Selepas 21 tahun, cincin berlian yang ‘bersemadi’ dalam mangkuk tandas dijumpai kembali. Ini kisahnya

SIAPA sangka sebuah mangkuk tandas menyimpan bukti percintaan pasangan Florida, Amerika Syarikat yang telah hilang selama 21 tahun lalu.

Lapor Wfla.com, Nick Day telah melamar isterinya, Shaina dengan memberikan sebentuk cincin berlian sebagai tanda pertunangan.

Bagaimanapun, belum sempat Shaina memberikan jawapan kepada Day, beliau telah menghilangkan cincin berharga berkenaan.

Menurut laporan, tanda percintaan itu telah terjatuh ke dalam mangkuk tandas sebelum wanita itu menyedari kehilangannya.

Kredit foto: Marta Branco

Kepada Wfla.com, Day berkata, selepas beberapa hari insiden itu berlaku, Shaina datang berjumpa dengan memaklumkan bahawa cincin tersebut telah pun ‘lenyap’.

“Shaina memberitahu cincin itu mungkin hilang sewaktu dia berada di dalam tandas. Ketika itu, dia telah meletakkan hadiah berkenaan di atas rak dan mungkin terjatuh sewaktu dia mahu mengepam tandas,” katanya.

MASUK KE LOJI KUMBAHAN

Dalam pada itu, Shaina berkongsi cerita tentang perjuangan mereka dalam mendapatkan semula barangan perhiasan tersebut.

“Demi sebentuk cincin, saya sanggup turun ke dalam septic tank (loji kumbahan) supaya kami boleh mengepam setiap bahagian dengan menggunakan penapis, namun tidak membuahkan hasil,” ujarnya.

 

Bagaimanapun, tiada siapa menduga, selepas hampir dua dekad kehilangan, tanpa disangka-sangka, cincin tersebut berjaya ditemukan semula.

Semuanya bermula dengan tindakan ibu kepada Day, Nick Renee yang mahu menukar tandas baharu.

Bulan lalu, Renee telah menghubungi tukang paip tempatan untuk menggantikan tandas di rumahnya, namun tanpa disangka-sangka pekerja yang ditugaskan telah menjumpai sebentuk cincin yang tersangkut di dalamnya.

“Setelah melihat cincin itu, saya betul-betul yakin bahawa ia adalah cincin Shaina yang telah hilang lebih 20 tahun lalu,” ujar Renee.

Kredit foto: Ngakan eka

Walaupun cincin berlian tersebut telah berada di dalam tandas bertahun-tahun lamanya, kualiti perhiasan itu masih baik, walaupun ia memerlukan pembersihan yang sebetul-betulnya.

Baca juga: [VIDEO] Sejuk perut mengandung, wanita tersentuh anak 9 tahun hadiahkan cincin emas Hari Ibu

Pertemuan yang mengejutkan itu telah membuatkan ibu bapa Day mahu memberi kejutan kepada pasangan berkenaan sempena Hari Natal.

“Saat mak ayah menghulurkan beg kecil yang mengandungi satu bungkusan hadiah, kami boleh mengagak dengan tepat isi yang terkandung di dalamnya,” kata Day penuh makna.

Iklan

Shaina menangis kegembiraan kerana beliau berjaya untuk mendapatkan semula cincin yang hilang itu.

Kredit foto: The Glorious Studio

Beritahu pasangan itu, mereka mungkin akan menambah perincian berlian baharu pada cincin berkenaan untuk diwarisi kepada anak-anak mereka pula.

Dalam pada itu, SinarPlus ingin berkongsi beberapa kisah berkenaan cincin perkahwinan yang hilang akhirnya ditemukan semula, antaranya:

1. Cincin perkahwinan hilang di tempat pembakaran mayat

Kredit foto: Glauber Torquato

– Sebentuk cincin emas yang bertakhtakan berlian yang telah hilang di Cremation Society of the Carolinas, Amerika Syarikat.
– Cincin yang berusia 54 tahun itu milik seorang wanita yang telah meninggal dunia telah berjaya dikembalikan semula kepada keluarga setelah polis menjumpai cincin itu di kedai pajak gadai.

2. Selepas 27 tahun hilang, wanita Oregon, Amerika Syarikat menjumpai semula cincin perkahwinan
– Melisse De La Mare telah kehilangan cincin perkahwinannya sewaktu dalam perjalanan ke Oregon Ski Resort.
– Cincin itu begitu istimewa kerana ia kepunyaan ibu mertua dan diukir khas dengan nama ibu bapa suaminya.
– Setelah 27 tahun, wanita itu telah dihubungi oleh seorang tukang emas di Alabama.
-Beliau diberitahu bahawa ada seorang lelaki menyerahkan cincin perkahwinan yang hilang hampir tiga dekad.

Iklan

Baca juga: Sebak ganti ibu sarung cincin tunang ke jari adik ipar, wanita menitiskan air mata atas pelamin

Baca juga: Sweet! Abang Viva tunjuk cincin lamar wanita di live TikTok curi perhatian

Kredit foto utama: Jimmy Chan & Karolina Grabowska

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi