Terbakar seluruh badan, kulit dada menggelupas dan rambut seperti arang. Ibu ini gadai nyawa selamat 6 anak daripada kebakaran
BADAN berdarah teruk dan terbakar seluruh badan. Kulit dada menggelupas dan rambut menjadi seperti arang. Itulah yang kesakitan yang ditanggung ibu ini demi anak-anaknya.
Kisah Emma Schols yang sanggup menggadai nyawa meredah kebakaran demi cahaya matanya membuatkan ramai sebak.
Tragedi yang berlaku beberapa tahun lalu yang dikongsikan kembali baru-baru ini menceritakan bagaimana badan Schols terbakar sebanyak 93 peratus ketika menyelamatkan enam orang anaknya dalam kebakaran.
Dalam satu temu bual bersama Aftonbladet, Schols memberitahu, kejadian ngeri tersebut berlaku ketika beliau sedang tidur di tingkat atas rumah.
Secara tiba-tiba, beliau terdengar bunyi api sedang marak di tingkat bawah vilanya yang merupakan ruang dua orang anak lelakinya tidur.
JADI PERISAI LINDUNG ANAK
Ketika membuka pintu bilik bawah, tanpa semena-mena satu letupan kuat terjadi.
Sepantas kilat, Schols melompat ke arah anak-anaknya demi menjadi 'perisai' untuk melindungi mereka.
"Api mula menyambar pada bahagian punggung saya. Terasa seolah-olah seluruhnya terbakar, tetapi saya terus mara dan melindungi anak-anak.
"Saya ambil dan bawa mereka berdua ke luar pintu rumah dan mengunci pintu dari dalam agar mereka tidak dapat masuk lagi ke dalam," kongsinya yang bimbang kedua-dua anaknya takut dan mahu kembali memasuki rumah semula.
Bagaimana dengan empat orang anaknya yang berada di tingkat atas? Beritahu wanita hebat tersebut, beliau sangat risau mengenainya lebih-lebih lagi melihat semua anak tangga dilitupi api.
"Ketika itu dalam fikiran saya, anak-anak saya mungkin akan mati terperangkap di atas.
"Tanpa berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk meredah api yang besar. Menjejakkan kaki di atas tangga yang sedang terbakar, rasanya tersangat panas. Bagaikan tapak kaki itu sudah tercabut daripada kaki," luahnya dengan penuh perasaan.
Pada saat itu, badan Schols sudah berdarah teruk dan terbakar seluruh badan. Kulit dada menggelupas dan rambut menjadi seperti arang.
"Anak-anak saya terkejut melihat keadaan saya. Si kecil, Nellie yang berusia 9 tahun melompat dari tingkat atas dan berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.
"Anak sulung, William, 11, berjaya mengambil tangga yang rendah agar adik-adiknya yang kecil boleh keluar," ceritanya lagi.
MENGESOT ATAS LANTAI SELAMATKAN ANAK
Detik mendebarkan itu tidak berakhir setakat di situ. Schols tiba-tiba teringat anaknya yang paling kecil Mollie, 1, yang berada di dalam bilik tidur.
Sedar akan risiko kemungkinan anaknya sudah mati terperangkap, namun naluri seorang ibu enggan berputus asa. Sebaliknya, beliau tetap ingin menyelamatkan si kecil itu.
Meskipun, William menjerit supaya ibunya jangan merisikokan diri lagi, wanita berkenaan tidak mengendahkannya.
"Asap sangat tebal dan sangat menyesakkan dada. Dalam kepulan asap itu, saya ternampak Mollie berdiri di atas katilnya dan menangis ketakutan.
"Entah bagaimana saya mendapat kekuatan luar biasa untuk menolak kaki saya untuk berdiri dan dapat mengeluarkannya dari bilik," ujar ibu hebat berkenaan.
Usai anak kecilnya itu berjaya diselamatkan, barulah dirinya terbaring.
"Saat itu, saya rela andai sudah sampai waktunya. Seolah-olah semua kesakitan datang serentak. Sakit sangat. Selepas membawa semua anak-anak keluar, saya hanya fikir sekarang saya boleh mati.
"Tiada selimut, tiada perlindungan, hanya diri saya dan hati seorang ibu. Apabila saya menuruni anak tangga bersama Mollie, seolah-olah kaki saya tersangkut pada setiap langkah. Saya berdarah ketika itu," katanya.
TIGA MINGGU PAKAI ALAT PERNAFASAN
Dalam kejadian berkenaan, enam orang anaknya selamat tanpa sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, Schols terpaksa bergantung kepada alat pernafasan selama tiga minggu.
Beliau umpama berada dalam situasi di antara hidup dan mati, sementelah badannya melecur hingga 93 peratus.
"Perkara pertama yang saya fikirkan apabila saya bangun adalah 'adakah kanak-kanak itu masih hidup?'.
"Ia mungkin nampak 'hebat', tetapi pada masa yang sama sukar. Mollie tidak mengenali saya. Itu adalah bahagian yang paling sukar.
"Dia tidak mahu datang kepada saya. Mungkin kerana situasi dan melihat peralatan di hospital, selain keadaan saya yang kelihatan berbeza sama sekali," ungkapnya yang hanya dilawati oleh anak-anak selepas sebulan setengah dirawat di rumah sakit.
Usai pulih daripada kecederaan, dirinya kembali ke pangkuan keluarga dengan meneruskan aktiviti sebelum ini seperti mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah.
Kata Schols, beliau mahu menghabiskan masa bermain dan mencipta kenangan bersama anak-anaknya.
Lihat, betapa hebatnya kasih sayang seorang ibu, sanggup berkorban nyawa sendiri demi anak-anak.
Biarpun pada pandangan orang lain tiada harapan untuk ibu anak enam itu pulih, tetapi kuasa DIA tiada siapa yang mampu menghalang.
Difahamkan, kini Schols kembali pulih dan kulitnya sembuh dengan sangat cepat.
Sumber: Aftonbladet & https://brightvibes.com/
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang