BIDANG tudung menentukan tahap kelabuhan hijab. Hijabis-hijabis yang berkahwin pasti mengambil kira pendapat suami dalam berpakaian.

Pelik dan jarang berlaku suami mahu isteri bertudung lebih singkat sedangkan si isteri selesa bertudung bidang 60 inci yang lebih besar dan lebar sesuai dengan bentuk tubuh.

Baca juga: Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

 

Mungkin juga ada yang berada dalam situasi ini. Berikut adalah perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dijadikan panduan.

SOALAN

Assalammualaikum. Suami saya perli saya pakai tudung labuh, dia kata malu dengan kawan-kawan. Katanya tudung bidang 45 inci memadai menutupi aurat tanpa perlu memakai tudung labuh bidang 60 inci.

Persoalanya, adakah saya perlu mempertahankan dengan memakai tudung labuh dalam keadaan suami yang tidak reda atau ikut kata suami dengan pakai tudung bidang 45 inci kerana masih batas menjaga aurat?

Adakah wajib ikut arahan suami agar meninggalkan amalan yang lebih warak? Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Kredit foto: Pexels

JAWAPAN

Suami berperanan mendidik isteri agar bersama – sama menunaikan segala kewajiban dan menghalang mereka daripada melakukan perkara maksiat.

Manakala isteri pula wajib mentaati perintah suami pada perkara yang makruf selagi tidak bertentangan syarak.

1-Perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan tudung ialah mematuhi kehendak syarak. Apabila tudung saiz 45 inci digayakan dengan cara labuh menutupi dada dan tidak nipis (jarang), maka ia masih dalam kerangka menepati tuntutan syarak.

2-Oleh itu, situasi soalan tersebut bergantung kepada kebijaksanaan isteri menggayakan tudung yang menepati kehendak syarak tidak kira saiz bidang 60 inci mahupun 45 inci pada masa sama mengikut kehendak suaminya pada perkara kebaikan.

3-Hal ini memakai tudung saiz 45 yang menutupi dada dan tidak nipis, maka ia sudah cukup menepati syarak. Bahkan, sekiranya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus mahupun sunat maka ia menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat.

4-Namun memakai tudung saiz 60 inci lebih sopan, warak dan terpuji. Sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan memelihara hak kedua-dua pasangan.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

5-ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA untuk memakai pakaian yang menutup aurat bersandarkan firman-NYA:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ‎﴿٢٦﴾

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” (Surah Al-A’raf : 26)

7-Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh ALLAH SWT iaitu:
i-Pakaian untuk menutup aurat
ii-Pakaian untuk perhiasan
iii-Pakaian takwa

8-Perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merujuk pakaian asas (daruriyyah) untuk menutup aurat manakala “الريش” ialah sesuatu yang dipakai supaya nampak cantik pada luarannya (takmilat). Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara kiasan (majazi) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

9-Parameter menutup aurat dengan sempurna bagi wanita ialah keseluruhan anggota kecuali muka dan kedua tapak tangan. Perintah menutup aurat bagi kaum wanita berdasarkan firman ALLAH SWT:

Iklan

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ

Maksudnya : “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; (Surah an-Nur: 31)

10-Antara kriteria menutup aurat dengan sempurna ialah seperti berikut:

i-Tidak memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit.

ii-Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab menyatakan wajib penutup aurat itu dengan suatu yang tidak menunjukkan sifat warna kulit seperti kain yang tebal, kulit atau kertas.

iii-Sekiranya tipis, maka ia tidak menepati syarat kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.

Iklan

Diharapkan dengan panduan ini memberikan pencerahan buat kaum Hawa menggayakan tudung tanpa ragu.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Kredit foto utama: Pexels

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi