SIAPA menyangka berita nama Stadium Mini Ffira Mikah yang menjadi bahan bualan ramai sejak ia dirasmikan pada 7 Disember lalu turut mencuri perhatian dunia apabila ia turut tersebar dan tampil di akhbar United Kingdom.

Berita itu menjadi bualan hangat disebabkan sebuah stadium mini di Kuala Nerang, Kedah yang didakwa menggunakan nama salah seorang pegawai yang merasmikannya sebagai nama stadium.

Namun, Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor menyangkal dakwaan yang tular bahawa beliau menamakan Stadium Mini Ffira Mikah di daerah itu sempena dengan namanya yang diterbalikkan.

Memetik laporan Sinar Harian, menurut Hakim Ariff nama baharu stadium berkenaan tiada kaitan dengan namanya dan hanya secara kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan.

“Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.

“Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat, manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat,” katanya.

Tinjauan SinarPlus terhadap artikel yang diterbitkan oleh akhbar The Independent yang bertajuk Malaysian official who renamed stadium denies title is his name backwards, insists it is ‘Spanish or Greek’ hanyalah melaporkan kembali penafian pegawai berkenaan mengenai isu dan juga penjelasan maksud sebenar di sebalik nama stadium itu.

Hasil tinjauan juga mendapati The Independent adalah sebuah akhbar dalam talian dari United Kingdom dengan hampir 10 juta pengikut di Facebook dan 3.4 juta pengikut di Twitter.

Sejak berita tersebut diterbitkan semalam, ia mula dikongsikan kembali warganet setelah walaupun isu tersebut dikatakan hampir reda setelah beberapa hari tular di media sosial.

Iklan

Nampaknya dua kali tular nama Stadium Mini Ffira Mikah

Sebagai info, Stadium Mini Ffira Mikah Kuala Nerang dimiliki oleh Majlis Daerah Padang Terap dan dirasmikan oleh Hakim Ariff selaku Pegawai Daerah selepas ia dinaik taraf.

Sebuah video berdurasi dua minit mempromosikan stadium berkenaan yang diurus oleh sebuah persatuan bola sepak turut tular sejak ia dirasmikan.

Iklan

Setelah tular, pihaknya tiada masalah untuk menukar nama kontroversi itu dan bersedia menurunkan papan nama Ffira Mikah bagi melenyapkan dakwaan.

“Selepas ini, ia akan dikenali sebagai Stadium Mini Kuala Nerang dan kita akan turunkan papan nama yang mengundang kontroversi itu,” katanya.

Sumber : independent.co.uk