SEPERTI semua sedia maklum, hari ini merupakan hari pertama kita melalui fasa total lockdown berikutan wabak pandemik Covid-19 yang sangat membimbangkan.

Ia dilaksanakan di seluruh negara hingga 14 Jun depan.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia yang mencatatkan jumlah kes harian melebihi 6,000 kes dengan kes aktif kini menghampiri 80,000 kes.

Memberi reaksi balas mengenai keadaan semasa Covid-19, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran melontarkan pandangannya.

“Jika kita lihat pada angka kes harian sahaja, sudah pasti kita tidak dapat gambaran sebenar wabak ini sama ada semakin naik, sudah menurun atau hanya statik sahaja,” tulisnya di entri Facebook semalam.

Terdahulu, maklum pakar itu, kes harian bergantung kepada banyak perkara.

Antara intipati yang perlu diberi perhatian adalah berikut:

i) Kepantasan mengesan kes.
ii) Keupayaan membuat mengesanan kontak rapat.
iii) Kuantiti kontak rapat yang dapat dikesan (ada yang menyembunyikan senarai penuh).
iv) Bilangan ujian calitan yang dibuat ke atas kontak rapat.
v) Jenis ujian calitan yang dibuat untuk kontak rapat.
vi) Keupayaan makmal memproses ujian calitan.
vii) Saringan bergejala
viii)Saringan berisiko tinggi

“Itulah antara aspek yang menjadi ‘kayu ukur’ kepada kes harian.

“Sebenarnya, ada lagi beberapa aspek lain yang mempengaruhi bilangan kes positif yang dilaporkan setiap hari,” tambah beliau.

Selain itu, maklum Dr Safiyya, kadangkala kita juga perlu melihat bilangan dan trend kematian di hospital.

“Kita juga kena lihat bilangan kematian di rumah atau kuantiti kes yang meninggal sebelum tiba di hospital (BID),” ujarnya.

Jadi, terang pakar itu lagi, jika peratusan kematian di rumah dan BID meningkat, ia membawa erti bahawa keadaan wabak kini mungkin lebih parah daripada trend yang kita lihat menerusi bilangan kes harian sahaja.

Memberi gambaran mudah, Dr Safiyya berkata, kalau dilihat kes harian menaik tidak mencecah dua kali ganda daripada nilai tertinggi semasa Januari lalu, namun bilangan kes kematian mencanak naik menghampiri tiga kali ganda dalam tempoh yang sama, ia adalah satu petanda yang tidak baik.

Iklan

“Berkemungkinan besar, bilangan kes dalam komuniti sebenarnya adalah jauh lebih tinggi daripada bilangan yang dapat dikesan.

“Satu lagi, kes kematian juga akan naik mendadak apabila keadaan wabak melangkaui keupayaan kesihatan dan perubatan kita. Jadi, tolonglah duduk di rumah. Jangan pandang remeh wabak virus korona ini,” pesannya.

Terdahulu, semalam, negara mencatatkan 6,824 kes baharu dengan 67 kematian.

Iklan

Artikel berkaitan: Total Lockdown: Ini perkara boleh dan tidak boleh yang semua perlu tahu

Sebanyak 851 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 422 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Justeru, SinarPlus merayu kepada semua rakyat Malaysia agar tidak keluar rumah sekiranya tiada perkara penting dalam tempoh dua minggu ini bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

#kitamestimenang #kitalaluibersama