BENCANA alam terjadi tanpa diduga. Banjir, gempa bumi dan tsunami, hakikatnya tiada satu pun negara yang kebal daripada bencana alam yang menimpa.

Baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Kementerian Alam Sekitar dan Air mengeluarkan peringatan berkaitan siap siaga menghadapi ancaman gempa bumi dan tsunami.

Kempen menyediakan 1 Rumah 1 Beg Kecemasan dianggap penting agar ia mudah dicapai jika diarahkan berpindah atau menyelamatkan diri terutamanya ketika bencana berlaku.

Antara barangan yang perlu ada di dalam beg kecemasan atau emergency backpack ialah seperti berikut:

1.Dokumen penting seperti sijil kelahiran, kad pengenalan atau lain-lain dokumen yang mustahak.
2.Pakaian, kasut dan selimut.
3.Lampu suluh dan bateri.
4.Kit bantuan kecemasan dan ubat-ubatan.
5.Wisel.
6.Makanan tahan lama.
7.Air.
8.Radio mini mudah alih berbateri.
9.Kit kebersihan.
10.Telefon dan power bank yang siap dicas.
11.Wang tunai.

*Sebaik-baiknya, isi barangan ini di dalam plastik berzip untuk mengelakkan ia basah atau lembap.

Baru-baru ini beberapa lokasi di negara ini menghadapi bencana banjir dan banjir lumpur. Seperti yang berlaku di Yan, Kedah baru-baru ini, smuanya terjadi di luar jangkaan dan dalam tempoh yang singkat.

Semalam pula dikhabarkan beberapa lokasi di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang turun seawal tengah hari dan petang yang tidak berhenti.

Kedah difahamkan sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat semalam.

MELAKA
36 lokasi di tiga daerah di negeri ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda negeri itu tengah hari semalam. Tiga Pusta Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sebagai persediaan menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

Lebih memilukan, banjir kali ini meragut nyawa seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Mohd Diya Che Jusoh, 46 tahun. Wira merah itu dipercayai lemas ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

SELANGOR
Kejadian banjir kilat terjadi di daerah Klang disebabkan longkang tersumbat dan berlaku limpahan air sungai ekoran hujan lebat. Di kawasan sekitar Jusco Bukit Raja, Persiaran Bukit Raja 2, kedalaman air adalah 1.22 meter, di sekitar Jalan Mohd Yamin (1.83m), manakala di Taman Melawis (0.30m).

NEGERI SEMBILAN
Lapan kampung di Rembau dilanda banjir kilat disebabkan limpahan air dari beberapa sungai ekoran hujan lebat berterusan sejak pagi sehingga pukul 6 petang semalam.

Difahamkan, beberapa lokasi di Seremban dan Port Dickson juga turut mengalami kejadian banjir kilat.

KEDAH
Tiga PPS dibuka di daerah Kuala Muda yang menempatkan 162 mangsa dari 39 keluarga berikutan rumah mereka dilanda banjir kilat, malam tadi.

Iklan

Hujan lebat lebih tiga jam di daerah Kuala Muda menyebabkan banjir kilat. Sebanyak empat mukim di daerah itu dinaiki air membabitkan 15 kampung dan dua kawasan perumahan, menyebabkan 291 keluarga terjejas dinaiki air.

Masih trauma dengan kejadian banjir lumpur baru-baru ini, penduduk sekitar pekan Yan sekali lagi berhadapan bencana banjir susulan paras air sungai mulai meningkat dan melimpah selepas hujan turun pada jam 4 petang. Pekan Yan mulai dipenuhi air hampir dua meter pada jam 6 petang.

Baru-baru ini MET Malaysia memaklumkan Fasa Peralihan Monsun bermula 24 September 2021 dan berterusan sehingga awal bulan November 2021 menyebabkan hujan hujan turun sebelah petang hingga menjelang malam.

Baga juga: Hujan, ribut petang, awal malam rupanya peralihan monsun, diramal hingga November 2021

Iklan

Menjelang musim tengkujuh, bencana banjir menjadi ancaman buat penduduk negara ini.

Lapor sebuah portal berita tempatan, Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata musim tengkujuh dijangka akan bermula pada awal November depan.

Jadi bersiapsiagalah kita menghadapi sebarang kemungkinan, terutamanya bagi korang yang tinggal di kawasan berisiko banjir.

Jangan lupa sediakan beg kecemasan yang berisi survival kit sebagai salah satu persediaan dan sentiasa berwaspada serta peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan

Sumber: Twitter MET Malaysia, Sinar Harian