HARI Basikal Sedunia baru-baru ini nampaknya menyoroti potensi untuk mengubah cara dunia bergerak, sebelum dan sesudah wabak Covid-19.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada sambutan hari tersebut, berbasikal disifatkan dapat membantu mewujudkan masa depan yang lebih sihat dan lestari.

“Tahun ini … kami mengakui keunikan dan serbaguna sebuah basikal”, kata Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-74, Tijjani Muhammad-Bande.

Tijjani dalam satu kenyataan berkaitan turut menyifatkan penggunaan basikal kian meluas dari negara-negara paling maju hinggalah ke negara membangun selain negara dunia ketiga.

Pemuda memakai topeng muka ketika berbasikal di sebuah taman di Büyükçekmece, Turki. -UNDP/Levent Kulu
Seorang wanita di Guatemala menggunakan basikal sebagai alat pengangkutan utamanya. -UN Women/Ryan Brown

 

Ya, krisis Covid-19 telah menghentikan perjalanan aktiviti dunia. Tetapi berbasikal bukan sahaja terbukti sangat ‘berpengaruh’ semasa pandemik, tetapi ia semakin popular di banyak bandar, termasuk kediaman sekitar Ibu Pejabat PBB – New York, kata beliau.

WHO turut mengesyorkan berbasikal sebagai mod pengangkutan dan cara untuk tetap sihat ketika dan selepas krisis global itu.

“Bukti menunjukkan bahawa tidak berapa lama semasa Covid-19, ramai yang sudah beralih berbasikal sebagai mod pengangkutan yang membawa kepada kehidupan lebih sihat.

“Berbasikal bukan sahaja terbukti dapat meningkatkan kesihatan fizikal, tetapi juga memberi kesan positif terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan subjektif,” kata Tijjani.

Seluruh dunia galak berbasikal

Sebagai tindak balas terhadap pandemik koronavirus, bandar-bandar di seluruh Eropah dan Amerika – termasuk London, New York, Paris, Berlin, Milan dan Bogata – telah merancang ‘membebaskan’ jalan raya daripada dikuasai kereta.

Penggunaan untuk penunggang basikal secara eksklusif dan kepada pejalan kaki ditetapkan untuk sekurang-kurangnya tempoh tertentu setiap minggu.

Pandemik Covid-19 juga nampaknya mendorong ramai orang terutama di tengah kota seluruh dunia untuk berbasikal di luar rumah, lapor BBC baru-baru ini.

Berbasikal di ruang terbuka dianggap aktiviti pelepas penat selama tempoh ‘perintah berkurung’ bagi memutuskan wabak Covid-19.

Merujuk data Institute for Transportation & Development Policy (ITDP), jumlah mereka yang melalui lalu lintas di Jakarta dengan berbasikal meningkat hingga 1,000 peratus.

Pada akhir Jun lalu, lebih 52,000 berbasikal tercatat melintasi sejumlah jalan bebas kendaraan bermotor di Jakarta.

Data itu memuncak sebaik tamat perintah kawalan sosial di ibu kota berkenaan yang berakhir pada 18 Jun lalu. ITDP mencatat, setelah sektor pekerjaan diizinkan beroperasi kembali, dalam sehari jumlah mereka berbasikal di kawasan perniagaan naik daripada rata-rata 10 menjadi 235 yang menggunakan kenderaan dua roda itu.

Iklan

Sementara pada 28 Jun lalu, sekitar 52,000 berbasikal dicatatkan telah melintasi 32 lokasi bebas kenderaan bermotor Jakarta.

Di peringkat global, tren serupa juga muncul di sejumlah negara.

April lalu misalnya, jumlah golongan berbasikal di kota Edinburgh, Scotland meningkat 252 peratus selama hari kerja. Pada hujung minggu, jumlahnya naik hampir dua kali ganda menjadi 454 peratus. Data itu dihimpun organisasi Cycling Scotland.

Ledakan berbasikal juga berlaku di beberapa kota di Amerika Syarikat (AS). Trend itu dicatat Eco-Counter, lembaga pengumpul data yang berkaitan dengan tinjauan berbasikal dan pejalan kaki.

Menurut mereka, peningkatan lalu lintas berbasikal paling tinggi adalah di kawasan barat daya AS, hampir 100 peratus.

Iklan

Namun, trend ini tidak semestinya membawa kepada penggunaan basikal secara besar-besaran sebagai alat pengangkutan harian, menurut Toto Sugianto, pelatih komuniti Bike to Work Indonesia.

Selama pandemik, kata Toto, masyarakat memandang berbasikal sebagai saranan beraktiviti dan rekreasi semata.

Untuk mengubah rasa ingin menggunakan basikal, Toto mencadangkan kerajaan perlu memperbanyakkan kemudahan bagi berbasikal, salah satunya dengan laluan khusus.

Begitupun, apakah setelah pandemik berakhir, trend orang ramai menggunakan basikal sebagai kenderaan memudahkan pergerakan sehari-hari akan berterusan?

Di Malaysia ada yang mahu rasa berbasikal? Jika ya sekali pun, sesuaikah dengan keadaan kita di sini? -AG #janganputusasamalaysia