Banyak risiko jika bersalin di rumah, wanita hamil wajib ambil tahu

ZAMAN dahulu, ramai wanita yang bersalin di rumah atas alasan jarak hospital yang jauh, tiada kemudahan pengangkutan dan mungkin juga kerana masih ramai yang menaruh kepercayaan terhadap bidan bersalin.

Namun kini, bersalin di rumah atau home birth kembali menjadi trend, seiring dengan gerakan gentle birth, lotus birth, water birth dan sebagainya.

Pun begitu, bersalin di rumah ada risikonya. Malah, kerajaan Malaysia tidak menggalakkan kelahiran di rumah memandangkan ia mungkin menyebabkan masalah serta komplikasi yang lebih besar dan tidak disedari oleh bakal ibu.

Seperti satu kejadian baru-baru ini dilaporkan seorang wanita warganegara Indonesia disahkan meninggal dunia selepas melahirkan anak ketiga secara sendiri di sebuah rumah di Kampung Perigi Jernih, Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, si suami menyedari bahawa isterinya sudah tidak sedarkan diri selepas melahirkan zuriat ketiga mereka secara sendiri sekitar jam 3 petang.

Susulan daripada itu, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Rembau telah datang untuk melihat keadaan mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.

Menurut sumber, bayi perempuan yang dilahirkan berada dalam keadaan selamat dan telah ditempatkan di unit jagaan bayi di Hospital Rembau.

Suami mangsa juga telah tampil membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati, pasangan ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di negara ini.

Baca juga Bahaya umpah darah lepas bersalin rahim boleh dibuang, 12 golongan ibu hamil ini jaga-jaga ya

Gambar fail.

Apapun, wanita hamil jangan pandang remeh terhadap perkara tersebut. Terdapat banyak risiko dan komplikasi bersalin di rumah tanpa disambut oleh anggota kesihatan terlatih.

Risiko dan komplikasi boleh berlaku kepada ibu dan bayi semasa proses kelahiran.

Tambahan pula, individu yang menyambut kelahiran tidak mempunyai kemahiran dan peralatan perubatan yang lengkap untuk mengendalikan kelahiran serta memberi bantuan kecemasan.

Risiko dan komplikasi ke atas ibu;

1. Peningkatan dan penurunan tekanan darah boleh berlaku semasa proses kelahiran yang boleh mengakibatkan kematian sekiranya tiada rawatan.

2. Mengalami sakit bersalin berpanjangan yang mungkin menjurus kepada keperluan untuk bersalin dengan bantuan peralatan atau pembedahan.

3. Melalui kelahiran yang sukar (obstructed labour) dan boleh mengakibatkan uterine rupture (kepecahan rahim) seterusnya menyebabkan pendarahan dan kematian.

4. Mengalami lekat uri dan cebisan selaput mentuban yang mengakibatkan pendarahan yang banyak dan menjurus kepada kematian sekiranya tidak dirawat.

5. Mengalami koyak yang teruk di vagina dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan pendarahan dan jangkitan kuman.

Iklan

6. Boleh mendapat jangkitan kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dibasmi kuman.

Risiko dan komplikasi ke atas bayi;

1. Bayi lemas yang disebabkan oleh kemungkinan kedudukan bayi yang tidak normal seperti menyongsang, menyerong atau melintang. Ini mengakibatkan kelahiran tersekat, tali pusat terkeluar dahulu dan bayi lemas kerana tiada pemeriksaan dijalankan terhadap bayi dalam kandungan.

2. Kemasukan air mentuban yang dicemari oleh najis bayi dalam kandungan (meconium) ke dalam saluran pernafasan bayi yang mengakibatkan pernafasan tersekat dan jangkitan paru-paru.

Baca juga Seronok anak ramai tapi biarlah jarak 2 tahun, fikir 6 perkara penting ini sebelum hamil lagi

3. Dijangkiti kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dinyahkuman ketika memotong tali pusat.

Iklan

4. Mengalami suhu badan terlalu rendah (hypothermia) yang mengakibatkan kekurangan penyerapan oksigen dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera.

5. Kecacatan kongenital dan masalah perubatan pada bayi tidak dikesan dan diberi rawatan awal kerana tiada pemeriksaan dijalankan ke atas bayi.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Sinar Harian, myhealth

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.