Penarik beca ini bina ‘beca perpustakaan’, sanggup usung buku ke sana ke mari untuk galak orang membaca…
KEBANYAKAN kita lebih gemar mencari apa sahaja maklumat menerusi kemudahan yang ada pada hari ini. Gajet dan internet sentiasa jadi peneman ke mana-mana sahaja.
Begitupun, tidak semua apa yang dimahukan lengkap tersedia dalam peranti. Adakalanya kita terpaksa menggunakan ‘cara lama’ iaitu dengan merujuk buku untuk menggali lebih banyak maklumat.
Pada masa itulah, perpustakaan dan kedai buku menjadi sasaran utama. Orang akan mendapatkan buku yang ingin dibaca atau dijadikan rujukan di situ. Maklum sahajalah, tempat sebegitu begitu sinonim dengan gedung ilmu.
Ada pelbagai genre, fiksyen dan jutaan judul buku lain disediakan. Di Malaysia, paling terbaik adalah di Perpustakaan Negara atau di Big Bad Wolf.
Segelintir orang mungkin gemar mengumpul koleksi buku hingga sanggup menjadikan satu ruangan dalam rumahnya sebagai perpustakaan mini.
Sebilangan pula barangkali kurang berkemampuan dan menjadikan perpustakaan sebagai ‘rumah kedua’ masing-masing untuk membaca.
Begitupun, lain pula pendekatan yang diambil seorang penarik beca di Yogyakarta, Indonesia. Beliau menggunakan becanya untuk dijadikan sebagai ‘perpustakaan beca’!
Demikianlah usaha yang dilakukan oleh lelaki yang dikenali sebagai Sutopo. Sungguh, pendekatan yang digunakan oleh beliau ‘lari’ daripada konsep kebiasaan yang dilakukan oleh orang lain.
Bayangkan, ‘perpustakaan beca’ milik Sutopo, 74, turut menawarkan khidmat meminjam buku kepada pelbagai jenis lapisan masyarakat secara percuma walaupun individu tersebut bukan pelanggannya.
Sepertimana orang lain, saban hari, warga emas itu tidak pernah lelah membanting tulang mencari rezeki dengan membawa beca.
Sekalipun tiada penumpang, Sutopo tanpa jemu mengajak orang ramai membaca atau meminjam buku daripada ‘perpustakaan beca’ yang dipanggil sebagai Becak Pustaka miliknya.
“Mari baca, percuma, percuma,” kata beliau kepada wartawan BBC News Indonesia yang menemuinya baru-baru ini.
(Artikel berkaitan: Pupuk minat membaca bukan sekadar guna buku, cara dan teknik yang tepat sangat membantu)
Hobi membaca
Pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan oleh wartawan untuk menyingkap kisah lelaki berhati cekal itu yang tampil dengan idea kreatif berkenaan. Rupa-rupanya, Sutopo bukan sembarangan orang. Beliau ialah pesara pegawai negeri sejak tahun 2003 lagi.
Disebabkan sudah terbiasa bekerja, beliau enggan mensia-siakan masa yang ada. Lantas, sekitar tahun 2004, lelaki itu nekad untuk menjadi penarik beca.
“Saya tak mahu pencen. Saya mahu terus bergerak supaya tetap sihat,” ujar bekas graduan jurusan papan iklan di Akademi Seni Rupa Indonesia itu kepada wartawan BBC News Indonesia.
Kepada jogja.tribunnews.com pula, lelaki yang masih kuat kudratnya berkata, biarpun sudah dimamah usia, dirinya sudah terbiasa bekerja sejak dulu lagi dan tidak boleh duduk diam.
“Rasa tak seronok pula kalau tak ada apa-apa kerja. Teruslah saya jadi pemandu beca. Bolehlah saya bersukan,” ujarnya sambil tertawa.
Satu sikapnya yang memang sukar diubah, Sutopo tidak pernah langsung meninggalkan hobinya yang suka membaca buku sejak kecil lagi. Malah, buku sentiasa menjadi penemannya biarpun ketika mengayuh beca. Adakalanya beliau akan mengisi masanya dengan membaca buku.
Tidak sangka pula ada yang memerhatikan tabiatnya itu. Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang penumpangnya menyumbangkan 40 buku kepada Sutopo.
Namun begitu, lelaki yang seusia datuk kita itu enggan ‘mengaut’ ilmu itu seorang diri. Beliau kemudian membuat rak buku sendiri. Reka bentuknya disesuaikan dengan ruangan yang ada pada bahagian belakang dan kanan beca miliknya.
"Walaupun saya adalah penarik beca, sekurang-kurangnya saya dapat membantu menjayakan program gerakan membaca Indonesia,” kata Sutopo kepada portal Tribunnews.com.
Maka, sekitar tahun 2017, terhasillah Becak Pustaka yang bergerak ke mana-mana mengikut rentak kayuhan kaki Sutopo.
Sehingga kini, koleksi buku Sutopo yang dimuatkan di dalam becanya mencapai sekitar 100 buah naskhah merangkumi kisah kanak-kanak, sejarah, pendidikan, ekonomo, sosio-budaya dan cerita tentang kisah-kisah orang berjaya.“Saya selalu mengemas kini koleksi buku dalam beca. Apatah lagi jika ada pembaca yang memesannya. Ada lebih 200 buah buku di rumah saya. Terdapat juga buku-buku hasil sumbangan beberapa pihak,” katanya kepada portal jogja.tribunnews.com.
Tidak dinafikan sebuah buku kadangkala mencecah harga ratusan ringgit. Tidak ramai yang mampu memilikinya. Ada segelintir orang pula segan untuk singgah ke perpustakaan bagi membaca buku kerana ia dianggap sebagai sebuah bangunan yang gah.
Semua itu menguatkan tekad Sutopo untuk mengajak orang ramai membaca dan tidak kisah meminjamkan buku tersebut.
“Pembaca buku saya ada pelbagai. Bukan sahaja pelajar, malah orang yang mencari nafkah di jalanan, peniaga pasar dan penarik beca, mereka semua berminat membaca.
“Itulah sebabnya saya melakukan pendekatan ‘perpustakaan beca’ ini. Saya pergi kepada mereka supaya mereka boleh membaca secara percuma,” katanya sebagaimana dipetik menerusi BBC News Indonesia.
Halalkan jika buku tak dipulangkan
Apa yang menariknya tentang ‘perpustakaan beca’ itu, Sutopo langsung tidak pernah menetapkan had masa untuk orang ramai meminjam buku-bukunya itu.
Bapa kepada tiga orang anak itu juga tidak kisah jika orang mahu membaca buku-buku itu di mana-mana sahaja.“Saya merelakannya, 100 peratus percuma. Pinjam berapa buah buku pun, saya tetap melayani mereka. Bagi sesiapa yang meminjam, tetapi tidak memulangkannya, saya ikhlas halalkannya.
“Sebenarnya, saya pinjamkan buku-buku itu pada masa sama untuk mendidik masyarakat bersikap jujur serta mendidik mereka menjadi lebih baik. Jika anda meminjamnya, maka anda harus memulangkannya,” ujarnya kepada bbc.com sambil tersenyum.
Ketika dunia masih bergelut melawan pandemik Covid-19, sama juga halnya dengan Sutopo yang terkena tempiasnya.
Akuinya, penumpang sekarang tidak seramai dahulu. Begitu juga dengan peminjam buku di Becak Pustaka.
“Sekarang (sepanjang pandemik), paling banyak pun saya hanya dapat sekitar Rp10,000 hingga Rp20,000 sehari berbanding Rp50,000 pada hari biasa sebelum wabak berkenaan.
“Kadang-kadang langsung tiada penumpang. Peminjam buku pun semakin berkurang. Jika ada pun, purata sekitar satu atau dua orang saban hari,” ujarnya.
Meskipun pulang tanpa pendapatan, namun tidak pernah sesekali Sutopo berhasrat mahu menutup ‘perpustakaan beca’ miliknya.“Saya sebenarnya menggunakan ruang kekosongan ini untuk membaca. Malah, saya lalui detik-detik ini dengan gembira dan berserah kepada yang MAHA KUASA,” katanya.
Sebaliknya, datuk kepada enam orang cucu itu terus berharap agar generasi muda pada hari ini tidak meninggalkan budaya membaca buku yang disifatkan sebagai ‘jendela dunia’.
“Buku sangat bagus untuk perkembangan pendidikan masyarakat agar menjadi manusia yang lebih baik,” ujarnya.
Ketika diwawancara jogja.tribunnews.com pada tahun lalu, Sutopo sedang berusaha untuk menaik taraf becanya menjadi beca elektrik. Semuanya dilakukan supaya jangkauan pelanggan dan peminjam buku semakin meluas.
“Beban buku sebenarnya sama dengan satu penumpang. Jika ada penumpang, kenderaan kecil ini akan semakin berat.
“Justeru, saya berusaha untuk menjadikan ia sebagai beca elektrik agar tidak terlalu berat dan mempunyai liputan yang lebih luas,” katanya penuh berharap.
Selagi kudratnya masih kuat dan ampuh, Sutopo akan tetap berjuang mendidik masyarakat dengan caranya yang tersendiri.
Sesungguhnya, semangat tinggi Sutopo itu wajar dicontohi oleh anak muda yang banyak menghabiskan masa dengan gajet.
Biarpun sudah dimamah usia, namun kecintaan dan jiwanya kepada buku bagaikan tidak pernah padam sampai bila-bila.
Sumber & Foto: BBC News Indonesia, tribunnews.com & Jogja.tribunnews.com
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang