BAYANGKANLAH keadaan dua bidan ini yang sedang cuba menyelamatkan bayi yang tidak sedarkan diri.

Pelbagai usaha dicuba untuk kembali menyedarkannya, namun nampak tiada harapan. Begitupun, insan berdua ini tetap tidak berputus asa untuk menyelamatkan si kecil. Begitulah… naluri keibuan barangkali.

Rakaman video dua orang kakitangan perubatan (bidan) menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan di salah sebuah klinik viral di media sosial sejak kelmarin hingga hari ini dengan lebih 3 juta tontonan.

Facebook Ria Liana yang pada asalnya memuatnaik video ini dan menuliskan keterangan:

“Terima kasih tuhan
Akhirnya bayinya selamat.
Terima kasih juga buat jururawat yang membantu si adik ini.
Buat yang punya baby di rumah, lebih baik mereka diperhatikan yaa. Jangan ditinggal ketika bayi main air, kerana bayi boleh saja lemas dan akibat kejadian seperti ini,” tulisnya.

Apa yang menyentuh hati warganet ialah pujian yang harus diberikan kepada kedua bidan dalam video tersebut yang tidak putus asa berusaha menyelamatkan bayi berusia kira-kira 9 bulan tersebut.

Salah serang bidan tampak mengangkat dan menggoyang-goyangkan tubuh si kecil itu. Kedua kaki si anak diangkat ke atas dan kepalanya ke bawah.

Seorang lagi bidan pula memasukkan jarinya ke mulut bayi itu. Kira-kira 15 minit masa diambil untuk ‘menghidupkan’ kembali anak itu.

Di penghujung video, akhirnya tampak si anak kecil menangis, manakala kedua bidan itu pun turut menitiskan air mata dengan penuh haru bahagia.

Mereka berjaya menyelamatkan si kecil yang asalnya tidak sedarkan diri sebelum itu.

Difahamkan bidan tersebut bernama Santi Simatupang, 30, dan rakannya bidan, Netty Pangaribuan, 42.

Keduanya bertugas di Klinik Pratama Tampukasih, Sumatera Utara.

Santi Simatupang menjelaskan, awalnya si bayi tersebut dihantar dua orang wanita, dengan kondisi tidak sedarkan diri.

Kejadian berlaku pada 10 Ogos 2020, sekitar pukul 2 petang. Si anak tersebut lemas dan menelan banyak air.

Daripada keterangan yang diperoleh, dari lokasi kejadian hingga perjalanan menuju klinik memakan waktu 5 minit.

Sebaik tiba di klinik, Santi Simatupang dan Netty Pangaribuan, terus memberikan pertolongan.

Awalnya mereka sudah pesimis kerana bantuan diberikan hingga 15 minit lebih belum membuahkan hasil.

“Tapi kami tetap berusaha. Dengan pertolongan Tuhan, kami berhasil menyedarkan anak ini dan dia akhirnya menangis,” katanya. -tribunnews.com