kembar lapan.

Namun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila ibu berusia 37 tahun tersebut selamat melahirkan bayi kembar 10!

Tambahan pula, hasil ujian imbasan dilakukan sebelum ini hanya menunjukkan enam bayi.

Adakah ini bermakna Sithole merupakan pertama di dunia melahirkan kembar 10 atau decuplets?

Menurut laporan Pretoria News, wanita itu bersalin melalui pembedahan caesarean di sebuah hospital di Pretoria tatkala usia kandungannya mencecah tujuh bulan tujuh hari bersamaan 29 minggu.

“Mereka (bayi kembar) terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan,” kata suami Sithole, Teboho Tsotets dalam nada teruja dan beremosi dengan kelahiran istimewa berkenaan.

Dalam pada itu, Sithole menjelaskan bahawa beliau tidak pernah melakukan sebarang rawatan kesuburan untuk mendapatkan anak kembar.

 

“Apabila doktor memberitahu bayi di dalam rahim adalah kembar lapan, sukar saya mempercayainya dan mengambil masa untuk menerima kenyataan.

“Ini adalah keajaiban dan sepanjang kehamilan saya tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan yang teruk,” ujarnya yang sakit pada bahagian kaki selepas kandungan berusia lapan minggu diikuti pedih ulu hati.

Pun begitu, dikurniakan bayi kembar bukanlah sesuatu yang baharu bagi Sithole dan suami memandangkan cahaya mata pertama mereka juga merupakan sepasang kembar kini berusia enam tahun.

Iklan

Professor Dini Maweli daripada Sefako Makgatho Health Sciences University berkata, kes kehamilan kembar seumpama itu jarang berlaku dan mempunyai risiko besar kepada ibu.

Sementara itu, memetik laporan The Post, pihak Guinness World Records sudah menerima perkhabaran itu dan mengirimkan ucapan tahniah kepada pasangan terbabit.

Guinness World Records dikatakan sedang mendapatkan maklumat lanjut dengan kerjasama pakar dan memberi ruang buat Sithole yang baru selesai melahirkan bayi kembar 10 pramatang.

Direkodkan, sebelum ini seorang wanita kelahiran Mali, Afrika, Halima Cisse dilaporkan melahirkan bayi kembar sembilan pada bulan lalu.

Iklan

Baca juga Pening Fikir Nama Anak Ke-16, Pasangan Ini Tidak Kisah Jika Dikurniakan 30 Zuriat

Sementara itu, wanita bernama Nadya Suleman dari Amerika Syarikat yang melakukan rawatan kesuburan pula dikurniakan bayi kembar lapan.