COVID-19 tidak mengenal dan memilih siapa pemangsanya. Tidak kira muda atau tua, lelaki atau perempuan, dewasa atau bayi, siapa sahaja mampu dijangkiti wabak pembunuh tersebut.

Ada yang menunjukkan tanda-tanda namun ada juga yang tidak menunjukkan gejala tetapi dijangkiti menyebabkan kita perlu sentiasa berhati-hati.

Buktinya, selebriti tempatan, Alif Satar juga baru-baru ini memaklumkan beliau disahkan positif Covid-19 dan terpaksa menerima rawatan susulan walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala sebelum disahkan positif Covid-19.

Begitu juga dengan kisah dari negara jiran, Indonesia, individu yang dikenali sebagai Andino, 36, merupakan salah seorang penghidap Covid-19 yang dilaporkan terpaksa bertarung selama 17 hari untuk sembuh walaupun dia merupakan seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat dan gemar bersukan.

Kisahnya bertarung menghadapi penyakit tersebut turut dikongsikan kepada umum melalui akaun Twitter miliknya yang dikenali sebagai @sampinggenic.

Melalui perkongsiannya, Andino menganggap dirinya sebagai orang yang sihat dan patuh terhadap aturan protokol kesihatan.

Andino jseorang yang mengamalkan gaya hidup sihat, gemar melakukan olahraga, tidak merokok, tidak mengalami masalah pernafasan, tidak keluar ke tempat sesak dan sebagainya.

Namun, Andino tiba-tiba terkejut dia disahkan dijangkiti Covid-19 dan terpaksa menjalani rawatan dan menderita selama 17 hari. Bahkan, kerana keadaannya yang tidak baik, dia dirawat di ICU hingga akhirnya telah disahkan sembuh sepenuhnya.

Mengamalkan gaya hidup sihat

Andino melakukan senaman enam kali dalam seminggu. Senaman yang dilakukannya juga bukanlah senaman berat yang di luar kemampuan.

“Enam hari itu dibahagi kepada dua, tiga hari saya akan membuat larian dengan jarak 5 hingga 10 kilometer dan tiga hari lagi saya melakukan HIIT bodyworkout menggunakan apps Freeletics yang diprogram khas mengikut kesesuaian kemampuan tubuh badan saya.

“Saya juga tetap memantau setiap bacaan yang dibuat ketika bersenam yang dikawal oleh beberapa aplikasi yang saya juna pakai dan tidak pergi ke tempat sesak.

“Disebabkan saya takut ke gym sejak penularan Covid-19, jadi saya melakukan senaman di sekitar rumah sahaja… saya bersenam waktu pagi sekitar jam 5 pagi dan sentiasa memakai pelitup muka,” kongsinya di Twitter.

Andino juga mendakwa dia menjaga waktu rehatnya dan setiap hari dia akan memastikan mendapat tidur yang cukup 8 jam sehari, mengambil makanan sihat dan vitamin.

Iklan

Ketika disahkan positif Covid-19, Andino dikatakan bingung dan tidak pasti dia boleh dijangkiti virus tersebut, bila dan di mana.

“Berkemungkinan menurut doktor saya terlalu penat dan disebabkan itu pas imun agak menurun dan mudah untuk dijangkiti sebarang virus, tulisnya lagi.

Dengan apa yang telah dialaminya, Andino berpesan agar semua orang sentiasa beringat dan percaya bahwa virus Covid-19 itu benar-benar wujud.

Iklan

“Virus mudah dijangkiti jika tahap imunisasi kita tidak stabil. Virus juga tetap mampu untuk disebarkan walaupun kita tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Adakah harus sampai ada keluarga, kenalan atau anda sendiri yang meninggal baru nak sedar dan percaya?” pesan Andino.