TENTU ramai dalam kalangan kita tidak tergamak melakukan perkara yang menyakiti ibu walau dalam apa juga situasi. Namun lain pula kisahnya di Banten, Jawa, Indonesia ini apabila seorang ibu tua ditemui dalam keadaan leher dipasung di dalam hutan.

Ibu adalah insan yang mulia, melahirkan dan membesarkan. Wajib bagi anak menjaga tutur kata, sopan santun, melayani dengan kasih sayang dan menjaga kebajikan mereka.

Namun malang nasib wanita bernama Ani, 50, apabila lehernya telah dibelenggu (dipasung) di tengah hutan di Kampung Negara Padang, Desa Kampung Baru, Kecamatan Petir, Kabupaten Serang, Banten oleh saudara sendiri.

Baca juga: Kasih ibu, biarpun kaki dipasung wanita tetap menyusukan anak

Memetik laporan Kompas, leher wanita yang mengalami gangguan mental itu dibelenggu menggunakan rantai sepanjang 1.5 meter dan diikat pada pokok.

Bagi memastikan rantai tersebut mencederakan leher, ia dibalut menggunakan getah terpakai daripada tayar basikal.

Lokasi belenggu pula dikatakan di tengah hutan jauh dari penempatan, Ani ditinggalkan dalam pondok sementara berbumbungkan kanvas dan kain sebagai alas.

Lokasi Ani ditempatkan (Kredit foto: Kompas)

Ketua Rukun Tetangga, Juhenah, 55, berkata keputusan memasung wanita itu adalah atas persetujuan anaknya bernama Ismail dan penduduk kampung.

Anak saudara Ani, Alfiah, 29, berkata, keputusan meletakkan ibu saudaranya di tengah hutan adalah atas persetujuan bersama.

Berdasarkan perjanjian tersebut, Ani dibelenggu agar tindakannya tidak merosakkan rumah dan mengganggu penduduk setempat.

Ani dikatakan membaling batu ke rumah orang kampung dan menyebabkan pelbagai kerosakan.

Baca juga: Tergamaknya! Tolak isteri hamil 7 bulan tepi tebing untuk kaut duit insurans, lelaki dipenjara 30 tahun

“Tidak hanya batu, batang pokok, parang dan najis dicampakkan ke arah rumah jiran dan penduduk yang lalu lalang. ia Menakutkan, penduduk sekitar tidak selesa,” kata Aliyah, seorang lagi anak saudara Ani.

Gangguan mental Ani dikatakan bermula selepas tinggal bersama suaminya di Lampung. Namun keadaan psikiatri Ani semakin buruk selepas penceraian akibat kecurangan lelaki itu.

“Beliau dirantai sejak malam Khamis. Sebelum ini penduduk dan anak-anak mereka berbincang. Hasilnya, ia dipersetujui untuk diletakkan di tengah-tengah hutan supaya mereka tidak mengamuk, tidak merosakkan rumah penduduk ,” kata Alfiah.

Seminggu selepas dipasung, kesihatan wanita itu semakin terganggu hingga perlu mendapatkan rawatan. Selepas keadaan semakin pulih, Ani dibawa ke sebuah yayasan untuk mendapatkan rawatan penyakit mentalnya.

Kisah Ani menjadi tular di negara jiran dan mendapat liputan media.

Sayu hati apabila mendengar kisah Ani. Pesakit mental perlu dirawat, bukan ‘dibuang’ atau diabaikan.

Menurut MyHealth, pesakit mental yang kembali selepas dirawat di institusi psikiatri diasimilasikan dalam penjagaan di dalam komuniti.

Ini bermakna keluarga dan masyarakat setempat memainkan peranan penting dalam memberi sokongan terhadap proses rawatan dan pemulihan tersebut yang juga di kenali sebagai konsep deinstitulisasi.

Baca juga: Tergamaknya! Suami ‘buang’ isteri sakit strok dalam hutan

Jangan abai ahli keluarga yang mempunyai sakit mental. Bantu mereka mendapatkan rawatan yang sepatutnya diterima. (Kredit foto: Freepik)

Selain itu, mereka juga perlu berhadapan dengan kesan langsung dan tidak langsung yang wujud akibat penyakit mental.

Terdapat pelbagai persepsi umum mengatakan bahawa majoriti pesakit mental sentiasa tidak siuman, mengganas dan perlu diasingkan. Mereka tidak boleh menjalani kehidupan biasa, tidak boleh bekerja, suka menurut perasaan, dan sengaja hendak perhatian orang lain.

Oleh kerana itu, penjagaan persakit mental di rumah menjadi dilema dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Iklan

10 fakta penjagaan pesakit mental ahli keluarga perlu tahu

1-Pesakit mental yang menghidap neurosis, psikosis ataupun kecelaruan personaliti mengalami tanda-tanda dan gejala yang berbeza.

2- Ahli keluarga perlu mempunyai pengetahuan mengenai tanda dan gejala penyakit, kaedah rawatan serta pemulihan yang teratur dan berterusan. Penjaga harus sentiasa menyedari hakikat keadaan pesakit agar dapat berinteraksi dan memberi reaksi yang betul dan rasional untuk mengelakkan konflik.

3-Akta Kesihatan Mental 2001 menggalakkan keluarga menjaga pesakit mental yang dirawat sebagai pesakit luar mahupun yang baharu discaj dari Hospital Psikiatri.

4-Tidak dinafikan penjaga mungkin berhadapan dengan stigma sosial selain wujud kesan emosi seperti risau, tertekan, hilang harapan, malu dan kesan psikososial seperti masalah perbalahan sokongan di kalangan ahli keluarga. Penganalisaan latar belakang penjaga dan pesakit akan membantu mengenal pasti permasalahan yang di hadapi oleh kedua-dua pihak sama ada pesakit ataupun penjaga dan pasukan multi disiplin psikiatri akan membantu permasalahan berkaitan.

Ahli keluarga pastikan pesakit mendapat rawatan yang teratur sama ada pemakanan ubat harian ataupun suntikan berkala (Kredit foto: Pexels)

5- Secara umumnya penjagaan di rumah akan meliputi aspek utama iaitu penjagaan fizikal, memberi bantuan praktikal dan menemani melakukan aktiviti mengisi masa lapang.

6-Selain itu penjaga sentiasa berwaspada dengan penjagaan emosi pesakit mental tersebut dan berbincang dengan Pakar Psikiatri atau profesional mengenai tanda gejala yang berulang. Semasa manjalankan ketiga-tiga peranan tersebut, akan wujud komunikasi lisan dan bukan lisan antara penjaga dan pesakit mental yang akan menimbulkan suasana tenang ataupun provokasi.

Iklan

7-Perkara paling utama yang perlu di beri perhatian ialah memastikan pesakit mendapat rawatan yang teratur sama ada pemakanan ubat harian ataupun suntikan berkala. Pastikan pesakit melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang telah disusun untuk mereka. Contohnya penjaga membawa mereka ke Pusat Pemulihan Psikososial (PSR) yang diwujudkan di Klinik-Klinik Kesihatan terpilih di seluruh Malaysia.

8-Tidak dinafikan ada ahli keluarga yang merasa gagal untuk menjaga pesakit di rumah dan mula membuat ‘pengasingan’ dengan mengurung atau menempatkan mereka di luar bahagian rumah yang membawa maksud kontak fizikal dan komunikasi yang paling minima dengan pesakit.

9-Pengurungan itu sebenarnya boleh merencatkan perkembangan pesakit baik daripada segi keupayaannya untuk belajar, berhubung dengan orang lain malah berdikari.

10-Keluarga mungkin rasa ‘selamat’, namun bagi pesakit, ianya akan menimbulkan ketegangan dan memungkinkan simptom berulang akibat ‘relapse’.

Sumber: Regional Kompas, MyHealth, Tribunnews

Kredit foto utama: Tribunnews

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi