BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan kes keracunan makanan yang didakwa akibat puding buih hingga menyebabkan kematian seorang wanita muda yang berusia 25 tahun.

Dilaporkan pada 27 Mei lalu, 99 mangsa daripada 20 keluarga turut dikesan mengalami gejala keracunan berkenaan.

Setelah disiasat, punca keracunannya adalah akibat penggunaan telur tamat tempoh.

Ketahuilah bahawa telur mempunyai selaput protein nipis yang wujud secara semulajadi yang dipanggil sebagai ‘cuticle’.

Selaput berkenaan bertujuan melindungi kandungan dalam telur daripada dicemari oleh bakteria. Kulit telur pula mempunyai liang-liang halus di seluruh permukaan bagi menahan kemasukan bakteria dan udara dari persekitaran.

Menurut satu kajian saintifik, tahap kualiti selaput perlidungan itu mempengaruhi tahap kesegaran telur tersebut. Telur lama atau telur tamat tempoh akan mempunyai selaput perlindungan yang nipis serta liang-liang halus di permukaan kulit yang semakin terbuka.

Keadaan tersebutlah sebenarnya yang akan menyebabkan telur mudah dicemari oleh bakteria!

Berikut merupakan cara mudah untuk mengenal pasti telur masih selamat untuk digunakan:

1. Hidu aroma bau telur

Telur yang sudah rosak akan mengeluarkan bau busuk atau lebih mudah dipanggil telur tembelang (telur busuk).
Segeralah buang telur yang mengeluarkan bau busuk atau tidak menyenangkan.

Oleh kerana teknik ini sangat dipercayai, ia adalah idea yang baik untuk mencium bau setiap telur sebelum menggunakannya.

2. Lihat keadaan kuning dan putih telur

Teknik ini memerlukan telur dipecahkan terlebih dahulu untuk melihat keadaan kuning dan putih telur secara visual.

Telur segar akan mempunyai kuning telur yang masih kukuh dan elok bentuk bulatnya manakala keadaan kuning telur yang sudah lama pula agak meleper dan agak cair (bentuk bulat tidak elok).

Namun demikian, kadangkala ada yang melekat pada kulit telur.

Perlu diingatkan juga, perhatikan juga keadaan putih telur. Jika warnanya keruh dan keadaannya agak melekit serta tidak cair telur itu masih segar.

Jika sebaliknya iaitu warnanya agak jernih dan keadaannya cair makan ia sudah lama.

Artikel berkaitan: Keracunan makanan: Doktor kongsi 7 cara elak bakteria Salmonella pada kulit telur

3. Rendam telur dalam air

Ini merupakan teknik yang paling popular iaitu dengan merendam telur dalam semangkuk air sejuk dan lihat sama ada telur tersebut tenggelam atau terapung.

Perlu diketahui, telur segar akan tenggelam di dasar air manakala telur lama akan terapung di permukaan.

Kenapa ia berlaku?

Iklan

Itu adalah kerana semakin lama usia telur itu, semakin banyak udara yang memasuki telur melalui liang-liang halus tadi dan menyebabkan telur semakin mudah untuk terapung.

4. Lihat tarikh luput telur

Kebanyakan telur yang dijual di pasaraya selalunya telah dibungkus dan ditandakan dengan tarikh luput.

Tidak kiralah pada kotak bungkusan atau permukaan kulit telur itu sendiri.

Jika telur dibeli di kedai runcit atau pasar borong mungkin telur tersebut tidak ditandakan dengan tarikh luput.

Jalan penyelesaiannya, silalah bertanya kepada penjual tersebut mengenai tarikh luput telur tersebut, aekurang-kurang tarikh itu dapat dijadikan rujukan kepada si pembeli.

Iklan

Jadi, SinarPlus ingin mengingatkan orang ramai agar jangan ambil mudah dengan penggunaan telur ketika memasak kerana ia mudah tercemar dengan pelbagai kuman khususnya Salmonella.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, Perkhidmatan Keselamatan dan Pemeriksaan Makanan, risiko utama apabila makan telur buruk adalah berlaku jangkitan bakteria Salmonella sehingga boleh menyebabkan cirit-birit, muntah dan demam.

Seseorang dapat mengurangkan risiko Salmonella dengan menyimpan telur di dalam peti sejuk, membuang telur yang sudah retak kulitnya dan memasak telur dengan teliti sebelum memakannya.

Selagi ada keraguan, jangan guna dan makan telur tersebut. Ingat, keselamatan makanan adalah tanggungjawab kita bersama!

Sumber: Medicalnewstoday.com

Foto : Sumber internet dan Freepik