JAMUAN hari raya di sekolah menjadi agenda ibu bapa beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam kemeriahan Syawal, acara sambutan hari raya di sekolah adalah antara yang dinanti-nantikan anak-anak kerana berpeluang diraikan bersama rakan-rakan.

Kebanyakan sekolah menggalakkan para pelajar memakai baju raya. Ini menyebabkan ramai murid teruja untuk menggayakannya bersama kawan-kawan.

Bagi pelajar lelaki, ada sesetengah diminta memakai baju Melayu sahaja namun ada juga sekolah membolehkan pemakaian kurta.

Baca juga: Video pelajar IPT pakai baju Melayu, sampin ke kelas raih 1 juta tontonan, risau raya duduk rumah lagi

Namun perubahan saat-saat akhir mewajibkan pemakaian baju Melayu membuatkan murid tawar hati. Majlis yang ditunggu-tunggu itu tidak lagi dinantikan.

Seperti yang diutarakan wanita ini, ada benarnya.

“Kurta oh kurta, ada kisah kurta lagi ni. Sekolah abang mengadakan Majlis Hari Raya. Dalam surat yang dihantar Jumaat lalu, pelajar lelaki perlu memakai baju Melayu lengkap sepasang dengan songkok dan sampin.

“Sejak dua hingga tiga tahun ini kami jarang membeli baju Melayu. Apatah lagi sebelum ni kita pun tak beraya. Tahun ini juga tidak balik kampung kerana temankan suami kena ‘standby’ kerja.

“Jadinya, kami pilih kurta sahaja. Duduk di rumah sahaja pada Hari Raya pertama,” katanya. Menurut Shaza, anaknya merancang untuk meminjam baju Melayu sepupu untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, pada Isnin, si anak memberitahu pihak sekolah membenarkan pemakaian kurta, dengan syarat ia dipakai bersama seluar panjang kasual.

Namun keterujaan si anak tidak kekal lama kerana pada hari Khamis, pihak sekolah meminta semua pelajar putera memakai baju Melayu.

 

“Umi tau tak, semasa kelas Bahasa Melayu tadi cikgu cakap tak boleh pakai kurta. Jadi, Abang malas nak datang,” tutur si anak kecewa.

Langsung tidak menjangka keputusan itu berubah lagi, ibu berkenaan tidak betah melihat si anak menjeruk hati hingga enggan ke sekolah.

“Nak pergi sekolah tak?” Abang geleng kepala, muka masam. Merajuk.

“Jam 9:25 malam kami terima mesej daripada guru kelas.
Katanya Baju Melayu boleh dipakai manakala kurta tidak dibenarkan.

“Kenapa perlu pakai baju Melayu lengkap? Tahu, baju Melayu baju kebangsaan. Melambangkan budaya Melayu. Boleh sahaja anak pakai baju Melayu cumanya pihak sekolah sahaja yang tidak tetap pendirian – sekejap boleh, sekejap tidak.

“Last minute begini mana nak cari baju Melayu,” titipnya.

Keadaan ini mungkin turut terjadi kepada ibu bapa lain. Bagaimana untuk mengendalikan kekecewaan si kecil saat dikehendaki memakai baju Melayu sedangkan mereka tidak memilikinya.

Dalam pada itu, baru-baru ini wujud pihak sekolah lain yagng melarang pelajarnya memakai kurta ke majlis sambutan hari raya. Sekolah terbabit dikatakan mengenakan denda terhadap pelajar yang memakai kurta semasa menghadiri majlis sambutan hari raya.

Iklan

MALAH DIKATAKAN mereka dikehendaki berdiri di tapak perhimpunan dan tidak dibenarkan sama sekali menyertai majlis itu.

Menurut penelitian SinarPlus, baju Melayu ialah pakaian tradisional yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah pada zaman kesultanan Melayu Melaka kira-kira 700 tahun yang lalu. Baginda kaya dengan falsafah dalam berbusana dan amat menitikberatkan setiap perkara termasuk aturan berpakaian.

Ini kerana Sultan Muhammad Shah mahu orang Melayu mempunyai identiti yang tersendiri. Dengan pemakaian baju Melayu, jati diri anak Melayu akan terserlah. Daripada leher cekak musang, leher teluk belanga hinggalah lima lubang butang, semuanya mempunyai makna tersendiri.

Manakala kurta pula ialah pakaian tradisional untuk lelaki kaum India.

Ia adalah sehelai kemeja yang longgar dan lazimnya labuh kurta mencecah paras lutut. Kurta biasanya dipakai bersama kameez mahupun dhoti.

Iklan

Namun generasi kini ada yang memilih memakai kurta kerana hargaya yang lebih murah berbanding baju Melayu.

Malah ada yang mendakwa jahitan kurta lebih kukuh dan rekaan yang praktikal. Kini wujud juga kurta pendek yang menyerupai baju Melayu. Tidak kurang menarik digayakan dengan seluar kasual.

Apa pun, tepuk dada, tanya selera. Jangan pula memaksa diri berbelanja besar semata-mata ingin mengikut trend semasa.

Baca juga: Baju Melayu pakaian tradisi pelengkap Aidilfitri. Ini cerita di sebaliknya 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI