BARU-BARU ini tular di Facebook mengenai kisah seorang warganet yang mendedahkan bahawa dirinya terkena serangan bakteria hidup pemakan daging.

“Doktor cakap kalau terlambat satu hari, saya mungkin kehilangan lengan. Bakteria tersebut sudah menjalar sampai ke ketiak dan melarat ke bahagian tubuh saya yang lain. Mohon maklumkan keluarga agar berhati-hati saat membersihkan udang mentah atau makanan laut,” tulisnya.

Kisah itu bermula gara-gara tercucuk udang mentah yang dibelinya di pasar. Waktu mencuci dan membersihkan udang, jarinya tercucuk berkali-kali. Ketika itu beliau fikir tiada apa-apa.

Selepas sehari, jarinya menjadi hitam dan mengalami demam ringan. Oleh sebab itu, beliau mengambil keputusan untuk pergi ke klinik 24 jam dan terus dinasihatkan untuk segera pergi ke hospital.

“Malam tu juga di’operate dan terlantar di hospital selama 7 hari dan 2 hari di ICU,”.

Rentetan daripada kisah itu, Pakar Ortopedik, Dr Mahyuddin Mohamed memberi penjelasan lanjut melalui laman sosialnya.

“Kondisi kuman pemakan daging (flesh-eating organism) ini disebut sebagai necrotising fasciitis. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai jenis bakteria. Bakteria yang paling kerap menyebabkan kondisi ini dikenali sebagai staphylococcus areus.

“Bagi mikroorganisma laut atau air (zoonotic), organisma yang kerap ditemui termasuk Brucella, Leptospira, Crytopsporidium dan Giardia. Jangkitan kuman ini menyebabkan demam, sakit kepala, rasa seram sejuk (chills), sakit otot, muntah dan cirit birit. Ia sememangnya bahaya dan boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat,” terangnya.

Artikel berkaitan: Lelaki hilang jari akibat tertusuk udang, nasihat orang ramai supaya lebih berhati-hati

Pada masa yang sama, kata Dr Mahyuddin lagi, udang yang dicuci mungkin mengandungi salah satu bakteria berkenaan.

“Kebiasaannya kulit manusia menjadi pelindung semula jadi (natural barrier), tetapi beliau mendapat masalah ini apabila tercucuk berkali-kali menyebabkan luka (skin breach).

“Jangkitan kuman akan menyebabkan jari menjadi bengkak dan mungkin juga bernanah. Ini seterusnya akan menyekat pengaliran darah pada jari menyebabkan jari menjadi hitam dan mati (gangrene) sehingga menyebabkan sebahagian jari beliau perlu dipotong. Bahagian yang telah gangrene tidak akan hidup kembali,” kongsinya.

Iklan

Bukan itu sahaja, pesakit juga akan mengalami kesakitan (ischaemic pain) kerana darah tidak sampai ke bahagian hujung jari.

Selain itu, sekiranya dibiarkan, jangkitan itu boleh merebak ke seluruh tangan dan badan pesakit melalui darah (bacteriamia) dan boleh membahayakan nyawa (septicaemia) pesakit.

Oleh itu, antara rawatan bagi kondisi tersebut adalah pembedahan di bahagian kulit, urat atau otot yang dijangkiti kuman perlu dibuang bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Antibiotik juga akan diberikan bagi membunuh kuman.

Iklan

Mungkin ada yang bertanya kenapa luka begitu panjang?

“Pada pandangan saya, luka yang dibuat sehingga tapak tangan itu menunjukkan jangkitan telah merebak sehingga ke lapisan urat jari (flexor tendon sheath) menyebabkan kondisi yang kami sebut sebagai tenosynovitis. Luka panjang ini perlu dibuat bagi mencuci dan membuang jangkitan kuman di sepanjang laluan urat tangan ini dengan sempurna.

“Berhati-hatilah ketika memotong udang atau ikan di dapur, ia termasuklah jika pembaca seorang kaki pancing.

“Ada kes saya yang mendapat necrotising fasciitis akibat tercucuk sengat ikan keli, terpijak duri sawit, digigit kucing dan anjing, ditanduk kerbau, disodok babi hutan dan digigit monyet di kebun durian. Jangan main-main dengan binatang,” pesannya.

Kredit foto dan sumber: Tarasieuneun dan Mahyuddin Mohamed