NASI adalah makanan ruji di kebanyakan negara di Asia. Sebilangan besar masyarakat di situ makan nasi.

Ia benar-benar merupakan makanan asasi hinggakan kebanyakan orang Asia tahu memasaknya walaupun kanak-kanak! Terdapat pelbagai jenis makanan boleh dibuat dengan nasi, termasuk nasi goreng dan pelbagai jenis bubur.

Macam-macam kreativiti orang Asia yang boleh masak pelbagai menu dengan nasi. Jadi jangan cuba nak ‘cong’.

Bayangkan mereka yang ingin memasak nasi tetapi di luar kebiasaan kaedah digunakannya. Itulah yang mengejutkan ramai orang Asia apabila ‘dikejutkan’ dengan video tutorial masakan makanan itu.

Mulanya memasak beras yang belum dicuci, kemudian setelah mendidih dibilasnya pula macam masak pasta! Ramai yang percaya bahawa video ‘tutorial mudah’ terbabit sebenarnya tidak bermanfaat apa-apa.

Akan tetapi, ia hanya menunjukkan bahawa hos BBC Food itu, tidak tahu cara memasak nasi dengan betul!

Video tutorial Hersha Patel disiarkan pada April 2019 lalu, tetapi hanya viral baru-baru ini setelah ada orang Asia memberi reaksi terhadap video berkenaan. Dalam video tersebut, Hersha menunjukkan bagaimana memasak nasi goreng telur yang dikatakan dengan cara yang mudah.

Namun dalam video itu, beliau menunjukkan kaedah memasak nasi dengan hanya menuangkan beras yang belum dicuci ke dalam periuk dan menambahkan sedikit air yang diukurnya menggunakan cawan.

Dia membiarkan nasi itu mendidih, namun apa yang mengejutkan netizen apabila beliau menapis keluar air beras dari periuk.

Ramai menyedari bahawa nasi dimasak itu tidak betul. Begitupun Hersha dengan yakin memberitahu penontonnya untuk membilas nasi untuk menghilangkan rasa berkanji.

Sedangkan sepatutnya nasi akan dibiarkan mendidih sehingga airnya kering. Kemudian, biarkan dimasak selama beberapa minit sebelum mematikan api!

Tetapi versi nasi rebus Hersha masih kelihatan mentah dan keras! Lihat videonya di sini:

Terdapat ramai warganet orang Asia yang agak marah dengan ‘tutorial’ tersebut. Mereka mengatakan sepatutnya memanggil mereka yang benar-benar tahu tentang makanan Asia. Tetapi apa yang dimusykilkan Hersha pun sebenarnya berasal dari India – itu juga membuktikannya orang Asia! Hmmmm.

Bagaimanapun, ramai yang merasa tidak senang dengan tutorial itu, malah kaedahnya ditertawakan oleh vlogger dan pelawak stand-up komedi yang menetap di UK, Nigel Ng.

Dengan nama samaran ‘Uncle Roger’, dia mengejek tutorial Hersha – hingga videonya kini menjadi viral!

Iklan

Rata-rata terhibur dengan cara Nigel memberikan reaksi terkejut dengan apa yang ditunjukkan oleh hos BBC Food itu.

“Kenapa anda bilas dengan air nasi itu? Anda merosakkan nasi itu. Anda sudah tapis nasi itu kemudian anda lalukan air semula, jadi mengapa anda buang lebihan air tadi?

“Siapa masak nasi begini? Bagaimana wanita ini boleh mengendalikan BBC Food?,” katanya yang mengeluh kecewa dengan cara penyediaan nasi tersebut.

Video komentarnya di YouTube itu juga sudah mencecah lebih 3.3 juta tontonan sejak dimuat naik dua minggu lalu.

Bertemu

Terbaharu, Nigel dilaporkan telah bertemu Hersha.

Baik-baik je kedua-dua individu ini bertemu walaupun sebelum itu Nigel menyidir kaedah Hersha menyediakan nasi goreng di YouTubenya, Uncle Roger.

Iklan

“Perkembangan besar, Uncle Roger sekarang membuat kolaborasi dengan wanita nasi goreng telur ini,” kata Nigel dalam Tweet pada hari Sabtu, 25 Julai lalu, setelah mereka bertemu untuk membincangkan komennya terhadap ‘isu’ masak nasi itu.

Dalam pendedahan ringkas itu, Nigel pertama kali meminta netizen untuk berhenti membuli hos rancangan memasak secara dalam talian berkenaan.

“Hersha benar-benar baik, dia penyampai hebat, sangat lucu. Komen yang baik-baik saja. Jika tidak, Uncle Roger akan datang untuk anda,” katanya.

Keduanya kemudian memberitahu peminat untuk menunggu video kolaborasi mereka, yang mana Hersha berjanji akan menunjukkan kepada Uncle Roger bagaimana cara sebenarnya memasak nasi. -AG