KALAU dengar orang bagi komen atau membawang pasal orang lain yang ditontonnya di televisyen memang macam-macam kan?

Biasanya orang yang selalu ‘keluar TV lah’ yang jadi ‘bahan’. Orang ni hidung pesek la, mata anak gajahlah, suara katak purulah, orang ni salah, orang tu tak betullah.. pendek kata 1,001 komen. Macamlah orang yang dok komen tu perfect serba-serbi.

Tapi lain keprihatinan penonton di luar negara ini:

(CNN) – Seorang wartawan televisyen Florida tak menyangka beliau benar-benar didiagnosis menghidap barah setelah penonton yang melihat benjolan di lehernya  memberi ‘amaran’ kepadanya bahawa itu boleh jadi tumor.

Victoria Price menulis dalam catatan Twitternya pada hari Khamis lalu bahawa beliau akan menjalani pembedahan  untuk menghilangkan tumor tiroidnya. Price adalah wartawan penyiasatan untuk WFLA-TV di Tampa, Florida.

Terdahulu, personaliti itu hanya tahu tentang penyakit dirinya yang tidak dijangka itu bermula pada Jun lalu.

Ketika itu seorang wanita melihat Price yang sedang bersiaran langsung ternampak benjolan yang mencurigakan di lehernya. Wanita itu segera menghantar e-mel kepadanya.

“Hai, baru saja melihat laporan berita anda. Yang membimbangkan saya adalah benjolan di leher anda. Silakan periksa tiroid anda. Ia mengingatkan saya pada leher saya yang ternyata itu barah. Jaga diri anda,” tulis wanita itu dalam e-mel yang dihantarnya kepada Price.

Email yang dihantar oleh penonton yang prihatin kepada Price.

Dalam maklum balasnya terhadap saranan penghantar email itu untuk laman web WFLA, Price mengatakan bahawa beliau tidak tahu sama ada mahu panik atau mengabaikan e-mel tersebut.

“Teman lelaki saya antara individu yang bertegas mahu saya membuat temu janji dan berjumpa doktor berkaitan hal itu,” tulisnya.

Sah

Rupanya benar, doktor bersetuju bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Ultrasound ke atas Price menemui nodul yang tumbuh di tiroidnya.

Price kemudian menemui pakar barah di Tampa General Hospital dan kecurigaan penonton berkenaan disahkan. Benjolan Price sah adalah barah tiroid dan telah merebak ke kelenjar berhampiran.

“Sekiranya saya tidak pernah menerima e-mel itu, saya tidak akan menghubungi doktor saya. Kanser akan terus merebak. Itu sangat menakutkan.

Iklan

“Saya selamanya akan berterima kasih kepada wanita yang berusaha untuk menghantar e-mel itu kepada saya, walaupun dia orang asing. Dia tidak mempunyai kewajiban berbuat demikian, tetapi tetap melakukannya,” tulis Price.

Setelah mendedahkan berita itu, Price mengatakan beliau akan bercuti seminggu daripada bekerja untuk menjalani pembedahan.

Beliau merancang melakukan CT scan dan biopsi untuk kelenjar terbabit bagi memastikan barah tidak merebak.

Iklan

“Sebagai wartawan, kitaran penghasilan berita tidak pernah berakhir. Saya mahu mengambil peranan penyiasatan baru.

“Kami membuat liputan kisah kesihatan. Tetapi kesihatan saya sendiri sebelum ini adalah perkara yang paling jauh dari fikiran saya,” katanya.

Price menghantar e-mel kepada wanita itu untuk mengucapkan terima kasih atas keprihatinannya, tetapi masih belum mendapat balasan.

Beliau mengakhiri Tweetnya dengan menulis, “Dunia adalah tempat yang sukar akhir-akhir ini. Jangan lupa untuk menjaga diri sendiri. Jaga satu sama lain. Sayangi diri kita dan sampai jumpa lagi.” -CNN