Pemandu bas tak sangka akhirnya jadi cikgu sekolah

A
A
A

PEKERJAAN memandu bas sudah lama sinonim dalam keluarganya. Bermula daripada datuk sebelum diwarisi bapanya dan selepas itu dirinya pula.

Walaupun Clayton Ward cuba mengelakkan diri daripada pekerjaan berkenaan, namun nampaknya beliau sukar untuk 'lari'.

Sejak memulakan kerjaya pemandu bas, begitupun minatnya terhadap subjek sejarah menyebabkannya tidak sunyi daripada bercerita tentang fakta berkaitan ketika memandu setiap hari dengan pelajar yang dihantarnya pergi balik ke rumah dan sekolah.

Semasa memandu membawa pelajar di bandar Framingham, Massachusetts, Amerika Syarikat, Ward sering bercerita dengan mereka tentang fakta sejarah, sementara anak-anak berkenan akan bercakap dengannya mengenai apa yang mereka lakukan di kelas pada hari itu.

Pelajar sekolah menengah yang sedia mengetahui bahawa Ward seorang penggemar sejarah pula seringkali bertanyakan kepadanya tentang peristiwa sejarah tertentu.

"Mereka beritahu saya, 'anda seharusnya menjadi guru saya' atau 'saya harap anda adalah guru saya'. Mulanya saya merasakan mungkin kerana pandangan dan suara (saya) yang berbeza, jadi mereka tertarik dan bukannya hanya mendengar perkara yang sama (dari guru mereka) di sekolah," kata pemuda berusia 30 tahun itu kepada CNN.

Bangkit semangat

Perbualan demi perbualan pada setiap hari rupanya membangkitkan semula keinginan Ward untuk kembali menyambung pengajian. Akhirnya belia mengambil langkah untuk mencapai impiannya bagi menjadi guru sejarah di sekolah menengah.

Ward yang tamat persekolahan 10 tahun yang lalu, mendaftar di MassBay Community College Massachusetts pada Mei 2019. Beliau akan membawa bas sekolah pada waktu siang dan menghadiri kelas pada waktu malam.

"Sebenarnya melakukan dua perkara ini tidaklah mudah. ​​Saya akan memandu pada waktu pagi dan petang. Kemudian mengambil kelas malam dan kelas dalam talian untuk menyelesaikan keperluan ijazah saya.

"Sebenarnya saya seringkali terfikirkan pelajar-pelajar yang menaiki bas saya sebelum ini. Itulah yang membantu saya memusatkan tenaga dan fokus bagi mencapai cita-cita saya," katanya.

Hanya dalam setahun, Ward tidak hanya menamatkan pengajiannya dan mendapat Associate in Arts dengan ijazah Liberal Arts, tetapi berjaya memperoleh Kepujian Tinggi.

Anugerah yang diterimanya kerana mengekalkan pointer 4.0.

Namanya turut dalam Senarai Dekan setiap semester di tempat Ward menyambung pengajian, dan menerima beberapa anugerah, menurut kata pihak kolejnya itu.

"Ward benar-benar menunjukkan semangat, ketahanan, ketekunan, dan dedikasi.

"Saya sangat bangga dengan pencapaiannya pada seluruh program. Pasti pelajarnya pada masa depan akan mendapat banyak faedah.

"Mereka akan belajar tentang sejarah dan belajar apa ertinya menjadi pelajar yang berjaya. Dan mereka akan belajar bahawa kerja keras diterjemahkan menuju kejayaan," kata Dekan MassBay, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, MassBay Community College Massachusetts, Nina B Keery, kepada CNN.

Kini, Ward ke Framingham State University pada musim luruh lalu bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana bidang sejarah untuk menjadi guru pelajar menengah.

Ward sedar, pencapaiannya itu tidak akan berlaku tanpa 'inpirasi' anak-anak menaiki bas yang dipandunya selama ini.

"Anda tidak akan berfikir bahawa anak-anak dapat melakukan sesuatu seperti itu (memberi inspirasi), yang memberi impak besar dan semangat serta cita-cita yang saya perlukan untuk membuat keputusan kembali menyambung pengajian.

"Sungguh 'gila' perkara kecil seperti itu dapat memberi kesan kepada kehidupan kita, seperti saya sendiri," kata Ward. -CNN

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang