Pintu kecemasan selamatkan nyawa, tapi abang masih hilang, lelaki ini trauma lihat mayat & serpihan pesawat Air India
BERPANTANG maut sebelum ajal.
Demikianlah perumpamaan yang paling tepat bagi menggambarkan detik cemas yang dilalui seorang penumpang Air India selepas terselamat dalam tragedi pilu yang meragut ratusan nyawa di Gujerat pada petang Khamis lalu.
Menurut siasatan awal, tiada seorang pun individu yang dilaporkan terselamat.
Keyakinan itu semakin kukuh apabila video pesawat terhempas bersama letupan besar yang menggegarkan bumi Gujerat mula tersebar luas.
Mangsa yang dikenali sebagai Ramesh Vishwaskumar berkata, kedudukannya di kerusi 11A dan berhampiran pintu keluar kecemasan menjadi ‘penyelamat’ yang tidak disangka-sangka.
Menurutnya, pesawat yang dijadualkan berlepas ke London, United Kingdom dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai itu mula mengeluarkan bunyi asing yang kuat sebelum terhempas.
Kongsinya lagi, sejurus terselamat dari nahas itu, dia seakan-akan melihat malapetaka besar dengan mayat bergelimpangan dan serpihan kapal berselerakkan.
“Dalam masa 30 saat selepas berlepas, saya dengar bunyi letupan yang kuat.
“Ada mayat di sekeliling saya. Saya panik, terus bangun dan lari. Serpihan kapal terbang ada di merata tempat," katanya kepada wartawan tempatan yang berkumpul mengelilinginya dalam keadaan terkejut.
Lelaki berusia 40 itu bagaimanapun mengalami kecederaan akibat hentakan pada bahagian dada, mata dan kaki.
Menurut doktor, kecederaan yang dialaminya tidak mengancam nyawa, namun kesan emosi yang ditanggung dijangka berpanjangan.
Dalam sebuah rakaman video yang tular, kelibat Ramesh dirakam sedang berjalan terhincut-hincut keluar dari serpihan pesawat dengan pakaian koyak dan berlumuran darah ke arah ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Ramesh yang kini dirawat di Hospital Awam, Asarwa di Ahmedabad memaklumkan ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan pulang ke London bersama abangnya, Ajay Vishwaskumar yang duduk di sebelah kanan pesawat.
Bagaimanapun, hingga ke saat ini, keberadaan abang kandungnya masih menjadi tanda tanya.
Dalam keadaan masih terkejut, dia sempat membuat satu panggilan video kepada ayahnya dan tidak mempercayai bagaimana dia boleh terselamat dari insiden ngeri itu.
Difahamkan, Ramesh yang berasal dari India telah menetap di London sejak 20 tahun lalu bersama isteri dan anaknya.
Kini, keluarga lelaki tersebut dilaporkan dalam perjalanan untuk melawatnya.
Terdahulu, seramai pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India terhempas sejurus berlepas.
Pesawat berkenaan membawa 242 orang termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal.
Daripada 230 penumpang, 169 adalah warga India, Britian (53), Portugal (7) dan Kanada (1).
Sumber: BBC
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
