KISAH seorang pekerja kilang besi di China yang hilang secara tiba-tiba ketika sedang bekerja syif malam menarik perhatian warganet baru-baru ini.

Masakan tidak, Wang Long berusia 34 tahun itu tidak menunjukkan sebarang habit yang pelik-pelik sebelum beliau dikatakan hilang di kawasan relau pembakar besi.

Lapor South China Morning Post, kehilangan lelaki itu hanya disedari pada 24 Mac lalu dan misi mencari dijalankan pihak kilang.

misteri pekerja besi hilang

Siapa sangka, rakaman kamera litar tertutup di kawasan terakhir lelaki itu dilihat menunjukkan sesuatu yang mengejutkan.

Video tersebut antara lain menunjukkan pekerja terbabit membuka sarung tangan dan topi keledar keselamatan sebelum berdiri di hadapan sebuah relau dengan api yang marak.

“Lelaki itu dilihat sedang menjengah relau tersebut sebelum bertindak terjun ke dalam relau dan berlaku letupan kecil.

“Suhu cecair besi dalam relau itu boleh mencapai suhu hingga 1,500 darjah celsius,” kata seorang pekerja kilang yang menyaksikan rakaman tersebut berdurasi 26 saat itu.

Laporan Gulf Today juga turut berkongsi video sama yang tular di media sosial.

Pasti ramai tertanya-tanya, apakah punca lelaki tersebut mengambil keputusan tragis seperti itu?

Hasil siasatan lanjut mendapati, tindakan pekerja bahagian paipan besi itu disebabkan kemurungan selepas berdepan kerugian dalam pelaburan saham.

Long yang masih bujang itu dikatakan mengalami kerugian lebih 60,000 yuan (RM37,758) dan dipercayai berdepan hutang yang banyak.

Hasil siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah dan dilaporkan kes kematian mengejut.

Iklan

Tidak mahu kejadian sama berulang, syarikat tersebut mengadakan program bimbingan psikologi kepada pekerja dan ahli keluarga si mati.

misteri pekerja besi hilang

Kes kematian disebabkan kerugian pelaburan saham pernah dilaporkan pada April 2020 apabila seorang lelaki bertindak terjun dari bangunan di Fujian, China.

Satu lagi kisah tragis pada Jun 2020 lalu melibatkan pasangan suami isteri yang sanggup membunuh anak perempuan mereka selepas kerugian sejumlah 20 juta yuan (RM12,586,000).

Pasangan suami isteri tersebut sanggup memberi pil tidur sebelum bertindak menikam leher anak mereka dan dicampakkan di dalam sungai.

Iklan

bunuh diri

Mereka kemudiannya terjun dari jambatan Xinghaiwan di Dalian, China sebelum diselamatkan pasukan keselamatan.

Hanya lelaki yang dikenali dengan nama Zheng itu terselamat, manakala isteri dan anak perempuan ditemui meninggal dunia.

Semoga insiden ini menjadi iktibar buat semua dan dinasihatkan janganlah bertindak di luar jangka jika berdepan musibah.