DI SEBALIK kemelut dan kekhuatiran orang ramai terhadap pandemik Covid-19, nampaknya majoriti dalam kalangan kita terlupa dengan wabak denggi di negara ini.

Setakat 26 Disember lalu, sebanyak 144 kes kematian telah direkodkan termasuk satu kematian baharu dengan satu kes masing-masing di Melaka dan Johor.

Jumlah kes keseluruhan mencecah sebanyak 88,274 kes di Malaysia.

Johor, Selangor dan Sabah menerajui carta tiga tertinggi apabila masing-masing merekodkan 43, 37 dan 16 kes.

Menurut CPRC Kebangsaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, tiga negeri yang tidak mempunyai kes kematian adalah di Perlis, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan. Syabas penduduk di sana, kekalkan momentum itu!

Di sini, SinarPlus ingin mengingatkan kepada orang awam apa itu bahaya denggi.

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

Terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).

Lebih 100 negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Timur Mediterranean dan Pasifik Barat berdepan dengan isu berkenaan.

Berikut SinarPlus senaraikan langkah-langkah pencegahan daripada gigitan nyamuk Aedes:

1. Gunakan repellan.
2. Pasang penghalau nyamuk.
3. Pasang jaring penghalang nyamuk.
4. Sembur aerosol racun serangga.
5. Pakai seluar panjang dan baju berlengan panjang.
6. Tidur dalam kelambu.
7. Elak berada di luar rumah pada awal pagi (6 pagi hingga 8 pagi) dan senja (6 petang hingga 8 malam).

Kaedah-kaedah pencegahan lain yang disyorkan oleh laman web kesihatan negara, infosihat.gov.my adalah:

  • Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk.
  • Membuang bekas yang boleh menakung air.
  • Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup.
  • Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali.
  • Pastikan saliran atap sentiasa mengalir.
  • Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik.

Menurut laman web sama, tanda-tanda yang boleh anda kesan sekiranya anda demam denggi adalah seperti berikut:

Iklan

• Tanda-tanda yang biasa termasuklah muntah, pitam dan sakit di bahagian abdomen. Salur darah di dalam badan boleh mengalami kebocoran dan menyebabkan isi padu darah berkurangan.

• Keadaan itu boleh menyebabkan pesakit mengalami renjatan dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

• Tiada ubat-ubatan yang khusus untuk merawat demam denggi.

• Pesakit perlu dimasukkan ke wad bagi rawatan demam denggi berdarah.

• Rawatan awal boleh mengelakkan kematian dengan kadar kurang daripada 1 peratus.

Iklan

• Pesakit akan diberikan rehidrasi untuk memastikan beliau tidak mengalami renjatan.

• Walaupun nama penyakit itu demam denggi berdarah, masalah yang membawa kemudaratan adalah masalah kebocoran salur darah yang menyebabkan renjatan dan bukan pendarahan yang menjadi masalah utama.

Baca juga 10 penyakit pandemik, epidemik sepanjang 3 bulan terakhir tahun 2020

Denggi membunuh! Awasi sekeliling anda dan luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap hujung minggu untuk hapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Bagi mengetahui dengan lebih terperinci mengenai denggi, orang ramai boleh melayari laman we https://idengue.mysa.gov.my/. Semoga bermanfaat!