Perairan Sentosa Cove Singapura berubah jadi merah jambu dan berbau busuk
"PERAIRAN berubah menjadi merah jambu dan mengeluarkan bau busuk seperti kumbahan mulai kelmarin."
Begitulah rungutan seorang penduduk yang mengatakan 'bencana alam sekitar' terjadi depan pintu rumahnya menghadap terusan di Sentosa Cove, Singapura.
Menurut laporan TODAY, saluran air yang terjejas terletak di kawasan kediaman South Cove.
Para penduduk turut memaklumkan pemandangan dan bau yang luar biasa tetap ada walaupun pengurusan telah melakukan pembersihan terhadap ikan-ikan mati yang muncul di permukaan Sabtu lalu.
Mereka turut mengatakan bahawa pihak pengurusan telah maklum dan berjanji perkara tersebut akan berakhir dalam beberapa hari lagi.
Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Dan Paris, yang tinggal di kondominium Turquoise menghadap ke saluran air South Cove yang terjejas, mengatakan bau kumbahan yang sangat busuk terjadi sejak pertengahan minggu lalu, sebelum perairan berubah menjadi warna merah jambu minggu ini.
Dia yang berusia 54 tahun yang juga seorang peniaga mengatakan bau semakin menjijikkan selama beberapa hari menyebabkan penduduk menutup pintu balkoni.
Katanya, pada pagi Isnin lalu air bertukar hitam namun pada keesokan harinya ia bertukar kembali kepada merah jambu serta berbau.
Sementara itu, Marc Lansonneur, 56, yang bekerja di sebuah bank, mengatakan bahawa ini adalah kali pertama dalam enam tahun sejak dia menetap di situ berlaku kejadian aneh seumpama ini.
Namun sehingga semalam, misteri itu masih belum dapat diselesaikan.
TODAY melaporkan, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) berkata, perkara yang menyebabkan ikan mati dan perubahan warna perairan masih belum diketahui. Siasatan sedang dijalankan.
Tambah laporan itu, masih belum ada indikasi pencemaran industri atau laut yang dapat mempengaruhi perairan itu.
NEA sehingga kini telah mengumpulkan beberapa sampel air sejak 9 Januari dan sedang menganalisis hasilnya.
Sementara itu, Knight Frank Property Asset Management bagi pihak Sentosa Cove Resort Management mengeluarkan surat yang mengatakan bahawa keadaan ini dapat dibendung di South Cove. Saluran air North Cove tidak terjejas.
Sentosa Cove Resort Management telah menasihati penduduk untuk tidak melakukan aktiviti sukan air dan mereka akan terus memantau perairan berkenaan.
"Kami akan update penduduk setelah kami menentukan punca dan tindakan pemulihan yang akan diambil," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang