SEMUA kerajaan di seluruh dunia berusaha sebaik mungkin untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin mengganas, bahkan ada yang sanggup membuat tindakan drastik termasuk menembak mati mereka yang ingkar arahan.

Jika pembaca SinarPlus masih ingat, kerajaan Filipina sebelum ini pernah menggemparkan dunia apabila mengeluarkan kenyataan tegas terhadap mana-mana individu yang masih ingkar arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, boleh ditembak mati.

Agak mengerikan bunyinya, tetapi itulah jalan terakhir supaya rakyat mendengar cakap. Betapa seriusnya pentadbiran kerajaan negara tersebut berusaha untuk memastikan rakyatnya mematuhi arahan.

Di Malaysia pula, mana-mana yang masih berdegil tidak mahu memakai pelitup muka atau berkumpul beramai-ramai, juga tidak terlepas daripada dikenakan hukuman berbentuk saman.

Ya! Itu yang dilakukan pihak berkuasa di negara ini. Bukan sikit-sikit jumlah yang dikenakan. Boleh melayang ribu-ribu ringgit jika satu keluarga dikenakan denda. Habis duit nak bayar rumah bulan-bulankan?

Pun begitu, apa yang berlaku di Bali, Indonesia juga menarik untuk diberikan perhatian. Barangkali ia boleh dijadikan contoh kepada mereka yang masih berdegil.

bali covid-19

Seperti yang semua tahu, Bali menjadi tempat lambakan pelancong yang tersekat dek pelaksanaan larangan merentas negara kerana rata-rata mereka tidak dapat pulang ke negara masing-masing ketika berlakunya pandemik virus korona.

Antara tempat yang menjadi tumpuan lambakan pelancong asing seperti di daerah Badung, pantai Kuta dan Seminyak.

Difahamkan itulah beberapa destinasi yang ada untuk mereka tinggal sementara menunggu pintu sempadan dibuka semula.

Lebih mencabar buat pihak berkuasa di sana adalah masih ada pelancong yang berdegil dan besar kepala, meskipun diminta mematuhi arahan mudah seperti memakai pelitup muka dan tidak boleh berkumpul beramai-ramai.

Menurut rangkaian berita antarabangsa, ABC Australia, mana-mana warga asing yang masih gagal mematuhi peraturan ketat yang dilaksanakan pihak berkuasa Bali dikenakan tindakan seperti ketuk ketampi dan menyapu sampah.

bali covid-19

Denda itu dikenakan bagi mereka yang suka menjawab atau mempersoalkan arahan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan, walaupun sudah dinasihatkan untuk memakai pelitup muka dengan sempurna.

Iklan

‘Bule nakal’ menjadi panggilan yang diberikan orang tempatan kepada warga asing yang degil dan tidak mengikut arahan itu.

Selain tidak memakai pelitup muka, mereka juga membuat kecoh di restoran selepas diminta pulang kerana operasi hanya hingga jam 9 malam

Bukan itu sahaja, ‘bule nakal’ itu juga dikatakan suka membuat bising di jalanan selepas mabuk dan tidak memakai topi keledar serta topeng pelitup muka ketika menunggang motosikal.

Pening juga ya pihak berkuasa di sana untuk mengawal lambakan warga asing dan pada masa degil pula.

Bukan sahaja dikatakan tidak menghormati budaya tempatan, mereka juga enggan mendengar arahan yang dibuat demi keselamatan mereka sebenarnya.

Iklan

bali covid-19

SinarPlus difahamkan, arahan lebih ketat dilaksanakan di kepulauan terkemuka dunia tersebut apabila laporan kes jangkitan dilaporkan semakin meningkat apabila rekod menunjukkan lebih 100,000 kes dengan 7,057 kematian di wilayah Timur Indonesia.

Bukan sahaja waktu operasi dipendekkan, mana-mana pelancong yang masih berdegil dilarang masuk ke destinasi pelancongan atau restoran.

Barangkali itulah pendekatan yang ringan yang boleh dikenakan kepada pelancong asing supaya mereka akur di tempat orang. Harap-harap di Malaysia tidak begitu ya? #kitajagakita