Cara betul simpan daun sup, lengkuas, serai dan cili untuk tahan lebih lama
TENSIONKAN apabila daun sup, lengkuas, serai dan cili yang baru beli, tapi akhirnya tidak boleh digunakan.
Ini antara masalah yang selalu dihadapi. Ada yang belum buka daripada bungkusan, tetap juga ia layu dan lembik dalam peti sejuk. Sudahnya terpaksa buang! Dah kena beli baru.
Jangan risau, ada cara simpan daun sup, lengkuas, serai, cili api, dan cili dalam peti sejuk agar kekal segar.
Boleh simpan sampai berbulan-bulan lamanya! Jom ikut cara ni.
1. Daun sup
Pokok daun sup perlu disimpan di dalam botol plastik (bekas minuman 1.5 liter) dan diletakkan di dalam peti ais.
Caranya, potong dua botol minuman. Masukkan pokok daun sup dan tutup. Penting untuk memastikan air diletakkan sedikit setakat cecah pada hujung akar sahaja. Air yang banyak akan menyebabkan bahagian batang pokok tenggelam dan batang daun sup jadi lembik dan busuk.
Pokok yang disimpan dengan kaedah ini dapat bertahan lebih dari sebulan. Tumbuhan kalau ada akar seperti daun kesum juga boleh disimpan dengan kaedah ini.
2. Serai dan lengkuas
Simpan di dalam botol kaca dan diisi dengan air sehingga tenggelam keseluruhan lengkuas dan serai tersebut. Tutupkan botol dengan kedap. Air boleh ditukar dua minggu sekali atau ikut keperluan. Perlu disimpan dalam peti ais dan ia mampu bertahan berbulan lamanya!
Selain lengkuas dan serai, ramai juga yang menggunakan cara ini untuk menyimpan kunyit supaya kekal segar.
3. Cili
Cili perlu dibuang tangkai terlebih dahulu sebelum disimpan untuk mengelakkan tangkai menjadi lembik, sekali gus menyebabkan cili menjadi busuk. Simpankan dalam bekas bertutup yang dialas dengan tisu dapur atau kertas surat khabar. Setiap kali menggunakan bahan ini, rajin-rajinkan diri untuk mengelap penutup bekas simpanan cili supaya wap-wap air hilang. Salin tisu dan kertas jika dah terlalu basah.
Simpan dalam peti sejuk pasti akan tahan lebih lama.
Wah, memang praktikal sangat cara simpan daun sup, serai, lengkuas, dan cili. Tak susah pun sebenarnya. Di samping memudahkan dan mengelakkan pembaziran, duit belanja dapur kita juga dapat dijimatkan.
Selamat mencuba!
PENULIS: NURUL ADRIANA
KREDIT TIP & FOTO: FACEBOOK (PN SUHANA MAT RASU), CANVA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang