INDEKS Kesakitan Global (GPI) hasil kajian sokongan bersama GlaxoSmithKline Consumer Healthcare (GSK) mendedahkan, lebih 85 peratus rakyat Malaysia mengalami kesakitan tahun lalu.

Pun demikian, sebanyak 60 peratus daripada mereka telah memilih untuk menangguhkan rawatan atau tidak merawatnya sama sekali!

Output penyelidikan tersebut adalah berdasarkan tinjauan melibatkan 19,000 responden yang berusia 18 hingga 65 tahun ke atas di 19 negara termasuklah 1,000 responden dari Malaysia.

Ternyata, pecahan angka yang ditunjukkan adalah sangat mengejutkan apabila:

i) 80 peratus iaitu sebilangan besar rakyat Malaysia berasa perlu untuk menahan kesakitan.

ii) 32 peratus rakyat Malaysia mengalami kesakitan setiap minggu, namun 53 peratus daripada mereka sanggup menderita kesakitan untuk beberapa jam.

Pengurus Besar Penjagaan Kesihatan Pengguna GSK Malaysia, Bryan Wong hasil kajian itu mempunyai hubung kait dengan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan berkenaan melaporkan, 35.1 peratus orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas mempunyai tahap pengetahuan kesihatan yang rendah.

“Penangguhan rawatan adalah tingkah laku biasa dilakukan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mana lebih
daripada separuh iaitu sebanyak 57 peratus memilih menunggu dan tidak merawat kesakitan dengan segera,” lapor kajian itu.

Berbalik dengan hasil kajian GSK, ia menunjukkan, 31 peratus rakyat Malaysia menghindari pengambilan ubat-ubatan, 29 peratus pula bimbang akan kebergantungan terhadap ubat-ubatan dan 25 peratus daripada responden akan kesan sampingan daripada ubat tahan sakit.

Ketua Analisis data GSK Asia Tenggara, Shawn Roy berkata, penyelidikan turut mendapati, kesakitan yang berpanjangan dan tidak dirawat akan menyebabkan kesan sampingan negatif bagi psikologi dan fizikal seseorang.

Berdasarkan GPI 2020, Shawn berkata, 67 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa kesakitan akan menjejaskan kualiti kehidupan mereka kerana hal itu menjadi faktor seseorang tidak dapat memberi tumpuan dan mengehadkan produktif atau bersosial.

“Kesan daripada menangguhkan rawatan bukan sahaja memberi impak negatif pada gaya hidup harian pesakit, bahkan ia juga memberi kesan pada masyarakat dan ekonomi negara,” ujarnya.

10.7 juta hari cuti sakit

Dalam pada itu, Tinjauan Ketidakhadiran Pekerja oleh Persekutuan Majikan Malaysia 2019 mendapati, lebih daripada 10.7 juta hari telah digunakan untuk mengambil cuti sakit.

Dalam pemilihan rawatan untuk melegakan kesakitan, rakyat Malaysia mengambil empat hingga lima langkah
dan lebih cenderung untuk berehat berbanding merawatnya dengan segera.

Lebih membimbangkan, 37 peratus rakyat Malaysia memilih tidak merawat kesakitan mereka dan lebih suka menahan kesakitan jika tahap kesakitan bukanlah serius.

Iklan

Kajian itu juga menyebut, bagi golongan ibu bapa pula, mereka lebih cenderung merawat dengan segera apabila mengalami kesakitan berbanding golongan bukan ibu bapa.

Buktinya, 52 peratus golongan ibu bapa juga cenderung mengambil ubat, 46 peratus meminta nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan dan 36 peratus mencari maklumat untuk merawat kesakitan mereka dengan lebih efektif.

Artikel berkaitan: Dakwaan ambil panadol, pain killer boleh sebabkan ketagihan hanya mitos

Kajian itu juga menunjukkan tujuh daripada 10 ibu bapa mendapati kemampuan mereka untuk menjaga
anak-anak akan terjejas ketika mereka mengalami kesakitan.

Lebih separuh daripadanya iaitu 52 peratus turut percaya ia akan memberi kesan kepada orang di sekeliling mereka.

Iklan

Situasi itu lebih jelas ketika Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan yang mana ibu bapa bekerja dari rumah di samping melakukan pelbagai tugasan seperti menjaga anak-anak, mengejar tarikh akhir menyiapkan tugasan pejabat dan mengendali tugasan rumah tangga secara serentak.

Situasi itulah yang memaksa mereka menjalani satu kehidupan harian baharu.

Bertepatan dengan itu di samping menyedari tahap pengetahuan kesihatan di Malaysia yang masih rendah, GSK Consumer Healthcare Malaysia bergabung dengan Watsons Malaysia melancarkan kempen ‘Ketahui Ubat Anda, Ketahui Kelegaannya’ pada bulan ini menerusi platform media sosial, digital, portal e-Dagang Watsons dan rangkaian kedainya di seluruh negara.

Usahasama itu bertujuan mendidik dan meningkatkan akses rakyat Malaysia dalam pengetahuan perubatan untuk membantu mereka dalam perjalanan pengurusan kesakitan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup.

Oleh itu, panduan kesihatan awam terkini melalui rangkaian yang relevan dan bekerjasama dengan pakar kesihatan, peruncit dan pengguna bagi memastikan mereka yang mengalami kesakitan dapat memperoleh maklumat pengurusan kesakitan daripada sumber yang tepat dan boleh dipercayai.