MENJADI seorang ibu pasti tidak terlepas dengan aktiviti si kecil suka menconteng dinding bukan?

Kadang-kadang membuatkan ibu stres apabila hampir segenap ruang dinding rumah bercorak macam-macam.

Begitulah, ibu kena faham lumrah anak yang suka meneroka.

Jadi tak perlu halang, sediakan satu ruang untuk anak berkarya dan buat apa sahaja kreativiti mereka.

Seperti yang dikongsi seorang perunding keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar di laman Facebooknya.

Menurutnya, terdapat dua perkara yang menarik perhatiannya apabila melihat gambar anak-anak sedang ‘berkarya’ yang dikongsi oleh rakan, seorang ibu kepada empat orang anak kecil.

“Pertama, saya ‘tertarik’ dengan aktiviti berkarya di permukaan kabinet dapur yang diizinkan oleh ibu anak-anak ini.

“Kedua, saya tertarik dengan tindakan ibu menetapkan ‘boundary’ untuk mereka berkarya di permukaan tersebut.

“‘Boundary’ yang saya maksudkan dalam gambar tersebut adalah mereka tidak menconteng terus ke permukaan kabinet sebaliknya ibu melekatkan ‘white board sticker’ pada kabinet sebagai permukaan untuk mereka berkarya,” tulis beliau.

Katanya, hasil lakaran anak-anak kecil ini mempunyai maknanya yang tersendiri.

“Saya menggunakan istilah ‘karya’ kerana setiap contengan kanak-kanak ataupun ‘mark making’ dalam pelbagai bentuk, garisan, dan paten mempunyai maknanya yang tersendiri.

“Ia merupakan terjemahan kanak-kanak tentang dunia di sekeliling mereka mengikut interpretasi dan kreativiti masing-masing.

“Tidak semua kanak-kanak suka menconteng dinding walaupun kebanyakan kanak-kanak mempunyai keinginan untuk menulis atau melukis di atas permukaan yang menegak (vertical).

“Anak menconteng dinding adalah normal tetapi ibu bapa yang membiarkan anak menconteng tanpa apa-apa batasan ataupun ‘boundary’ ialah ibu bapa tidak wajar,” ujarnya.

Sakiti dan mendera anak

Menurut Noor Afidah, ini sebabnya kenapa beliau mengatakan anak menconteng dinding adalah satu aktiviti yang normal;

1) Apabila kanak-kanak menconteng sebarang permukaan yang menegak terutamanya permukaan yang luas seperti ‘white board’, ataupun papan hijau, ia sebenarnya membantu memperkuatkan otot-otot dan sendi-sendi bahagian badan yang atas.

Lengan yang digerakkan bagi membentuk garisan yang menegak, melintang ataupun pepenjuru akan diperkuatkan lagi kerana ia digerakkan dengan melawan tarikan graviti.

2) Menulis di atas permukaan menegak yang luas adalah satu bentuk latihan yang baik untuk ‘midline crossing’.

Tubuh badan manusia mempunyai ‘midline’ ataupun garisan tengah yang membahagikan tubuh kita kepada kiri dan kanan.

Apabila kanak-kanak menulis ataupun melukis di permukaan menegak yang luas, pergerakan lengan akan merentasi bahagian tengah anggota badan dan merangsang koordinasi dan komunikasi di antara otak kanan dan otak kiri.

Aktiviti midline crossing sebegini (dan banyak aktiviti lain lagi) dapat membantu perkembangan motor halus yang lebih baik dan membantu pengurusan harian diri yang lebih teratur.

Iklan

Kanak-kanak dapat melakukan sesuatu pergerakan dan tugasan dengan sendiri tanpa mengharapkan bantuan.

Baca juga Apabila si kecil mengadu sakit gigi, ini perkara yang ibu bapa dilarang buat

3) Selain itu, menulis di atas permukaan yang menegak dengan cara melutut ataupun berdiri dapat menguatkan bahagian tengah (core) badan.

Iklan

Kedudukan yang sebegini melibatkan ‘kerjasama’ antara badan tengah dan otot belakang agar dapat mengekalkan postur yang menegak untuk menulis.

4) Menulis di atas permukaan yang menegak juga membantu meregangkan dan menguatkan pergelangan tangan.

Tangan yang stabil dapat membentuk ‘pencil grasp’ yang lebih baik ataupun cara memegang sebarang alat tulis dengan betul.

‘Pencil grasp’ ini bukan hanya membantu perkembangan motor halus, ia juga membantu perkembangan otak kanak-kanak.

Begitulah di antara kebaikan kanak-kanak menulis di atas permukaan yang menegak seperti di dinding, ‘white board’ ataupun papan hijau.

 

Sakiti dan mendera anak
Walau bagaimanapun, di samping membantu perkembangan otak, kognitif, fizikal, dan motor halus kanak-kanak, mereka juga perlukan ‘boundary’ ataupun batasan apabila melakukan sesuatu aktiviti agar mereka dapat menjadi insan yang hidup bertanggungjawab dan berperaturan.

Menurutnya lagi, menconteng dinding rumah jika tidak ada batasan akan menyebabkan kanak-kanak terbiasa dengan contengan di mana-mana sahaja tidak kira di rumah sendiri, di dinding rumah orang lain, di dinding sekolah, di dinding kedai, di dinding kawasan awam dan di merata-rata tempat sehingga tidak dapat dikawal.

“Oleh itu peranan ibu bapa adalah untuk menyediakan ruang yang sesuai untuk kanak-kanak melukis di atas permukaan menegak.

“Sediakan papan putih, papan hijau ataupun kertas besar di dinding sekiranya anak ingin berkarya.

“Ada juga ibu bapa yang mengecat satu bahagian dinding dengan cat khas yang mudah dibersihkan agar berfungsi sebagai ‘papan hijau’. Kanak-kanak boleh berkarya di permukaannya dan kemudiannya perlu bertanggungjawab membersihkannya kembali.

“‘Boundary’ sebeginilah yang ditetapkan oleh ibu kepada anak-anak comel dalam gambar ini apabila ibu menggalakkan anak-anaknya berkarya di atas permukaan yang menegak,” ujarnya.

Jadi, jangan marah ya kalau nampak mereka conteng dinding di rumah! Sediakan tempat khas untuk mereka itu lebih baik.